Apa itu Hidradenitis Suppurativa?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Hidradenitis Suppurativa?

Hidradenitis supurativa adalah penyakit kulit kronik (berulang) yang menyebabkan rasa sakit. Pada peringkat awal, terdapat benjolan seperti jerawat yang muncul pada kulit. Benjolan ini kemudian akan tersebar dan berkembang di tempat-tempat yang kebiasaannya tidak mengalami jerawat biasa.

Apakah kebarangkalian Hidradenitis Suppurativa?

Dianggarkan 1% daripada populasi mengalami hidradenitis supurativa – tetapi peratusan ini mungkin kurang daripada anggaran sebenar, kerana sesetengah pesakit mungkin terlalu malu mendapatkan diagnosis dan rawatan.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Hidradenitis Suppurativa?

Tidak seperti jerawat biasa, hidradenitis supurativa boleh muncul pada mana-mana bahagian kulit terutamanya:

  • Ketiak (sebelah atau kedua-dua belah);
  • Groin (alat kelamin, sekitar dubur, dan kawasan sekitar);
  • Punggung;
  • Bahagian atas paha;
  • Payudara wanita (di bawah dan kadangkala pada payudara sendiri).

Apabila pertama kali mendapat hidradenitis supurativa, pesakit sering mendapati:

  • Satu (atau beberapa) letusan(breakouts) yang kelihatan seperti jerawat atau bisul;
  • Letusan mungkin kekal pada kulit; atau hilang dan muncul kembali;

Tanpa rawatan, pesakit boleh mengalami:

  • Letusan yang menyakitkan dan mendalam, yang sembuh dan muncul kembali;
  • Letusan yang pecah dan mengeluarkan cecair berbau busuk;
  • Parut yang terbentuk akibat letusan berulang kali sembuh dan muncul kembali;
  • Parut yang menjadi lebih tebal dengan masa;
  • Kulit yang mula kelihatan seperti span akibat pembentukan saluran dalam kulit;
  • Jangkitan serius;
  • Kanser kulit (jarang berlaku).

Simptom mungkin berbeza antara pesakit dan muncul pada masa yang berbeza pada pesakit yang sama. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis awal bagi hidradenitis supurativa adalah penting untuk mendapatkan rawatan yang berkesan. Temui doktor anda jika simptom anda:

  • Menyakitkan;
  • Tidak bertambah baik dalam beberapa minggu;
  • Simptom kembali setelah beberapa minggu rawatan;
  • Muncul di beberapa bahagian;
  • Sering berulang.

Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk anda berbincang dengan doktor tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Hidradenitis Suppurativa?

Punca penyakit ini masih belum jelas, tetapi liang tersumbat mungkin membawa kepada keadaan ini. Apabila peluh dan kotoran terperangkap dalam liang roma, folikel rambut mungkin membengkak dan pecah, atau dijangkiti. Hidradenitis supurativa juga mungkin berlaku pada mereka yang mempunyai sistem imun yang memberikan respon berlebihan pada folikel rambut tersumbat tersebut.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hidradenitis Suppurativa?

Hidradenitis supurativa paling biasa berlaku dalam::

  • Orang yang berat berlebihan atau obes;
  • Perokok;
  • Wanita (3 kali lebih ganda berbanding lelaki).

Hidradenitis supurativa kebiasaannya bermula sekitar baligh. Tidak ramai yang mengalami hidradenitis supurativa sebelum usia 11 tahun melainkan kanak-kanak  tersebut mengalami akil baligh lebih awal. Kejadian hidradenitis supurativa selepas menopaus atau umur 55 tahun juga jarang berlaku.

Hidradenitis supurativa adalah keadaan yang diwarisi. Kira-kira satu pertiga pesakit mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan ini.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Hidradenitis Suppurativa didiagnosis?

Diagnosis dibuat dengan meniliti kawasan kulit yang terjejas. Doktor mungkin akan mengambil sampel daripada bahagian tersebut untuk melihat kuman yang ada. Tidak ada ujian khusus untuk diagnosis dibuat.

Bagaimana pesakit Hidradenitis Suppurativa dirawat?

Hidradenitis supurativa biasanya berterusan selama bertahun-tahun, tetapi mungkin menjadi tidak aktif pada akhirnya. Rawatan biasanya hanya melegakan simptom dan tidak dapat menyembuhkan hidradenitis sepenuhnya. Rawatan awal dan untuk jangka masa panjang boleh membantu mengawal kesakitan, menggalakkan penyembuhan luka, mengelakkan pembentukan baru dan mencegah komplikasi.

Terdapat beberapa pilihan rawatan. Bincangkan dengan doktor anda tentang risiko dan kesesuaian setiap pilihan rawatan.

Antara rawatannya ialah:

  • Ubat topikal dan oral. Ini termasuklah antibiotik dan ubat-ubatan daripada vitamin A (retinoids).
  • Ubat lain yang mengurangkan keradangan termasuklah steroid, dsb.
  • Ubat yang menyekat sistem imun
  • Ubat tahan sakit.
  • Pembedahan mungkin menjadi satu pilihan jika HS teruk atau tidak bertindak balas dengan rawatan lain.

Setiap rawatan mungkin mempunyai kesan sampingan. Pastikan anda dimaklumkan tentang kesan ubat dan masalah yang mungkin timbul untuk keadaan anda.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hidradenitis Suppurativa?

Hidradenitis supurativa ringan boleh dirawat dengan langkah penjagaan diri. Penjagaan diri juga merupakan pelengkap penting kepada sebarang rawatan perubatan yang mungkin anda ambil. Cadangan berikut dapat membantu melegakan ketidakselesaan dan mempercepatkan penyembuhan luka:

  • Kurangkan berat badan
  • Berhenti merokok
  • Berhenti mencukur bahagian kulit yang terjejas
  • Pakai baju longgar untuk mengurangkan geseran.
  • Pastikan kulit anda sejuk.
  • Pengurusan stres.

Salah satu cabaran terbesar bagi pesakit hidradenitis supurativa ialah menangani rasa sakit dan malu. Kesakitan kulit ini boleh menjejaskan tidur, pergerakan dan hubungan kelamin anda. Jika terdapat nanah, baunya dapat dihidu biarpun dengan penjagaan kebersihan yang baik. Anda mungkin menjadi cemas dan tertekan serta ingin menyendiri.

Dapatkan sokongan ahli keluarga dan rakan anda. Anda juga boleh menyertai kumpulan sokongan hidradenitis supurativa dan mendapatkan kaunseling.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 2, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut