Apa itu Hematuria?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Hematuria?

Hematuria ialah keadaan darah dalam air kencing. Mereka yang normal tidak mempunyai darah dalam air kencing, jadi jika anda mengalaminya, anda perlu berjumpa dengan doktor.  Darah dalam air kencing, walaupun tidak berbahaya dalam sesetengah kes, tetapi boleh menjadi petunjuk beberapa masalah besar yang lain. Walau bagaimanapun, ia kebiasannya bukanlah tanda masalah yang mengancam nyawa.

Hematuria mungkin menjadi tanda gangguan kesihatan yang teruk dalam badan. Terdapat 2 jenis hematuria: darah dalam air kencing boleh dilihat dengan mata biasa (hematuria kasar) atau hanya dapat dilihat di bawah mikroskop (hematuria mikroskopik).

Apakah kebarangkalian Hematuria?

Keadaan kesihatan ini sangat sering dijumpai tanpa mengira usia pesakit. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Hematuria?

Biasanya, terdapat dua jenis tanda, satu yang jelas dapat dilihat dan satu yang tidak dapat dilihat.

Yang pertama dipanggil hematuria kasar atau kelihatan. Tanda yang ketara berlaku ialah kemerahan dalam air kencing, kadangkala warna merah jambu, merah kecoklatan, atau berwarna teh.

Sementara dalam hematuria mikroskopik, terdapat kehadiran sel darah merah yang tidak dapat dikesan mata kasar dan perlu diuji secara terperinci oleh doktor anda. Sekiranya terdapat darah beku dalam air kencing anda, anda mungkin akan mengalami rasa sakit.

Selain itu, terdapat beberapa simptom lain yang mungkin anda alami, termasuklah:

  • Demam;
  • Sakit perut;
  • Menggigil;
  • Kesakitan perut di bahagian bawah;
  • Tekanan darah tinggi

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mendapati warna yang aneh dalam air kencing atau memiliki sebarang soalan, sila hubungi doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Hematuria?

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan darah dalam air kencing:

  • Jangkitan saluran kencing: bakteria boleh memasuki badan anda melalui uretra dan hidup dalam pundi kencing, menyebabkan jangkitan saluran air kencing. Simptomnya termasuklah rasa hendak kencing yang berterusan, rasa sakit dan seperti terbakar sewaktu membuang air serta bau kencing yang kuat.
  • Jangkitan buah pinggang: apabila bakteria masuk ke dalam buah pinggang melalui saluran darah atau ureter, jangkitan buah pinggang boleh berlaku. Tanda-tanda dan simptom selalunya serupa dengan jangkitan saluran kencing, tetapi boleh menyebabkan demam dan rasa nyeri.
  • Batu pundi kencing atau buah pinggang: kristal boleh terbentuk di dinding buah pinggang atau pundi kencing akibat daripada pemendakan mineral dalam air kencing. Kristal-kristal ini akhirnya akan berubah menjadi batu-batu kecil dan keras ¬†yang tidak menyakitkan, dan anda mungkin tidak menyedari kewujudannya sehinggalah berlaku penyumbatan atau sewaktu mengeluarkannya daripada badan. Batu pundi kencing atau buah pinggang boleh menyebabkan pendarahan sewaktu membuang air.
  • Prostat membesar: pembesaran prostat akan menekan uretra, yang akan mengakibatkan sebahagian aliran air kencing tersumbat.
  • Penyakit buah pinggang: glomerulonefritis menyebabkan keradangan sistem penapisan buah pinggang yang boleh mengakibatkan hematuria mikroskopik.
  • Kanser: hematuri kasar mungkin merupakan tanda lewat metastasis pada buah pinggang, pundi kencing atau prostat.
  • Kecederaan buah pinggang: sebarang impak terhadap buah pinggang daripada kemalangan atau sukan boleh menyebabkan hematuria kasar.
  • Ubat-ubatan: Cyclophosphamide yang digunakan sebagai ubat anti-kanser (Cytoxan) dan penisilin boleh menyebabkan pendarahan dalam air kencing.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Hematuria?

Terdapat banyak faktor yang meningkatkan risiko hematuria, terutamanya:

  • Anda berusia lebih daripada 50 tahun dan mempunyai kelenjar prostat yang membesar.
  • Anda mempunyai keradangan buah pinggang akibat jangkitan virus atau bakteria.
  • Keluarga anda mempunyai sejarah penyakit buah pinggang.
  • Anda menggunakan Aspirin, penahan sakit anti-radang bukan steroid dan antibiotik untuk masa yang lama.
  • Anda mengambil bahagian dalam aktiviti lasak.
  • Anda melakukan senaman berlebihan dan kurang meminum air.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Hematuria didiagnosis?

Doktor anda akan bertanya tentang sejarah kesihatan anda dan keluarga, serta simptom yang anda alami. Untuk menentukan sebab anda mempunyai darah dalam air kencing, ujian berikut boleh disyorkan:

  • Ujian air kencing: Analisis air kencing untuk memeriksa jangkitan saluran kencing atau kehadiran mineral yang menyebabkan batu buah pinggang.
  • Mikroskopi kontras berfasa (phase-contrast microscopy): Untuk membantu mencari sumber pendarahan.
  • Ujian pengimejan: doktor anda akan melakukan beberapa ujian seperti X-ray, pemeriksaan tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk mendapatkan diagnosis lanjut.
  • Cystoscopy: doktor akan menyambungkan tiub yang dipasang dengan kamera kecil ke dalam pundi kencing untuk memeriksa pundi kencing dan uretra untuk tanda-tanda penyakit.

Bagaimana pesakit Hematuria dirawat?

Rawatan bergantung kepada keputusan diagnosis memandangkan hematuria hanya petanda, dan bukan penyakit sendiri. Selain itu, doktor akan membantu mengurangkan simptom dengan menetapkan antibiotik untuk merawat jangkitan saluran kencing.

Jika terdapat batu pundi kencing atau buah pinggang, doktor akan menyarankan terapi gelombang kejutan (shock wave therapy). Ini ialah cara yang paling utama dan efektif untuk membuang batu dalam buah pinggang.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Hematuria?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani hematuria:

  • Minum lebih banyak air, bukan minuman beralkohol atau minuman berwarna yang lain;
  • Hadkan pengambilan garam, protein dan makanan mengandungi oksalat;
  • Membuang air kencing dengan segera apabila merasa keinginan untuk membuang air kencing dan selepas hubungan kelamin;
  • Mengelakkan produk kebersihan feminin yang boleh menyebabkan keradangan alat kelamin anda;
  • Berhenti merokok;
  • Mengamalkan diet yang sihat;
  • Mengelakkan pendedahan bahan kimia dan bahan toksik.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 2, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut