Apa itu Haid datang lewat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apakah yang dimaksudkan dengan haid datang lewat?

Haid datang lewat adalah menstruasi yang tidak normal – sama ada lewat satu atau lebih kitaran haid. Wanita yang kelewatan haid lebih daripada tiga kitaran berturut-turut mengalami kondisi yang dipanggil amenorea.

Kehamilan adalah punca yang paling biasa  bagi keadaan ini. Punca-punca lain masalah ini termasuklah masalah dengan organ reproduktif atau dengan kelenjar yang membantu mengawal selia paras hormon. Apabila punca sebenar dirawat selalunya wanita tersebut akan pulih seperti biasa.

Berapa kerapkah haid lewat berlaku?

Tiada bukti yang menunjukkan kadar amenorea berlaku berbeza-beza mengikut asal-usul negara atau kumpulan etnik. Walau bagaimanapun, faktor persekitaran yang berkait dengan nutrisi dan  kadar penyakit kronik tidak syak lagi memberi kesan kepada kadar amenorea yang berlaku. Ia boleh dikawal dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom kelewatan haid?

Tanda yang paling utama bagi kelewatan haid ialah ketiadaan darah haid. Bergantung kepada punca kelewatan haid,anda mungkin akan mengalami tanda dan simptom lain bersama dengan ketiadaan darah haid, seperti;

  • Susu keluar dari puting
  • Keguguran rambut
  • Sakit kepala
  • Perubahan pada penglihatan
  • Rambut dan bulu muka yang berlebihan
  • Kesakitan pada bahagian pelvis
  • Jerawat

Bila saya harus bertemu dengan doktor?

Sekiranya anda mengalami apa-apa tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau apa-apa soalan, silalah berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh badan kita berbeza, sebaiknya dapatkan khidmat nasihat doktor untuk mendapatkan solusi terbaik bagi diri anda.

Punca

Apakah yang mengakibatkan kelewatan haid?

Dalam kehidupan, anda mungkin mengalami kelewatan haid disebabkan punca-punca yang natural seperti:

  • Mengandung
  • Menyusu badan
  • Putus haid/menopaus

Kebanyakan wanita mempunyai kitaran setiap 28 hari , bermula daripada kali pertama keluar darah haid sehinggalah menopaus. Walau bagaimanapun, kitaran haid yang sihat boleh berbeza-beza antara 21-35 hari bagi setiap kitaran. Sekiranya kitaran anda tidak berada di antara dua bilangan  hari ini, boleh jadi disebabkan:

  • Stres

Stres boleh mengganggu paras hormon, mengubah rutin harian anda, dan menjejaskan bahagian otak (hipotalamus) yang bertanggungjawab mengawal selia kitaran haid anda. Setelah masa berlalu, stres akan mendatangkan penyakit dan menambahkan atau mengurangkan berat badan , yang mana akan memberi impak kepada kitaran haid.

Sekiranya anda fikir stres menyebabkan kitaran haid anda bercelaru, cubalah praktikkan teknik menenangkan diri dan  ubah gaya hidup anda . Mengamalkan senaman juga boleh membantu untuk mengembalikan kitaran haid yang normal semula.

  • Berat badan yang rendah

Wanita yang mempunyai masalah pemakanan , seperti anoreksia atau bulimia boleh mengalami kelewatan haid. Berat badan yang berada dibawah 10% daripada berat normal (berat yang sesuai dengan ketinggian anda) boleh mengubah cara tubuh anda berfungsi dan menghentikan proses ovulasi.Mendapatkan rawatan untuk masalah pemakanan dan mengawal berat badan anda boleh mengembalikan kitaran haid yang normal semula

  • Obesiti

Berat badan yang berlebihan juga boleh menyebabkan gangguan pada hormon, sama seperti apabila berat badan anda berkurangan. Doktor anda akan mengesyorkan pelan diet dan senaman sekiranya didapati masalah anda berpunca daripada obesiti/berat badan berlebihan.

  • Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Sindrom Ovari polisistik adalah kondisi yang menyebabkan tubuh seorang wanita menghasilkan lebih banyak hormon lelaki (androgen). Sista yang terhasil pada ovari adalah kesan ketidakseimbangan hormon. Ini akan membuatkan ovulasi tidak sekata atau berhenti terus.

Hormon-hormon lain seperti insulin juga menjadi tidak seimbang  kerana terjadinya kerintangan insulin yang selalunya berlaku bersama dengan PCOS. Rawatan untuk PCOS berfokus untuk melegakan simptom. Doktor mungkin akan memberi pil pencegahkehamilan atau ubat-ubatan lain untuk mengawal selia kitaran anda.  

  • Perancang  kehamilan

Anda mungkin mengalami perubahan pada kitaran haid apabila anda menggunakan pil pencegah kehamilan secara tidak tetap. Pil ini mengandungi hormon estrogen dan progestin yang menghalang ovari daripada melepaskan telur. Ia boleh mengambil masa sehingga 6 bulan untuk kitaran anda kembali normal selepas berhenti daripada mengambil pil ini. Alat pencegah kehamilan yang lain  yang menggunakan implan dan suntikan juga boleh menyebabkan kelewatan/terlepas haid

  • Penyakit kronik

Penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit seliak juga boleh menjejaskan kitaran haid. Perubahan pada kandungan gula dalam darah berkait dengan perubahan hormon, jadi, diabetes yang tak terkawal boleh menyebabkan haid yang tidak tetap.

