Apa itu Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Gegendang telinga pecah adalah kebocoran pada membran nipis yang memisahkan antara telinga luar dan telinga dalam anda. Membran itu, yang dikenali sebagai membran timpani, diperbuat daripada sejenis tisu yang menyerupai kulit.

Gegendang telinga memainkan dua fungsi penting di telinga anda. Ia mengesan gelombang bunyi yang bergetar dan menukarkan getaran ke dalam impuls saraf yang menyampaikan bunyi ke otak anda. Ia juga melindungi telinga tengah daripada bakteria, air dan objek asing. Biasanya, telinga tengah adalah steril. Tetapi apabila gegendang telinga itu berlubang, bakteria boleh masuk ke telinga tengah dan menyebabkan jangkitan yang dikenali sebagai otitis media.

Apakah kebarangkalian Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Gegendang telinga pecah boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Tanda-tanda dan simptom yang umum bagi gendang telinga yang berlubang termasuklah:

  • Kesakitan telinga yang mungkin hilang dengan cepat.
  • Lelehan yang jernih, bernanah atau berdarah dari telinga anda.
  • Hilang pendengaran.
  • Bunyi deringan di telinga anda (tinnitus).
  • Rasa berputar (vertigo).
  • Mual atau muntah yang boleh menyebabkan vertigo.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Adalah dibuktikan bahawa terdapat banyak punca bagi gegendang telinga yang berlubang, dan sebab-sebab berikut adalah dianggap sebagai yang paling lazim iaitu:

  • Jangkitan telinga tengah (otitis media). Jangkitan pada telinga tengah sering menyebabkan pengumpulan cecair di telinga tengah anda. Tekanan dari cecair yang berkumpul ini boleh menyebabkan gegendang telinga pecah.
  • Barotrauma. Barotrauma adalah tekanan yang berlaku pada gegendang telinga anda apabila tekanan udara di telinga tengah dan tekanan udara di persekitaran tidak seimbang. Sekiranya tekanan itu semakin teruk, gegendang telinga anda boleh pecah. Barotrauma selalunya disebabkan oleh perubahan tekanan udara yang berkaitan dengan pengangkutan udara.

Fenomena lain yang boleh menyebabkan perubahan mendadak dalam tekanan – dan mungkin gegendang telinga berlubang – termasuklah menyelam skuba dan trauma fizikal ke telinga, contohnya seperti kesan beg udara kereta.

  • Suara atau letupan yang kuat (trauma akustik). Bunyi atau letupan yang kuat, seperti dari letupan atau tembakan – pada dasarnya gelombang bunyi yang kuat – dapat membocorkan gegendang telinga anda.
  • Objek asing di telinga anda. Objek-objek kecil seperti putik kapas atau jepit rambut, boleh menusuk atau merobek gegendang telinga.
  • Trauma kepala yang teruk. Kecederaan yang teruk, seperti keretakan tulang tengkorak, boleh menyebabkan struktur telinga tengah dan dalam anda terkehel atau rosak, termasuklah gegendang telinga anda.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Kanak-kanak berisiko tinggi untuk mengalami gegendang telinga berlubang. Kadang-kadang mereka boleh membocorkan gegendang telinga mereka sendiri dengan meletakkan benda seperti kayu atau mainan kecil di dalam telinga mereka.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Gegendang Telinga Pecah/Bocor didiagnosis?

Sekiranya anda mengalami simptom atau tanda-tanda gegendang telinga yang berlubang, doktor akan melakukan pemeriksaan otoskopi. Otoskop adalah instrumen dengan cahaya yang digunakan untuk melihat ke dalam lubang telinga. Dalam kebanyakan kes, jika ada lubang atau kebocoran di gegendang telinga, doktor akan dapat melihatnya.

Kadang-kadang ada tahi telinga atau lelehan yang terlalu banyak yang menyukarkan bagi doktor untuk melihat gegendang telinga dengan jelas. Jika ini berlaku, doktor boleh membersihkan saluran lubang telinga atau memberikan ubat titis telinga untuk anda gunakan bagi membantu membersihkannya terlebih dahulu.

Kadangkala doktor akan menggunakan bebola getah yang dilekatkan pada hujung luar otoskop untuk meniupkan udara ke dalam telinga. Sekiranya gegendang telinga itu tidak pecah, ia akan bergetar apabila udara mencecahnya. Jika sebaliknya pula, menandakan gegendang telinga anda telah pecah.

Selain itu, doktor juga boleh menguji pendengaran anda untuk menentukan sejauh mana gegendang telinga berlubang telah mempengaruhi pendengaran anda; mereka boleh menggunakan garpu tala (tuning fork) untuk mengujinya.

Doktor juga boleh mengarahkan ujian audiologi dilaksanakan, yang menggunakan beberapa siri nada bunyi untuk anda dengar dengan fon kepala, bagi menentukan tahap pendengaran anda. Kebanyakan kehilangan pendengaran yang disebabkan oleh gegendang telinga berlubang adalah sementara. Pendengaran biasa lazimnya akan muncul semula selepas gegendang telinga sembuh.

Bagaimana pesakit Gegendang Telinga Pecah/Bocor dirawat?

Gegendang telinga berlubang tidak selalunya perlu dirawat kerana ia biasanya sembuh sendiri dalam masa beberapa minggu atau bulan, dengan syarat telinga anda kekal kering dan tidak ada jangkitan. Sekiranya anda mengalami kesakitan atau ketidakselesaan, anda boleh mengambil ubat penahan sakit belian kaunter, seperti paracetamol atau ibuprofen. Adalah penting untuk diketahui bahawa jangan sekali-kali memberikan aspirin kepada kanak-kanak di bawah usia 16 tahun.

Meletakkan flanel (tuala) panas ke atas telinga yang terjejas mungkin juga membantu melegakan kesakitan. Tambahan pula, doktor anda mungkin akan memberikan antibiotik jika gegendang telinga berlubang disebabkan oleh jangkitan atau jika terdapat risiko jangkitan berlaku ketika gegendang telinga anda sedang sembuh.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Gegendang Telinga Pecah/Bocor?

Anda boleh mengurangkan risiko terhadap jangkitan daripada gegendang telinga berlubang dengan memastikan telinga anda sentiasa kering sehingga ia sembuh.

Perlu diingati supaya jangan berenang, dan anda perlu menutup telinga anda dengan baik apabila mandi.

Lindungi telinga anda daripada kerosakan yang tidak perlu dengan memakai penutup atau penyumbat telinga di tempat kerja atau semasa aktiviti rekreasi jika terdapat bunyi persekitaran yang kuat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 28, 2018