Apa itu Ibu Jari Pemain Ski (Skier’s Thumb)?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Ibu jari pemain ski atau Skier’s Thumb menggambarkan kecederaan pada tisu lembut yang menyambung tulang ibu jari anda bersama. Bagi istilah perubatan, tisu lembut ini dipanggil ligamen.

Bagi kes yang teruk, dengan koyakan penuh ligamen, kecederaan ini perlu dibaiki secara pembedahan. Kestabilan ligamen yang baik adalah penting kerana ia menyumbang kepada fungsi ibu jari untuk memegang.

Apakah kebarangkalian ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Ibu jari pemain ski ini banyak terjadi melibatkan kecederaan bermain ski. Perkara ini berlaku dalam 8-10% daripada keseluruhan kemalangan bermain ski. Keadaan ini boleh dicegah dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Simptom-simptom biasa bagi ibu jari pemain ski adalah:

  • Sakit di bahagian bawah ibu jari pada celah jari antara ibu jari dan jari telunjuk
  • Ibu jari bengkak
  • Tidak dapat memegang atau bahagian di antara ibu jari dan jari telunjuk lemah untuk memegang
  • Sakit apabila disentuh pada bahagian jari telunjuk yang dekat dengan ibu jari
  • Kulit ibu jari bertukar warna kepada biru atau hitam
  • Sakit ibu jari yang bertambah teruk dengan mana-mana atau semua pergerakan ibu jari
  • Sakit pada pergelangan tangan (yang mana boleh jadi sakit terujuk daripada ibu jari)

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara yang berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Kemalangan semasa bermain ski adalah punca yang paling biasa menyebabkan kerosakan ligamen yang mana kecederaan ini dikenali sebagai jari ibu pemain ski.

Jatuh semasa tangan terentang dengan batang ski di dalam tapak tangan anda membentuk daya yang memberi tekanan kepada ibu jari dan meregang atau mengoyak ligamen. Jatuh semasa tangan terentang dengan tapak tangan yang kosong biasanya tidak membentuk daya yang sama. Walau bagaimanapun, ibu jari anda juga boleh cedera jika ia tersangkut pada salji padat dengan kadar kelajuan yang tinggi.

Punca lain bagi kecederaan ini yang kurang biasa berlaku adalah kemalangan jalan raya apabila hanya ibu jari pemandu terkena pada stereng kenderaan. Sebarang kecederaan yang mana jari ibu secara abnormal terbengkok ke belakang atau kiri atau kanan boleh menyebabkan ibu jari pemain ski.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb) didiagnosis?

Doktor akan memastikan terlebih dahulu bahawa anda tidak mempunyai sebarang anggota yang cedera dan kemudian menilai keadaan ibu jari anda dengan lebih teliti.

Doktor akan bertanya anda bagaimana kecederaan tersebut terjadi. Bersedia untuk menjawab soalan berikut:

  • Bilakah kecederaan ini berlaku?
  • Apakah kedudukan sebenar tangan dan ibu jari anda semasa kecederaan ini berlaku?
  • Berapa lama kesakitan dan bengkak ini mula berlaku selepas tercedera?
  • Adakah anda berasa bahawa ibu jari anda telah ditekan melebihi julat pergerakan yang biasa?

Doktor juga akan bertanya mengenai sejarah perubatan anda yang lepas. Bersedia untuk menjawab soalan-soalan ini.

  • Pernahkah anda mengalami kecederaan yang sama sebelum ini?
  • Pernahkah anda mengalami sebarang jenis pembedahan pada tangan dan pergelangan tangan anda?
  • Adakah anda alah terhadap mana-mana ubat tahan sakit?
  • Pernahkah anda pernah mengalami mana-mana tulang yang patah pada pergelangan tangan dan tangan anda?
  • Andakah anda menggunakan tangan kanan atau kiri (kidal)?
  • Apakah pekerjaan utama anda?

Kemudian doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan termasuk ujian-ujian berikut:

  • Perbandingan antara pergerakan ibu jari yang telah cedera dengan ibu jari yang tidak cedera dengan mengenal pasti ligamen yang longgar
  • Menilai keupayaan saraf utama dalam fungsi tangan anda
  • Memeriksa tulang yang patah, termasuk melakukan x-ray tangan tangan anda bagi memastikan tiada tulang yang patah
  • Pemeriksaan pada seluruh anggota tangan anda untuk melihat sebarang kecederaan yang berkaitan pada pergelangan tangan, lengan, siku, dan bahu

Bagaimana pesakit ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb) dirawat?

Rawatan Perubatan

Sekiranya doktor telah menentukan bahawa anda mempunyai ibu jari pemain ski, rujukan akan dilakukan kepada doktor ortopedik atau doktor bedah tangan sebagai langkah seterusnya. Doktor bedah ortopedik akan menentukan sama ada ibu jari anda perlu diperiksa semula atau tidak. Pada waktu tersebut, pilihan anda untuk melakukan terapi pembedahan atau tanpa pembedahan akan dibincangkan.

Biasanya, kecederaan separuh pada ligamen akan dibiarkan tidak bergerak selama beberapa minggu, manakala koyakan penuh ligamen perlu dibaiki melalui pembedahan.

Pembedahan

Jika anda pilih untuk menjalani pembedahan, pembedahan ekplorasi dan ligamen akan dibaiki menggunakan sesuatu yang dipanggil “jahitan penambat” selalunya akan dilakukan. Selepas pembedahan ini, tangan anda akan diletakkan di dalam tuangan yang nipis bagi membolehkan ibu jari anda kekal tidak bergerak sementara menunggu ligamen anda pulih. Anda akan kekal menggunakan tuangan ini buat sementara waktu berdasarkan nasihat doktor bedah ortopedik anda, walaupun sesetengah doktor bedah sekarang memilih untuk memulakan pergerakan lembut lebih awal.

Jika anda mempunyai tulang yang patah berkait dengan ibu jari pemain ski anda, keadaan ini boleh dirawat dengan tuangan terubah suai (modified cast). Pembedahan penstabilan tulang yang patah mungkin diperlukan jika terdapat serpihan tulang yang terkeluar.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani ibu jari pemain ski (Skier’s Thumb)?

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang mungkin membantu anda mengatasi ibu jari pemain ski (skier’s thumb):

  • Letak ais pada ibu jari selama 35 minit pada satu masa, sehingga 4 kali sehari. Jangan terus letak ais pada kulit anda. Terus menggunakan ais sehingga kesakitan tersebut berhenti. (Anda harus berjumpa doktor anda secepat yang mungkin selepas cedera dan kemudian ikut arahan doktor untuk terapi ais)
  • Elakkan pergerakan ibu jari setakat yang boleh. Penggunaan longgar balutan ACE atau pendakap pergelangan tangan di dalam posisi neutral yang boleh didapati secara komersial boleh membantu imobilisasi ibu jari. Hal ini dapat membantu mengurangkan kesakitan anda
  • Ambil acetaminophen bagi melegakan kesakitan atau ibuprofen sebagak antiradang. Elakkan kedua-dua ubat tanpa preskripsi ini jika anda mempunyai masalah perut dan tidak boleh bertoleransi dengan masalah tersebut
  • Aspek rawatan di rumah yang paling penting sekali ialah memastikan kecederaan tersebut dinilai oleh doktor kecemasan, doktor bedah ortopedik, atau doktor rawatan primer anda dalam masa beberapa hari yang pertama

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Julai 9, 2018

Rujukan