backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Hernia Umbilikus

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa · Disemak pada 28/11/2019

Definisi

Apa itu Hernia Umbilikus?

Hernia Umbilikus berlaku apabila sebahagian usus terjulur melalui bukaan umbilikus pada otot abdomen. Ia sering terjadi dan biasanya tidak berbahaya. Ia selalu terjadi kepada bayi, namun boleh berlaku kepada orang dewasa juga. Dalam kes bayi, Hernia Umbilikus mungkin menjadi jelas apabila bayi menangis, menyebabkan perut bayi itu terjulur keluar.

Hernia Umbilikus kelihatan seperti ketulan yang tidak menyakitkan.pada atau berdekatan pusat.

Ia boleh menjadi semakin besar apabila ketawa, batuk, menangis atau ketika pergi ke tandas dan mengecil apabila berehat atau baring. Dalam kebanyakan kes, Hernia Umbilikus akan masuk semula dan otot-otot akan tertutup sebelum hari lahir tahun pertamanya. Hernia Umbilikus juga berlaku kepada orang dewasa. Tanpa rawatan, Hernia tersebut berkemungkinan menjadi lebih teruk seiring waktu.

Apakah kebarangkalian Hernia Umbilikus?

Hernia Umbilikus boleh terjadi kepada pesakit pelbagai umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Hernia Umbilikus?

Hernia Umbilikus mencipta benjolan lembut sekitar pusat (Umbilikus). Sekiranya bayi anda mempunyai Hernia Umbilikus, anda mungkin akan perasan benjolan hanya muncul apabila bayi anda menangis, batuk atau tergeliat. Benjolan tersebut akan hilang apabila bayi anda kembali tenang atau baring secara menelentang.

Hernia Umbilikus bagi kanak-kanak biasanya tidak menyakitkan. Orang dewasa juga boleh mendapat hernia umbilikus. Simptom-simptomnya adalah sama – benjolan berdekatan kawasan pusat boleh menjadi sangat menyakitkan. Hernia Umbilikus yang kelihatan semasa dewasa boleh menyebabkan ketidakselesaan abdomen.

Terdapat beberapa simptom lagi yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan terhadap sesuatu simptom, sila merujuk dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu memaklumkan doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami mana-mana yang berikut:

  • Bayi anda kelihatan seperti dalam kesakitan.
  • Bayi anda mula muntah.
  • Benjolan menjadi sakit, bengkak atau berubah warna.

Jika anda mengalami sebarang tanda atau simptom seperti yang dinyatakan di atas mahupun sebarang soalan, sila merujuk dengan doktor anda. Setiap tubuh badan seseorang bertindak secara berbeza. Langkah yang terbaik adalah anda berbincang dengan doktor tentang apa yang terbaik bagi situasi anda.

Punca

Apakah punca Hernia Umbilikus?

Semasa mengandung, tali pusat melepasi melalui bukaan kecil dalam otot abdomen bayi. Bukaan tersebut biasanya tertutup sejurus selepas kelahiran. Sekiranya otot-otot tidak bercantum sepenuhnya di bahagian tengah abdomen, kelemahan pada dinding perut boleh menyebabkan hernia umbilikus pada saat kelahiran atau kemudian dalam kehidupan. Hernia Umbilikus boleh berlaku apabila tisu lemak atau sebahagian usus terjulur melalui bahagian berdekatan pusat.

Bagi orang dewasa, terlalu banyak tekanan abdomen boleh mengakibatkan Hernia Umbilikus. Punca bagi orang dewasa, antaranya:

  • Obesiti.
  • Kehamilan berganda.
  • Cecair dalam ruang abdomen (ascites).
  • Pembedahan abdomen sebelum ini.
  • Dialisis peritoneal kronik.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hernia Umbilikus?

Hernia Umbilikus sering berlaku kepada bayi – terutama bayi pramatang dan mereka yang kekurangan berat badan semasa kelahiran. Bayi berkulit gelap kelihatan berisiko tinggi mendapat Hernia Umbilikus. Keadaan ini menjejaskan kanak-kanak lelaki dan perempuan sama banyak.

Bagi orang dewasa, faktor risikonya termasuklah:

  • Seorang wanita.
  • Berat badan berlebihan.
  • Kehamilan yang kerap.
  • Melahirkan  kehamilan berganda (mempunyai kembar dua, kembar tiga, dan lain-lain).
  • Cecair dalam ruang abdomen.
  • Pembedahan perut.
  • Mengalami batuk teruk yang berlarutan.
  • Tergeliat semasa menggerakkan atau mengangkat objek berat.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Hernia Umbilikus didiagnosis?

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi menentukan sekiranya bayi atau orang dewasa mempunyai Hernia Umbilikus. Doktor akan melihat jika Hernia tersebut boleh dimasukkan semula dalam ruang abdomen (boleh susut). Mereka akan memeriksa bayi atau orang dewasa bagi menentukan sekiranya tali pusat tersebut terperangkap atau inkarserasi. Hal ini merupakan komplikasi yang serius kerana bahagian usus yang terperangkap mungkin mengalami kekurangan bekalan darah.

Doktor anda akan mengambil x-ray atau melakukan ultrabunyi di bahagian perut bagi memastikan tiada komplikasi. Mereka akan menjalankan  ujian darah untuk mencari tanda-tanda jangkitan, terutama jika usus tersebut terhalang atau inkarserasi.

Bagaimana pesakit Hernia Umbilikus dirawat?

Kebanyakan Hernia Umbilikus pada bayi berlaku pada usia satu atau dua tahun. Doktor anda mungkin dapat menolak benjolan tersebut kembali ke dalam perut semasa pemeriksaan fizikal. Jangan cuba aksi ini sendiri. Walaupun sesetengah orang mendakwa Hernia boleh diperbaiki dengan melekatkan duit syiling ke atas benjolan, “penetapan’ ini tidak membantu dan kuman boleh berkumpul di bawah pita pelekat seterusnya menyebabkan jangkitan.

Bagi kanak-kanak, pembedahan biasanya dicadangkan bagi Hernia Umbilikus yang:

  • Tersangat sakit.
  • Lebih besar daripada diameter 1.5 cm (besar sedikit daripada ½ inci).
  • Bersaiz besar dan tiada pengurangan saiz dalam masa dua tahun pertama.
  • Tidak lenyap pada umur 4 tahun.
  • Terperangkap atau menghalang usus.
  • Menjejaskan bekalan darah usus.

Bagi orang dewasa, pembedahan biasanya sangat disyorkan bagi mengelak kemungkinan berlakunya komplikasi – terutama jika Hernia Umbilikus bertambah besar atau menjadi sangat menyakitkan.

Semasa pembedahan, insisi kecil dibuat pada dasar pusat. Tisu yang terlunjur keluar akan dimasukkan semula ke dalam ruang abdomen, dan bukaan pada dinding abdomen akan ditutup dengan jahitan. Bagi orang dewasa, pakar bedah biasanya menggunakan jejaring bagi membantu menguatkan dinding abdomen.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hernia Umbilikus?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi Hernia Umbilikus:

  • Sekiranya berat badan anda berlebihan, cuba kurangkan berat badan.
  • Jangan cuba untuk menggerakkan atau mengangkat objek berat,

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa · Disemak pada 28/11/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan