Apa itu Imbasan CT Tulang Belakang lumbosakral?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Imbasan CT Tulang Belakang lumbosakral?

Imbasan CT (computed tomography), sering dirujuk sebagai imbasan CAT, ialah sejenis X-ray yang menghasilkan imej potongan melintang di bahagian khusus dalam badan. CT tulang belakang lumbosakral ialah imbasan CT bahagian tulang belakang bawah dan tisu di sekelilingnya.

Mengapa ujian ini dijalankan?

CT memberikan imej yang teliti dengan cepat. CT tulang belakang lumbosakral boleh mengevaluasi patah dan perubahan pada tulang belakang seperti yang berlaku dalam kes artiritis.

Ia juga boleh digunakan semasa atau selepas X-ray urat tunjang dan akar urat tunjang (myelography) atau X-ray cakera tulang belakang (discography).

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Kadangkala, keputusan ujian CT anda mungkin berbeza dengan keputusan dari ujian-ujian jenis X-ray yang lain, MRI (magnetic resonance imaging) atau imbasan ultrasonik, kerana imbasan CT memberikan pandangan yang berbeza.

Kanak-kanak yang memerlukan imbasan CT mungkin memerlukan arahan khusus. Jika anak itu terlalu kecil untuk duduk diam atau takut, doktor mungkin memberikan ubat (ubat penenang) untuk membantu menjadi lebih tenang.

Jika anak anda dijadualkan untuk imbasan CT, sila bincang dengan doktor tentang keperluan imbasan tersebut serta risiko radiasi kepada anak anda.

MRI mungkin memberikan lebih banyak maklumat berbanding imbasan CT tentang cakera tulang belakang dan urat tunjang. Apabila imbasan CT tulang belakang dibuat bersama myelogram, ia dipanggil CT myelogram. MRI tulang belakang sering dilakukan sebagai ganti kepada CT myelogram.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian ini?

Anda mungkin mahu memakai pakaian yang longgar dan selesa kerana anda perlu baring di atas meja. Anda juga akan disuruh untuk mengalihkan sebarang perhiasan dan barang-barang besi yang lain dari badan anda. Beritahu doktor jika anda ada implan besi dari prosedur sebelum ini.

Sebelum menjalani imbasan CT, beritahu doktor jika anda mengalami mana-mana keadaan di bawah:

  • Alahan kepada kontras (barium)
  • Diabetes kerana puasa boleh merendahkan gula dalam darah
  • Hamil

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

Anda akan disuruh baring atas meja sempit yang meluncur ke dalam pusat pengimbas CT.

Apabila anda sudah berada di dalam pengimbas, mesin X-ray akan berpusing mengelilingi.

Pengesan kecil di dalam pengimbas tersebut mengukur kadar X-ray yang melepasi bahagian tubuh anda yang sedang diuji. Sebuah komputer mengambil maklumat ini dan menghasilkan imej asing bahagian tulang belakang yang dinamakan kepingan. Imej-imej ini akan disimpan, dilihat di skrin komputer atau dicetak di atas filem. Model bahagian tulang belakang 3 dimensi boleh dicipta dengan menggabungkan kepingan-kepingan tersebut.

Anda harus duduk diam semasa ujian. Pergerakan boleh menyebabkan imej kabur. Anda mungkin disuruh tahan nafas untuk jangka masa pendek.

Dalam sesetengah kes, pewarna berasaskan iodin, yang dipanggil kontras, disuntik ke dalam vena anda sebelum imej diambil. Kontras boleh menyorot kawasan khusus dalam badan dimana ia menghasilkan imej yang lebih jelas.

Dalam kes yang lain, CT tulang belakang lumbosakral mungkin dilakukan selepas menyuntik pewarna ke dalam saluran tulang belakang semasa tusukan lumbar untuk menyemak tekanan pada urat saraf.

Imbasan tersebut hanya mengambil masa selama beberapa minit sahaja.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Selepas ujian, anda boleh menukar semula pakaian anda dan pulang.

Keputusan kebiasaannya mengambil masa sehari untuk diproses. Doktor akan menjadualkan temu janji susulan untuk membincangkan tentang keputusan imbasan anda dan memberitahu bagaimana untuk meneruskannya bergantung kepada bacaannya. Bagi membantu mencapai diagnosis dan rawatan yang terbaik, ujian lain mungkin dilakukan seperti imbasan yang lain, ujian darah atau ujian-ujian diagnostik yang lain.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Keputusan normal

Keputusan dikira normal jika tiada masalah ditemui pada bahagian lumbosakral dalam imej tersebut.

Keputusan abnormal

CT tulang belakang lumbosakral mungkin menemukan keadaan atau penyakit berikut:

  • Sista
  • Hernia cakera
  • Jangkitan
  • Kanser yang merebak ke tulang belakang
  • Osteoartritis
  • Osteomalacia
  • Urat tersepit
  • Tumor
  • Patah tulang vertebra

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian ini, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mac 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 12, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.