Apa itu Herpes Zoster?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Herpes Zoster?

Herpes zoster, juga dikenali sebagai kayap, ialah letusan lepuh kulit yang menyakitkan dan menyebabkan ketidakselesaan. Pesakit kayap perlu mendapatkan ubat-ubatan tertentu yang boleh membantu melegakan simptom dan mencegah komplikasi kayap.

Orang dewasa yang berumur lebih daripada 50 tahun atau mereka mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko mengalami kayap. Kini, vaksin (Zostavax) tersedia untuk  pencegahan kayap bagi mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Apakah kebarangkalian Herpes Zoster?

Herpes zoster biasa berlaku terutamanya pada orang dewasa yang berusia 50 tahun dan ke atas. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Herpes Zoster?

Virus ini hidup di dalam saraf berhampiran dengan tulang belakang. Apabila diaktifkan, virus ini akan bergerak melalui saraf ke kulit. Ia kemudiannya menyebabkan kumpulan atau jaluran ruam pada kulit di hujung saraf tersebut. Ruam ini biasanya kekal dalam bentuk jalur sepanjang satu sisi bahagian badan. Walau bagaimanapun, terdapat kes di mana ruam berlaku di mana-mana sahaja. Sebagai contoh, kayap pada wajah boleh melibatkan mata dan dianggap keadaan yang serius serta boleh menyebabkan parut dan buta.

Simptom awal kayap ialah rasa gatal yang ringan, kesemutan, rasa sakit, sakit kepala, demam, atau sindrom seperti menghidap flu. Setelah itu, ruam akan mula muncul, terdiri daripada sekumpulan lepuh kecil dan berair yang kering, berkeruping dan sembuh (seperti cacar air) dalam masa beberapa minggu. Walaupun sangat gatal, anda harus mengelak daripada menggaru kayap kerana garuan boleh menyebabkan jangkitan bakteria.

Anda juga mungkin akan mengalami rasa sakit pada ruam tersebut. Sesetengah pesakit yang berusia lebih daripada 50 tahun, boleh mengalami kesakitan (disebut neuralgia postherpetic) selama lebih dari 30 hari. Ia boleh menjadi rasa sakit yang sangat teruk dan mengganggu aktiviti harian.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Sekiranya anda mempunyai tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Herpes Zoster?

Penyebab herpes zoster adalah virus varicella-zoster, virus yang sama yang menyebabkan cacar air. Selepas mengalami cacar air, virus ini akan menjadi tidak aktif. Bagaimanapun, disebabkan antibodi badan terhadap virus ini berkurang dengan masa, ia boleh menjadi aktif semula dan menyebabkan kayap. Virus varicella-zoster  biasanya mengambil masa yang lama, iaitu lebih daripada sedekad, untuk menjadi aktif kembali.

Mereka yang tidak diberikan vaksin untuk cacar air boleh dijangkiti virus varicella-zoster oleh orang yang sedang mengalami kayap.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Herpes Zoster?

Terdapat banyak faktor risiko untuk herpes zoster, seperti:

  • Mempunyai cacar air. Anda mestilah pernah mendapat cacar air sebelum mengalami kayap.
  • Usia lebih daripada 50 tahun.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah disebabkan penyakit lain, seperti diabetes atau HIV.
  • Mengalami stres atau trauma.
  • Menghidap kanser atau menerima rawatan untuk kanser.
  • Mengambil ubat yang memberi kesan kepada sistem imun, seperti steroid atau ubat yang diambil selepas pemindahan organ.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Herpes Zoster didiagnosis?

Doktor akan mendiagnosis kayap dengan memeriksa kulit anda. Diagnosis dibuat berdasarkan ciri lepuh air dan rasa sakit pada tulang belakang. Ujian darah jarang sekali diperlukan. Lepuh air mungkin akan diperiksa di makmal jika diagnosis masih tidak jelas.

Bagaimana pesakit Herpes Zoster dirawat?

Herpes zoster kebiasaannya reda sendiri selepas beberapa minggu. Tujuan rawatan untuk adalah untuk memendekkan tempoh jangkitan, mengurangkan rasa tidak selesa, dan menghalang komplikasi. Jika anda didiagnosis awal (dalam 2 atau 3 hari), doktor akan memberikan ubat antiviral, seperti acyclovir, valacyclovir, and famciclovir, untuk mengurangkan ruam dan rasa sakit kerana ubat antiviral berkesan jika diambil awal.. Anda juga mungkin memerlukan ubat lain dan losyen untuk menangani rasa sakit dan gatal, di samping mengurangkan parut apabila lepuh sembuh.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Herpes Zoster?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani herpes zoster:

  • Pastikan kawasan yang beruam bersih
  • Tekan dengan benda sejuk dan basah untuk melegakan sakit
  • Ambil ubat tanpa preskripsi atau ubat anti keradangan seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB, dll).

Jika kayap berlaku di wajah dan menyebabkan kesukaran menutup mata, lakukan perkara berikut untuk melindungi penglihatan anda:

  • Gunakan ubat titis mata yang melembapkan sepanjang hari jika mata anda menjadi kering.
  • Pada waktu malam, sapu salap pada mata dan tutup mata dengan pita pelekat atau pakai patch mata.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 2, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut