Apa itu Iritis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Iritis?

Iris adalah lapisan lingkaran, berpigment yang memberi warna kepada mata dan bukaan pada bahagian tengah iris merupakan pupil mata.

Iris diperbuat daripada serat otot yang mengawal jumlah cahaya masuk ke dalam pupil supaya anda boleh lihat dengan jelas. Iris menjalankan tugasan ini dengan mengecilkan pupil apabila di dalam cahaya yang terang dan membesarkan pupil apabila di dalam cahaya suram.

Bagi sesetengah orang, iris boleh mengalami keradangan. Keadaan ini dipanggil iritis

Apakah kebarangkalian Iritis?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Iritis?

Simptom-simptom biasa bagi iritis adalah:

  • Sakit di dalam mata atau kawasan kening
  • Sakit mata bertambah teruk apabila terdedah kepada cahaya terang
  • Mata kemerahan, terutamanya berdekatan dengan iris
  • Pupil berbentuk kecil atau pelik
  • Penglihatan kabur
  • Sakit kepala

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor anda jika anda mengalami sebarang masalah berikut:

  • Sakit mata, termasuk kesakitan yang dikait dengan cahaya terang
  • Penglihatan kabur
  • Mata kemerahan, terutamanya berdekatan dengan iris

Punca

Apakah punca Iritis?

Selalunya, punca bagi iritis tidak dapat dikenal pasti. Bagi beberapa kes, iritis boleh dikaitkan dengan kecederaan mata, faktor genetik atau penyakit tertentu. Punca-punca iritis termasuk:

  • Kecederaan pada mata. Kecederaan akibat pukulan objek tumpul, kecederan tembus, atau terbakar disebabkan oleh bahan kimia atau api boleh mengakibatkan iritis akut.
  • Kayap (herpes zoster) pada wajah anda boleh menyebabkan iritis. Penyakit berjangkit lain, seperti toksoplasmosis, histoplasmosis, tuberkulosis dan sifilis, boleh dikaitkan dengan jenis uveitis yang lain.
  • Kecenderungan genetik. Orang yang menghidapi penyakit autoimun tertentu akibat pengubahsuaian gen yang mengganggu sistem imun mereka juga boleh mengalami iritis. Penyakit ini termasuk spondilitis mengankilos, Sindrom Reiter, penyakit inflamatori usus dan artritis psoriatik.
  • Penyakit Behcet. Punca yang jarang berlaku bagi iritis akut dalam negara-negara barat, keadaan ini juga terdiri daripada masalah sendi, kudis di dalam mulut dan kudis pada kemaluan.
  • Artritis reumatoid juvenil. Iritis kronik boleh berlaku pada kanak-kanak yang mengalami keadaan ini.
  • Penyakit autoimun ini melibatkan pertumbuhan sel inflamatori yang terkumpul (granuloma) pada kawasan badan anda, termasuk mata.
  • Ubat-ubat tertentu. Beberapa ubat, seperti antibiotik rifabutin (Mycobutin) dan ubat antiviral cidofovir, yang digunakan untuk merawat jangkitan HIV boleh jadi punca kepada iritis yang jarang sekali berlaku. Berhenti daripada menggunakan ubat-ubat ini biasanya akan menghentikan simptom iritis.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Iritis?

Terdapat pelbagai faktor risiko bagi iritis, seperti:

  • Mempunyai pengubahsuaian genetik yang khusus. Individu yang mempunyai perubahan khusus dalam gen yang penting untuk fungsi sistem imun yang sihat lebih cenderung untuk mengalami iritis. Perubahan ini dilabel sebagai HLA-B27
  • Mengalami jangkitan hubungan seks. Jangkitan-jangkitan tertentu, seperti sifilis atau HIV/AID, dikaitkan dengan risiko iritis yang tinggi.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah atau gangguan autoimun. Ini termasuk keadaan seperti spondilitis mengakilos dan artritis reaktif.
  • Menghisap tembakau. Kajian telah menunjukkan bahawa merokok boleh menyumbang kepada risiko iritis.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Iritis didiagnosis?

Doktor mata anda akan melakukan pemeriksaan mata yang lengkap, termasuk:

  • Pemeriksaan luaran. Doktor anda mungkin akan menggunakan pen cahaya untuk melihat pupil anda, memerhati pola kemerahan pada satu atau kedua-dua belah mata, dan memeriksa tanda-tanda lelehan.
  • Ketajaman penglihatan. Doktor anda akan menguji ketajaman penglihatan anda menggunakan carta mata dan ujian standard yang lain.
  • Pemeriksaan lampu belah (slit-lamp). Menggunakan mikroskop khusus dengan cahaya di atasnya, doktor anda akan melihat ke dalam mata bagi mencari tanda-tanda iritis. Mengembangkan pupil anda dengan titik mata membolehkan doktor anda melihat ke dalam mata anda dengan lebih jelas.
  • Jika doktor mata anda mengesyaki terdapat penyakit atau keadaan yang menyebabkan iritis anda, doktor anda akan bekerjasama dengan doktor rawatan primer anda bagi mengenal pasti punca tersebut. Bagi kes sebegini, ujian seterusnya mungkin termasuk ujian darah atau x-ray bagi mengenal pasti atau menolak kemungkinan punca-punca spesifik yang lain.

Bagaimana pesakit Iritis dirawat?

Rawatan iritis direka bagi mengekalkan penglihatan dan melegakan kesakitan serta inflamasi. Bagi iritis yang dikaitkan dengan keadaan dalaman, merawat keadaan tersebut juga perlu.

Kebiasaanya, rawatan iritis melibatkan:

  • Titik mata steroid. Ubat glukokortikoid, diberi sebagai titik mata, mengurangkan inflamasi.
  • Titik mata pengembang. Titik mata yang digunakan untuk mengembangkan pupil anda boleh mengurangkan kesakitan akibat iritis. Titik mata pengembang juga melindungi anda daripada mengalami komplikasi yang boleh menganggu fungsi pupil anda.

Jika simptom-simptom anda tidak hilang, atau kelihatan bertambah buruk, doktor mata anda mungkin akan mempreskripsi ubat oral seperti steroid atau agen anti-inflamatori yang lain, bergantung kepada keadaan keseluruhan anda.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Iritis?

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang mungkin membantu anda mengatasi iritis:

  • Guna ubat yang dipreskripsi seperti yang diarahkan.
  • Pakai kaca mata hitam jika cahaya memburukkan lagi sakit mata anda.
  • Ambil analgesik biasa, seperti acetaminophen (Tylenol) atau ibuprofen (Advil), bagi bantu mengawal sedikit rasa tidak selesa.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan