Apa itu Kanser Bronkial?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Kanser Bronkial?

Kanser bronkial adalah jenis kanser yang jarang berlaku, bermula dalam saluran udara paru-paru (bronki) atau paip angin (trakea), dan dalam kelenjar air liur. Kebanyakan kanser bronkial dipercayai boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain. Namun begitu, kanser ini selalunya merebak perlahan-lahan dan boleh dirawat, jadi jika anda menghidapinya, ingat bahawa kanser ini mempunyai prognosis yang baik.

Kanser ini dibahagikan kepada tiga kumpulan:

  • Tumor Karsinoid : Tumor ini boleh terjadi pada sel pengeluar hormon dan sel saraf. Ia boleh terbentuk dalam paru-paru, atau perut dan usus.
  • Karsinoma sistik adenoid: kanser jenis ini selalu bermula dalam kelenjar air liur pada mulut dan kerongkong. Ia juga boleh terjadi pada trakea dan kelenjar air mata pada mata, kelenjar peluh, atau rahim, vulva, atau payudara wanita.
  • Karsinoma mukoepidermoid: Kanser jenis ini berlaku pada kelenjar air liur. Kebanyakan kanser jenis ini terjadi pada kelenjar parotid di hadapan telinga.

Apakah kebarangkalian Kanser Bronkial?

Keadaan ini boleh berlaku pada semua peringkat umur, tapi lebih cenderung pada lelaki. Hal ini dapat diatasi dengan mengurangkan faktor risiko anda. Rujuk doktor untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Kanser Bronkial?

Simptom-simptom kanser bronkial bergantung sama ada ketumbuhan terletak di bahagian tengah atau keliling dalam saluran udara. Individu yang mempunyai ketumbuhan pada lokasi tengah mungkin akan mengalami simptom halangan dan pendarahan, termasuk juga yang berikut:

  • Susah bernafas: ini disebabkan oleh halangan separa penuh pada paip angin atau bronki besar.
  • Bunyi abnormal dihasilkan oleh aliran udara bergelora yang melalui bahagian sempit pada saluran udara besar. Simptom ini boleh terjadi apabila kanser berada di paip udara atau bronki besar.
  • Berdehit: boleh didengari ¬†jika laluan udara tersekat sehingga ke dalam bronki besar.
  • Batuk, demam, dan penghasilan kahak.

Hasil daripada halangan penuh pada bronki, mengakibatkan paru-paru kuncup, jangkitan, dan kemusnahan tisu paru-paru pada bahagian yang tidak dihalang.

  • Batuk berdarah: ini berpunca daripada ulser pada lapisan saluran angin yang menutupi ketumbuhan dan biasa berlaku dalam kanser bronki. Batuk berdarah adalah petanda berbahaya dan sering menandakan penyakit serius, sama ada kanser bronki atau keadaan paru-paru yang lain.

Individu yang mempunyai luka sekeliling,  kebiasaannya tidak mengalami sebarang simptom yang ketara.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghalang situasi menjadi semakin teruk, jadi rujuk doktor dengan segera bagi mengelakkan keadaan ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang tidak di senaraikan di atas atau ada sebarang soalan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah Punca Kanser Bronkial?

Malangnya, doktor masih tidak mengetahui punca sebenar kanser bronkial. Gen mungkin memainkan peranan utama dalam beberapa jenis kanser ini. Individu yang mempunyai penyakit keturunan dipanggil neoplasma endokrin multipel, jenis 1 (MEN) lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini. Terdedah pada radiasi di kepala dan tengkuk boleh meningkatkan risiko anda kepada karsinoma mukoepidermoid.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kanser Bronkial?

Anda boleh berisiko tinggi bagi keadaan ini jika anda:

  • Merokok: Risiko anda terhadap kanser ini meningkat dengan bilangan rokok yang anda hisap setiap hari dan bilangan tahun anda sudah merokok. Berhenti merokok pada mana-mana peringkat umur ternyata boleh merendahkan risiko anda untuk menghidapi kanser bronkial.
  • Terdedah kepada asap rokok sekunder: Walaupun anda tidak merokok, risiko anda terhadap kanser ini meningkat jika anda terdedah pada asap rokok sekunder.
  • Terdedah pada asbetos dan bahan karsinogen lain: Tempat kerja yang terdedah pada asbestos dan bahan lain yang diketahui boleh menyebab kanser – seperti arsenik, kromium dan nikel – juga meningkatkan risiko anda untuk menghidapi kanser bronkial, terutamanya jika anda perokok.
  • Sejarah keluarga dengan kanser bronkial: Individu yang mempunyai ibubapa, adik-beradik atau anak yang menghidapi kanser bronkial berisiko tinggi untuk penyakit ini.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Kanser Bronkial didiagnosis?

Jika doktor mengesyaki anda menghidapi keadaan ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan dan beberapa ujian juga akan dicadangkan. Beberapa ujian biasa yang boleh dilakukan termasuk:

  • Biopsi: Doktor akan mengambil sebahagian kecil tisu yang terlibat dan akan diperiksa dibawah mikroskop oleh pakar bagi memastikan itu adalah kanser atau tidak.
  • X-ray: Doktor akan menggunakan radiasi berdos rendah untuk melihat kewujudan tumor, jika ada pada saluran udara anda.
  • MRI: MRI menggunakan magnet dan gelombang radio yang kuat akan digunakan bagi menunjukkan saiz tumor. Anda mungkin perlu minum cecair, atau cecair itu dimasukkan ke dalam vena sebelum ujian dilakukan. Pewarna kontras ini membantu untuk menghasilkan gambar yang lebih jelas.

Doktor juga mungkin akan melakukan beberapa jenis imbasan lain untuk mencari tumor dan melihat sama ada ia sudah merebak atau tidak.

Bagaimana pesakit Kanser Bronkial dirawat?

Bergantung pada jenis dan tahap kanser, beberapa pilihan rawatan akan dicadangkan oleh doktor anda:

Pilihan tersebut termasuk:

  • Pembedahan: Ini merupakan rawatan utama bagi kanser bronki. Pakar bedah akan membuang kanser dan sedikit tisu di sekelilingnya. Nodus limfa yang mengelilingi tumor juga akan dibuang untuk menghalang penyakit daripada merebak.
  • Radiasi: Rawatan ini menggunakan X-ray berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser. Ia dapat melegakan simptom dan membantu anda untuk berasa lebih baik. Anda juga boleh menjalani rawatan ini selepas pembedahan bagi membunuh mana-mana sel kanser yang tertinggal.
  • Kimoterapi: Kimo menggunakan ubat bagi membunuh sel kanser pada keseluruhan badan anda. Ubat ini diberi melalui vena (IV) atau pil. Anda boleh menjalani kimo bersama rawatan lain jika kanser anda sudah merebak. Anda mungkin akan menjalani kimoterapi selepas pembedahan bagi membunuh mana-mana sel kanser yang tertinggal.
  • Imunoterapi: Rawatan ini menggunakan ubat untuk meningkatkan kebolehan sistem imuniti anda untuk mencari dan memusnahkan kanser. Imunoterapi akan mengecutkan tumor atau menghentikan pertumbuhan tumor.
  • Terapi sasar: Rawatan ini mencari protein atau gen yang unik pada kanser dan membantu protein dan gen itu untuk membesar. Kemudian, rawatan ini mensasarkan bahan tersebut bagi menghentikan kanser dari merebak.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kanser Bronkial?

Sebenarnya, tiada cara lain untuk mengelak daripada kanser bronkial, tetapi anda boleh mengurangkan risiko jika anda:

  • Berhenti merokok: Berhenti merokok dapat mengurangkan risiko anda terhadap kanser bronki, walaupun anda sudah merokok bertahun-tahun lamanya. Jumpa doktor untuk mengetahui strategi dan bantuan berhenti merokok yang boleh membantu anda. Bantuan ini termasuklah produk pengganti nikotin, ubat-ubatan dan kumpulan sokongan.
  • Elakkan asap rokok sekunder: Jika anda hidup atau bekerja dengan perokok, paksa perokok itu untuk berhenti. Sekurang-kurangnya suruh perokok itu merokok di luar. Jauhi kawasan di mana orang merokok, seperti bar dan restoran, dan pilih kawasan bebas rokok.
  • Elakkan bahan karsinogen di tempat kerja: Ambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri anda daripada terdedah pada bahan kimia toksik di tempat kerja. Ikut langkah berjaga-jaga yang disediakan oleh majikan anda. Contohnya, jika anda diberi topeng muka sebagai perlindungan, pakai topeng itu selalu. Risiko untuk paru-paru anda rosak akibat bahan karsinogen di tempat kerja meningkat jika anda merokok.
  • Ambil diet yang penuh dengan buah-buahan serta sayur-sayuran: Makanan bersumberkan vitamin dan nutrien adalah yang terbaik. Elakkan pengambilan dos vitamin dalam bentuk pil dengan kuantiti yang banyak kerana ini mungkin berbahaya.
  • Bersenam pada kebanyakan hari dalam seminggu: Mulakan dengan perlahan-lahan, jika anda tidak selalu bersenam. Cuba untuk bersenam hampir setiap hari dalam seminggu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 5, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 5, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.