backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Hoarding Disorder (Gangguan Penimbunan)

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 13/09/2019

Definisi

Apakah itu hoarding disorder?

Hoarding disorder (Gangguan Penimbunan) adalah kesukaran bersangatan untuk membuang atau berpisah dengan barangan peribadi kerana merasai keperluan untuk menyimpan barang tersebut. Orang yang mengalami hoarding disorder akan mengalami ketegangan setiap kali memikirkan tentang membuang barang tersebut. Pengumpulan barang yang berlebihan, tanpa mengira nilai sebenar, akan berlaku.

Pengumpulan barang seringkali akan mengakibatkan suasana hidup yang sempit sehingga rumah boleh dipenuhi dengan kapasiti berlebihan, dengan hanya laluan sempit antara keserabutan barang-barang. Almari, sinki, dapur, meja, laluan tangga dan hampir semua permukaan lain biasanya dipenuhi dengan barangan. Dan ketika tidak ada lagi ruang di dalamnya, keserabutan ini akan merebak ke garaj, kenderaan, halaman rumah dan pelbagai kemudahan penyimpanan lain.

Pengumpulan berkisar dari ringan hingga teruk. Dalam beberapa kes, pengumpulan (penimbunan) mungkin tidak banyak memberi kesan kepada kehidupan anda, sementara dalam kes lain ia akan sangat mempengaruhi kehidupan anda sepanjang hari.

Orang yang mempunyai hoarding disorder mungkin tidak melihatnya sebagai masalah, menjadikan pilihan rawatan jadi mencabar. Namun, rawatan yang intensif dapat membantu pesakit yang mengalami gangguan penimbunan untuk memahami bagaimana kepercayaan dan tingkah laku mereka dapat diubah agar mereka dapat hidup dengan lebih selamat dan lebih menyenangkan.

Apakah kebarangkalian hoarding disorder?

Hoarding disorder berlaku pada (dalam anggaran) 2 hingga 6 peratus penduduk. Sesetengah kajian menunjukkan hoarding disorder adalah lebih biasa berlaku pada lelaki daripada wanita. Ia juga lebih biasa berlaku di kalangan orang dewasa yang lebih tua (tiga kali ganda peluang orang dewasa 55 hingga 94 tahun dipengaruhi oleh hoarding disorder berbanding orang dewasa 34 hingga 44 tahun). Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom bagi hoarding disorder?

Gejala simptom yang biasa adalah:

  • Mengambil barang yang berlebihan yang tidak diperlukan atau yang tidak ada ruang
  • Kesukaran yang berterusan untuk membuang atau berpisah dengan barang-barang anda, tanpa mengira nilai sebenar
  • Berasa perlu menyimpan barang-barang ini, dan kecewa dengan fikiran untuk membuangnya
  • Membina keserabutan hingga ke tahap di mana bilik menjadi tidak boleh digunakan
  • Mempunyai kecenderungan ke arah ketidakmampuan membuat keputusan, mengejar kesempurnaan, mengelakkan diri, penangguhan, dan masalah dengan perancangan dan pelaksanaan
  • Pengumpulan barang yang berlebihan dan enggan membuang barangan menyebabkan:

    • Keadaan serabut dengan longgokan barangan yang tidak teratur, seperti surat khabar, pakaian, kertas kerja, buku atau barangan sentimental
    • Barang-barang yang memenuhi dan menyempitkan ruang berjalan dan ruang rumah anda dan menyebabkan ruang tidak boleh digunakan untuk tujuan yang dikehendaki, seperti tidak dapat memasak di dapur atau menggunakan bilik mandi untuk mandi
    • Mengumpul makanan atau sampah ke tahap yang terlampau banyak dan sangat tidak bersih
    • Ketegangan atau masalah besar dalam berfungsi atau menjaga keselamatan diri dan orang lain di rumah anda
    • Konflik dengan orang lain yang cuba mengurangkan atau menghilangkan keserabutan dari rumah anda
    • Kesukaran menyusun barangan, kadang-kadang kehilangan barangan penting dalam kekusutan

    Orang yang mempunyai hoarding disorder biasanya menyimpan barangan kerana:

    • Mereka percaya barangan-barangan ini adalah unik atau akan diperlukan pada masa akan datang
    • Barangan mempunyai makna emosi yang penting – berfungsi sebagai peringatan masa yang lebih bahagia atau mewakili orang atau haiwan kesayangan
    • Mereka berasa lebih selamat apabila dikelilingi oleh benda-benda yang mereka simpan.
    • Mereka tidak mahu membazirkan apa-apa

    Hoarding disorder adalah berbeza daripada pengumpulan barangan. Orang yang mempunyai koleksi, seperti setem atau kereta model, dengan sengaja mencari item tertentu, mengkategorikannya dan memaparkan koleksi mereka dengan teliti. Walaupun koleksi boleh menjadi besar, mereka biasanya tidak berselerak dan mereka tidak menimbulkan ketegangan dan ketidakmampuan yang merupakan sebahagian daripada kesan hoarding disorder.

    Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

    Bilakah saya harus berjumpa doktor?

    Sekiranya anda mengalami simptom dan gejala disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang persoalan, sila berbincang dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

    Punca-punca

    Apakah yang mengakibatkan hoarding disorder?

    Ianya masih tidak jelas apa yang menyebabkan hoarding disorder. Genetik, fungsi otak dan sejarah kehidupan yang tertekan sedang dikaji sebagai antara kemungkinan penyebab.

    Faktor risiko

    Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko hoarding disorder?

    Terdapat banyak faktor risikonya seperti:

    • Personaliti. Ramai orang yang mempunyai hoarding disorder mempunyai bawaan yang merangkumi ketidakmampuan membuat pilihan keraguan
    • Sejarah keluarga. Terdapat kaitan yang kuat antara mempunyai ahli keluarga yang mempunyai hoarding disorder dan mengalami gangguan itu sendiri
    • Peristiwa kehidupan yang menimbulkan stres. Sesetengah orang mengalami hoarding disorder setelah mengalami peristiwa kehidupan yang memberi tekanan yang telah mereka hadapi, seperti kematian orang yang disayangi, perceraian, pengusiran atau kehilangan harta benda dalam marak api

    Diagnosis dan rawatan

    Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

    Bagaimana hoarding disorder didiagnosis?

    Orang biasanya tidak mendapatkan rawatan untuk hoarding disorder, melainkan untuk masalah lain, seperti tekanan atau kemurungan. Untuk membantu mendiagnosis hoarding disorder, seorang pakar kesihatan mental melakukan penilaian psikologi. Sebagai tambahan kepada soalan-soalan mengenai kesejahteraan emosi, anda akan ditanya mengenai tabiat memperoleh dan menyimpan barang-barang, yang membawa kepada situasi pengumpulan.

    Ahli profesional kesihatan mental anda mungkin akan meminta kebenaran anda untuk berbincang dengan saudara-mara dan rakan-rakan. Gambar dan video ruang hidup dan ruang penyimpanan yang terjejas oleh keserabutan pengumpulan seringkali membantu. Anda juga boleh ditanya soalan-soalan untuk mengetahui jika anda mempunyai gejala gangguan kesihatan mental yang lain.

    Untuk diagnosis, ahli profesional kesihatan mental anda boleh menggunakan kriteria untuk hoarding disorder yang disenaraikan dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), yang diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika.  

    Bagaimanakah hoarding disorder dirawat?

    Rawatan boleh membantu pesakit yang mengalami hoarding disorder untuk mengurangkan simpanan, pengumpulan dan timbunan, dan kehidupan yang lebih selamat serta lebih dinikmati. Terdapat dua jenis rawatan utama yang membantu pesakit dengan hoarding disorder: terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan ubatan.