Penyakit seliak menyebabkan keradangan yang membawa kepada kerosakan di dalam usus kecil , yang boleh mengganggu tubuh anda untuk menyerap nutrisi-nutrisi penting. Ini boleh menyebabkan kelewatan atau terlepas haid.

  • Menopaus awal

Kebanyakan wanita mula menopaus ketika berumur antara 45ke 55 tahun. Wanita yang mengalami simptom ini sekitar umur40 tahun atau lebih awal dikira menopaus awal. Ini bermakna bekalan telur anda sudah berkurangan lalu menyebabkan terlepas haid dan akhir sekali berhenti selamanya.

  • Masalah tiroid

Masalah tiroid samada terlalu aktif atau kurang aktif boleh juga menjadi sebab kelewatan atau terlepas haid. Kelenjar tiroid mengawal selia metabolisma badan, jadi paras hormon juga boleh terjejas apabila tiroid bermasalah.  Masalah tiroid selalunya boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Selepas rawatan dilakukan , haid anda selalunya akan kembali normal.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko kelewatan haid?

Faktor yang boleh meningkatkan risiko anda termasuklah;

  • Sejarah keluarga

Sekiranya ada wanita dalam kalangan keluarga anda mengalami kelewatan haid, kemungkinan anda juga boleh mewarisi masalah yang sama.

  • Masalah pemakanan

Sekiranya anda mempunyai masalah permakanan, seperti anoreksia dan bulimia, anda berisiko tinggi untuk mengalami kelewatan haid

  • Latihan kecergasan

Latihan kecergasan yang terlampau lasak boleh meningkatkan risiko kelewatan haid.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaiman kelewatan haid didiagnosis?

Sewaktu temu janji, doktor akan melakukan pemeriksaan pelvis untuk memeriksa sebarang permasalahan dengan organ reproduktif anda. Sekiranya anda sememangnya tidak pernah datang haid sebelum ini, doktor akan memeriksa buah dada dan alat sulit anda untuk melihat perubahan yang biasanya berlaku pada wanita  yang sudah akil baligh.

  • Ujian makmal

Pelbagai ujian darah mungkin diperlukan, termasuklah;:

  • Ujian kehamilan

Ini mungkin ujian pertama yang doktor anda sarankan untuk menyaring keluar ataupun mengesahkan kebarangkalian kehamilan.

  • Ujian fungsi tiroid

Mengukur paras hormon perangsang tiroid (TSH) dalam darah anda boleh memastikan tiroid berfungsi dengan baik. 

  • Ujian fungsi ovari

Mengukur paras hormon perangsang folikel (FSH) dalam darah anda boleh memastikan ovari berfungsi dengan baik.

  • Ujian prolaktin

Paras hormon prolaktin yang rendah mungkin adalah tanda ketumbuhan pada kelenjar pituitari.

  • Ujian hormon lelaki

Sekiranya anda mengalami perubahan seperti bertambah rambut dan bulu muka serta suara menjadi garau, doktor anda mungkin akan memeriksa paras hormon lelaki dalam darah anda.

  • Ujian pengimejan

Bergantung kepada tanda dan simptom  anda – dan keputusan mana-mana ujian darah yang diambil- doktor akan menyarankan satu atau lebih ujian pengimejan termasuklah:

  • Ultrabunyi

Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej organ dalaman. Sekiranya anda tidak pernah mengalami haid , doktor akan menyarankan ultrabunyi untuk memeriksa sebarang perkara luar biasa a dalam organ reproduktif anda.

  • Imbas CT

Imbas CT menggabungkan imej-imej sinar-X yang diambil dari sudut berbeza untuk menghasilkan keratan rentas organ dalaman anda. Imbas CT boleh menunjukkan samada rahim, ovari dan ginjal kelihatan normal atau tidak

  • Pengimejan resonans magnetik (MRI)

MRI menggunakan gelombang radio dengan medan magnetik yang kuat untuk menghasilkan imej tisu lembut dengan sangat teliti. Doktor mungkin akan melakukan MRI untuk memeriksa ketumbuhan pada pituitari

Bagaimanakah ia dirawat?

Rawatan bergantung kepada punca sebenar yang menyebabkan kelewatan haid. Dalam sesetengah kes pil perancang kehamilan atau hormon terapi yang lain boleh memulakan semula kitaran haid anda. Kelewatan haid yang disebabkan oleh masalah tiroid atau pituitari akan dirawat menggunakan ubat-ubatan. Sekiranya disebabkan oleh ketumbuhan atau penyekatan struktural, pembedahan mungkin diperlukan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh dilakukan ke atas kelewatan haid?

Faktor gaya hidup seperti terlalu banyak bersenam atau makan terlalu sedikit boleh menyebabkan kelewatan haid, jadi, berusahalah untuk mengimbangkan antara kerja, rekreasi dan rehat. Periksa/carilah perkara yang membuat anda stres atau konflik dalam kehidupan.Sekiranya anda tidak mampu mengurangkan stres sendiri, mintalah tolong kepada ahli keluarga, kawan dan doktor anda.

Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan, silalah berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian yang terbaik buat diri anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 6, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 6, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut