Apa itu Hipoksia?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Hipoksia?

Hipoksia adalah keadaan oksigen rendah dalam tisu badan disebabkan oleh hipoksemia – penurunan tahap oksigen dalam darah. Istilah hipoksia kadangkala digunakan untuk merujuk kepada kedua-dua keadaan. Hipoksia dan hipoksemia boleh menjadi simptom keadaan lain yang menyebabkan kesukaran bernafas dan masalah peredaran darah. Kadar oksigen normal  dalam arteri ialah kira-kira 75 hingga 100 milimeter merkuri (mm Hg). Jika kandungan oksigen di bawah 60 mm Hg, ini bermakna anda mengalami hipoksia dan memerlukan bantuan oksigen tambahan.

Apakah kebarangkalian Hipoksia?

Keadaan kesihatan ini biasa berlaku tanpa mengira usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Hipoksia?

Simptom hipoksia berbeza mengikut pesakit. Walau bagaimanapun, tanda-tanda dan simptom umum hipoksia ialah:

  • Masalah pernafasan: sesak nafas, pernafasan yang cepat, batuk, dan batuk berdehit (wheezing);
  • Masalah kardiovaskular: degupan jantung laju;
  • Masalah otak atau kesedaran: sakit kepala dan keliru;
  • Perubahan warna kulit anda: daripada biru ke merah;
  • Lain-lain: gelisah dan berpeluh.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor jika anda mengalami perkara berikut:

  • Anda berasa sesak nafas selepas melakukan aktiviti ringan atau semasa berehat;
  • Anda merasakan sesak nafas yang semakin parah apabila bersenam atau ketika anda aktif;
  • Tidur terganggu akibat sesak nafas semasa tidur, ini mungkin merupakan simptom apnea tidur.

Manakala jika mempunyai simptom berikut, anda perlu menghubungi doktor dengan segera:

  • Sesak nafas yang teruk dan tiba-tiba sehingga menjejaskan keupayaan anda berfungsi;
  • Sesak nafas yang teruk dengan batuk, degupan jantung laju dan penahanan cecair (fluid retention) pada ketinggian yang tinggi.

Punca

Apakah Punca Hipoksia?

Hipoksia berpunca daripada keabnormalan fungsi dan struktur saluran pernafasan dan saluran peredaran darah anda. Antara keadaan yang boleh menyebabkan hipoksia ialah:

  • Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD);
  • Emfisema;
  • Bronkitis;
  • Edema pulmonari (cecair di dalam paru-paru);
  • Anemia – kekurangan darah merah yang membawa oksigen
  • Keracunan sianida.

Hipoksia juga mungkin disebabkan serangan asma yang teruk. Semasa serangan asma, laluan pernafasan anda menyempit dengan ketara, menjadikannya sukar mendapatkan udara yang mencukupi ke dalam paru-paru anda.

Ubat-ubatan juga boleh menyebabkan hipoksia, seperti ubat tahan sakit yang kuat dan ubat-ubatan lain yang menjejaskan pernafasan.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hipoksia?

Terdapat banyak faktor risiko bagi hipoksia, seperti:

  • Risiko luaran termasuklah merokok atau asap rokok, pencemaran udara, bahan kimia, habuk di udara atau ketinggian yang tinggi.
  • Risiko dalaman seperti masalah kesihatan pada paru-paru dan organ kardiovaskular anda.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Hipoksia didiagnosis?

Doktor boleh mendiagnosis hipoksia dengan mengukur tahap oksigen dalam darah menggunakan oksimeter nadi (alat perubatan yang diklip ke jari anda) atau mengukur secara langsung pada sampel darah yang diambil dari arteri. Kadar oksigen yang normal berdasarkan oksimeter ialah kira-kira 95% hingga 100%. Jika tahap oksigen anda 90% atau lebih rendah, anda mungkin berada dalam keadaan hipoksia.  

Ujian lain mungkin diperlukan dalam sesetengah kes jika doktor ingin memastikan jika terdapat masalah lain seperti keracunan karbon monoksida yang menyebabkan hipoksia. Antaranya  ujian fungsi paru-paru dan ujian lain untuk membantu menentukan penyebab kadar oksigen rendah yang tidak dapat dijelaskan.

Bagaimana pesakit Hipoksia dirawat?

Anda perlu tinggal di hospital untuk mendapatkan rawatan hipoksia serta mengawasi tahap oksigen anda. Perkara utama dalam kes kecemasan ini ialah memastikan anda mendapat lebih banyak oksigen ke dalam badan. Doktor akan menggunakan topeng oksigen yang merangkumi hidung dan mulut atau memasang alat kecil di hidung untuk memberikan oksigen.

Jika ini masih tidak dapat membekalkan oksigen yang mencukupi, inhaler atau ubat asma melalui mulut mungkin dimasukkan untuk memudahkan pernafasan. Jika ini juga tidak berfungsi, anda mungkin akan menerima ubat melalui vena di lengan anda (IV). Anda juga mungkin memerlukan ubat steroid sekadarnya untuk mengurangkan keradangan dalam paru-paru.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hipoksia?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani hipoksia:

  • Berhenti merokok. Jika anda telah didiagnosis dengan hipoksia atau penyakit paru-paru lain, berhenti merokok adalah perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk menangani keadaan anda.
  • Elakkan asap rokok. Selain berhenti merokok, anda juga perlu mengelakkan tempat yang terdapat asap rokok. Asap rokok boleh menyebabkan kerosakan paru-paru lebih teruk berbanding merokok sendiri.
  • Bersenam selalu. Senaman yang betul dapat membantu anda untuk meningkatkan daya tahan anda.
  • Amalkan diet yang sihat dan kekal aktif.
  • Ketahui pencetus asma anda dan cari jalan untuk mengelaknya.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 4, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.