    Semasa CBT, individu akan secara beransur-ansur belajar untuk membuang barang-barang yang tidak perlu dengan ketegangan yang kurang, mengurangkan keperluan atau keinginan mereka yang berlebihan untuk menyimpan segala barang-barang ini. Mereka juga belajar untuk meningkatkan kemahiran seperti penyusunan, membuat keputusan dan relaks. Bagi sesetengah orang, ubat-ubatan membantu dan boleh membantu menambahbaik simptom.

    Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenal mengalami gejala hoarding disorder, hubungi doktor atau ahli profesional kesihatan mental anda. Di sesetengah komuniti agensi kesihatan awam boleh membantu menangani hoarding disorder dan mendapatkan bantuan untuk individu yang terjejas. Dalam sesetengah keadaan, ia mungkin perlu bagi agensi kesihatan awam atau agensi kebajikan haiwan untuk campur tangan.

    Perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan

    Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas hoarding disorder?

    Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi hoarding disorder:

    • Teruskan pelan rawatan anda. Ia memerlukan usaha yang keras, dan ia adalah perkara biasa untuk mengalami kemunduran dari masa ke semasa. Tetapi rawatan boleh membantu anda merasa lebih baik akan diri sendiri, meningkatkan motivasi anda dan mengurangkan penimbunan anda
    • Terima apa-apa bantuan. Sumber-sumber tempatan, penganjur profesional dan orang tersayang boleh membantu anda untuk membuat keputusan tentang cara terbaik untuk menyusun dan menghindari rumah dari serabut dan kekal selamat dan sihat. Ia mungkin akan mengambil masa untuk kembali ke persekitaran rumah yang selamat, dan bantuan seringkali diperlukan untuk mengekalkan susunan di sekitar rumah
    • Meminta bantuan orang lain. Penimbunan boleh membawa kepada pengasingan dan kesepian, yang seterusnya boleh menyebabkan penimbunan yang lebih teruk. Jika anda tidak mahu tetamu di rumah anda, cuba keluar untuk melawat rakan dan keluarga. Kumpulan sokongan untuk orang yang mempunyai hoarding disorder boleh memberitahu anda bahawa anda tidak bersendirian dan akan membantu anda untuk belajar mengenai kelakuan dan sumber bantuan yang anda ada
    • Cuba untuk menjaga kebersihan diri dan mandi. Jika anda mempunyai barang-barang yang ditaburkan di dalam tab mandi atau bilik mandi anda, alihkan dan sesuaikan supaya anda dapat mandi
    • Pastikan anda mendapat pemakanan yang mencukupi. Jika anda tidak boleh menggunakan dapur anda atau sampai ke peti sejuk anda, anda mungkin tidak boleh makan secara mencukupi. Cubalah untuk membersihkan kawasan tersebut supaya anda dapat menyediakan makanan bernutrisi
    • Ambil peduli tentang diri sendiri. Ingatkan diri anda bahawa anda tidak perlu hidup dalam keadaan huru-hara dan kesusahan – bahawa anda berhak menjalani kehidupan yang lebih baik. Fokus pada matlamat anda dan apa yang anda perlukan agar dapat mencapai matlamat anda dengan mengurangkan kekalutan di rumah anda
    • Ambil langkah kecil. Dengan bantuan profesional, anda boleh menangani satu kawasan pada satu masa. Kemenangan kecil seperti ini boleh membawa kepada kemenangan besar
    • Lakukan apa yang terbaik untuk haiwan kesayangan anda. Jika bilangan haiwan yang anda miliki telah berkembang melebihi keupayaan anda untuk menjaga mereka dengan betul, ingatkan diri anda bahawa mereka berhak menjalani kehidupan yang sihat dan bahagia – dan itu tidak mungkin jika anda tidak dapat menyediakan mereka dengan nutrisi, sanitasi dan penjagaan veterinar yang betul

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 13/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan