backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Glaukoma Sudut Terbuka Primer

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 28/11/2019

Definisi

Apa itu Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

Glaukoma merujuk kepada sekumpulan jenis keadaan mata yang mengakibatkan kerosakan kepada kepala saraf optik dengan kehilangan sel progresif yang memberikan penglihatan. Ini mengakibatkan kehilangan penglihatan yang progresif. Terdapat perubahan saraf optik yang tipikal pada pemeriksaan lampu celah (slit-lamp). Glaukoma biasanya dikaitkan dengan tekanan intraokular (IOP – tekanan cecair di mata) di atas julat normal.

Apakah kebarangkalian Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

Glaukoma Sudut Terbuka Primer boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

Glaukoma Sudut Terbuka Primer (POAG) adalah keadaan yang progresif dan kronik, yang dicirikan oleh:

  • IOP pada satu masa lebih tinggi daripada 21 mm Hg (julat normal: kira-kira 10-21 mm Hg).
  • Sudut iridokornea yang terbuka (antara iris dan kornea, di mana gelemair mengalir keluar).
  • Neuropati optik glaukoma.
  • Kehilangan medan penglihatan yang serasi dengan kerosakan fiber saraf.
  • Ketiadaan sebab yang mendasar.
  • Ia biasanya melibatkan kedua-dua belah mata

Malangnya, dalam kebanyakan kes, pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom. Oleh kerana kehilangan penglihatan awal adalah pada penglihatan periferi dan medan penglihatan dilindungi oleh mata sebelah lagi, pesakit tidak dapat menyedari kehilangan penglihatan sehinggalah kerosakan yang teruk dan kekal telah berlaku, dan sering memberi kesan kepada penglihatan pusat. Pada masa itu, sehingga 90% serat saraf optik mungkin telah rosak dan tidak boleh dipulihkan.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

Keadaan ini dipercayai disebabkan oleh masalah yang berlaku pada keupayaan sel-sel dalam jaringan trabekular (trabecular meshwork) – sebahagian tisu di mata yang terletak di sekitar pangkal kornea, berhampiran badan silium (ciliary body), yang bertanggungjawab untuk mengalirkan keluar gelemair dari mata, dan menjalankan fungsi normal mereka; ataupun sel-sel ini mungkin berkurang sedikit, sebagai kesan semula jadi apabila semakin menua.

Disebabkan jaringan trabekular membuatkan gelemair tidak mengalir keluar dengan betul, ia akan meningkatkan IOP. Teori-teori ini, serta yang lain, sedang dikaji dan diuji di banyak pusat penyelidikan di seluruh negara.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

Terdapat banyak faktor risiko untuk Glaukoma Sudut Terbuka Primer seperti:

  • Umur – biasanya muncul pada orang yang berumur 65 tahun ke atas (dan jarang berlaku sebelum umur 40 tahun).
  • Sejarah keluarga – terdapat komponen yang diwariskan dalam banyak individu.
  • Etnik – tiga hingga empat kali lebih biasa dalam kalangan orang Afro-Caribbean.
  • Tekanan darah tinggi – ini merupakan faktor risiko utama untuk perkembangan glaukoma dengan kira-kira 9% pesakitnya mengalami glaukoma selepas lima tahun jika tidak dirawat.
  • Faktor lain – miopia (penglihatan pendek), penyakit retina (contohnya, penyumbatan vena retina pusat, penanggalan retina dan retinitis pigmentosa), diabetes, tekanan darah tinggi sistemik dan mungkin juga tekanan darah rendah sistolik juga boleh menyumbang kepada risiko ini.

    Diagnosis dan Rawatan

    Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

    Bagaimana pesakit Glaukoma Sudut Terbuka Primer didiagnosis?

    Pakar oftalmologi akan memeriksa mata dengan teliti bagi mencari punca  glaukoma, komorbiditi atau diagnosis alternatif kepada penemuan yang jelas. Butiran mengenai penilaian untuk glaukoma dapat dirumuskan kepada:

    • Gonioskopi – teknik yang digunakan untuk mengukur sudut antara kornea dan iris untuk menilai sama ada glaukoma adalah sudut terbuka atau sudut tertutup.
    • Ketebalan kornea – ini mempengaruhi bacaan IOP. Sekiranya lebih tebal daripada biasa, ia akan mengambil tenaga yang lebih besar untuk melengkungkan kornea ke luar dan bacaan yang salah akan diperoleh.
    • Tonometri – ini adalah ukuran objektif IOP, biasanya berdasarkan penilaian rintangan kornea terhadap lengkungan. Julat biasa dianggap antara 10 mmHg – 21 mmHg.
    • Pemeriksaan cakera optik – ini merupakan penanda langsung bagi perkembangan penyakit ini. Kerosakan cakera optik dinilai dengan melihat nisbah cawan:cakera – normal ialah 0.3, walaupun boleh mencecah 0.7 pada beberapa orang biasa.
    • Medan visual – penilaian memerlukan kerjasama pesakit dan juga boleh dipengaruhi oleh keletihan, bingkai kaca mata, miosis dan kekaburan media. Lihat juga pada artikel lain, Kecacatan Medan Visual.

    Bagaimana pesakit Glaukoma Sudut Terbuka Primer dirawat?

    Terapi perubatan semasa untuk Glaukoma Sudut Terbuka Primer adalah terhad kepada penurunan tekanan intraokular. Pendekatan rasional untuk memilih ubat antiglaukoma harus meminimumkan bilangan ubat dan kebarangkalian kesan buruk yang signifikan.

    Jika sejenis ubat tidak mencukupi untuk mencapai tekanan sasaran, jenis ubat kedua yang dipilih harus mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza, supaya terapi kedua-dua ubat akan mempunyai kesan tambahan.

    Ubat-ubatan

    Ubat-ubatan yang digunakan dalam merawat Glaukoma Sudut Terbuka Primer termasuklah yang berikut:

    • Penyekat beta-adrenergik (cth: levobunolol, timolol, carteolol, betaxolol, metipranolol, levobetaxolol).
    • Agonis adrenergik (cth; brimonidine, apraclonidine).
    • Bahan simpatomimetik yang kurang selektif (cth: dipivefrin, epinephrine).
    • Perencat carbonic anhydrase (cth: dorzolamide, brinzolamide, acetazolamide, methazolamide).
    • Analog prostaglandin (cth: latanoprost, bimatoprost, travoprost, unoprostone, tafluprost).
    • Agen miotik (cth: pilocarpine).
    • Agen hiperosmotik (cth: isosorbide dinitrate, manitol, gliserin).
    • Gabungan penyekat beta / agonis alfa (cth: brimonidine/timolol).
    • Gabungan penyekat beta / perencat carbonic anhydrase (cth: dorzolamide/timolol).
    • Perencat carbonic anhydrase / agonis alfa (cth: brimonidine/brinzolamide)

    Terapi laser

    Laser boleh digunakan sebagai rawatan utama atau tambahan. Ia dilaksanakan dalam kes-kes ketidakpatuhan dengan ubat-ubatan atau jika pesakit berada pada terapi perubatan yang maksimum boleh diterima dan masih memerlukan pengurangan tekanan intraokular lagi. Berikut adalah pilihan laser yang boleh digunakan untuk Glaukoma Sudut Terbuka Primer:

    • Argon Laser Trabeculoplasty (ALT)
    • Selective Laser Trabeculoplasty (SLT)
    • Micropulse Diode Laser Trabeculoplasty (MDLT)

    Pembedahan

    Pembedahan dilaksanakan dalam Glaukoma Sudut Terbuka Primer apabila neuropati optik akibat glaukoma bertambah buruk (atau dijangka bertambah buruk) di mana-mana tahap tekanan intraokular yang diberikan dan pesakit berada pada terapi perubatan maksimum yang boleh diterima.

    Berikut adalah pilihan pembedahan yang boleh digunakan untuk Glaukoma Sudut Terbuka Primer:

    • Trabeculectomy.
    • Pembedahan implan saliran.
    • Cyclophotocagulation (CPC).

    Pembedahan invasif glaukoma yang minimum  (MIGS) terdiri daripada teknik baru yang berpotensi sebagai pilihan pembedahan dalam Glaukoma Sudut Terbuka Primer, termasuklah yang berikut:

    • Sklerektomi dalam / Viscocanalostomy.
    • Canaloplasty jahitan 360 darjah.
    • Trabectome ®.
    • Cyclophotocoagulation Endoskopi (ECP).
    • CyPass Microstent ®.
    • iStent implant ®.
    • Trabekulotomi Translumen dibantu oleh Gonioscopy (GAAT).
    • Kahook Dual Blade ®.

    Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

    Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Glaukoma Sudut Terbuka Primer?

    Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin boleh membantu anda menangani Glaukoma Sudut Terbuka Primer:

    • Makan makanan yang sihat.
    • Bersenam dengan selamat.
    • Hadkan kafein anda.
    • Kerap minum sedikit air.
    • Tidur dengan kepala anda dinaikkan.
    • Ambil ubat yang ditetapkan.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan