Apa itu Gangguan Payudara?

Oleh

Definisi

Apa itu Gangguan Payudara?

Kebanyakan wanita mengalami perubahan payudara pada beberapa masa. Umur anda, tahap hormon dan ubat-ubatan yang anda ambil mungkin menyebabkan benjolan, bonggolan, dan discaj (cecair yang bukan susu ibu).

Gangguan payudara mungkin bukan kanser (benigna) atau kanser (malignan). Kebanyakannya adalah bukan kanser dan tidak mengancam nyawa. Selalunya, mereka tidak memerlukan rawatan. Sebaliknya, kanser payudara boleh bermakna kehilangan payudara mahupun nyawa. Oleh itu, bagi ramai wanita, kanser payudara merupakan suatu penyakit yang paling ditakuti. Walau bagaimanapun, masalah yang berpotensi boleh dikesan lebih awal apabila wanita sering memeriksa payudara mereka, diperiksa secara teratur oleh doktor mereka dan mempunyai mamogram seperti yang disyorkan. Pengesanan awal kanser payudara adalah penting untuk rawatan yang berjaya.

Beberapa gangguan payudara yang biasa berlaku adalah:

  • Perubahan payudara fibrosistik – benjolan, penebalan dan pembengkakan, selalunya sebelum haid.
  • Sista – benjolan yang dipenuhi cecair.
  • Fibroadenoma – pepejal, bulat, benjolan liat yang bergerak dengan mudah apabila ditolak, yang paling banyak berlaku pada wanita muda.
  • Intraduktus papiloma – pertumbuhan yang serupa dengan ketuat berhampiran puting.
  • Saluran susu yang tersumbat.
  • Penghasilan susu apabila seorang wanita tidak menyusu badan.

Apakah kebarangkalian Gangguan Payudara?

Gangguan payudara biasa berlaku. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Gangguan Payudara?

Simptom biasa bagi gangguan payudara adalah:

  • Sakit payudara.
  • Benjolan.
  • Terdapat discaj daripada puting.
  • Perubahan pada kulit payudara (sebagai contoh, kulit payudara mungkin menjadi berlekuk-lekuk, berkedut, kemerahan, menjadi tebal atau cawak).

Simptom payudara tidak semestinya bermaksud bahawa seorang wanita mempunyai kanser payudara atau gangguan lain yang serius. Sebagai contoh, nyeri payudara setiap bulan yang berkaitan dengan perubahan hormon sebelum tempoh haid tidak menunjukkan gangguan serius.

Terdapat beberapa simptom lagi yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan terhadap sesuatu simptom, sila merujuk dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor sekiranya anda mengalami mana-mana yang berikut:

  • Benjolan yang terasa berbeza dengan tisu payudara yang lain.
  • Benjolan yang tersangkut pada kulit atau dinding dada.
  • Benjolan yang tidak surut.
  • Bengkak yang tidak surut.
  • Lekuk-lekuk, kedutan, kemerahan, penebalan atau cawak pada kulit payudara.
  • Kulit bersisik di sekeliling puting.
  • Perubahan pada bentuk payudara.
  • Perubahan pada puting, seperti ditarik ke dalam.
  • Discaj daripada puting, terutamanya jika ia berdarah dan / atau berlaku secara spontan (iaitu, tanpa puting dipicit atau dirangsang oleh cara lain).

Punca

Apakah punca Gangguan Payudara?

Penyebab gangguan payudara akan berbeza bergantung kepada diagnosis. Sesetengah perubahan berlaku seiring dengan usia atau perubahan tahap hormon seperti kanak-kanak menjadi matang (baligh). Lain-lain mungkin hasil daripada anomali kongenital payudara, jangkitan, ubat-ubatan tertentu dan faktor genetik atau keturunan.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Gangguan Payudara?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Gangguan Payudara didiagnosis?

Pemeriksaan payudara

Pemeriksaan payudara dilakukan. Dalam keadaan wanita duduk atau berbaring, doktor memeriksa payudara untuk mengesan bentuk yang tidak sekata, puting yang termasuk ke dalam (puting terbalik) dan benjolan. Doktor juga memeriksa cawak, penebalan, kemerahan atau kulit yang menjadi ketat pada payudara. Puting akan dipicit untuk memeriksa discaj. Ketiak diperiksa untuk pembesaran nodus limfa.

Doktor boleh memeriksa payudara dan ketiak wanita dalam kedudukan yang berbeza. Sebagai contoh, semasa duduk, dia mungkin diminta untuk menekan telapak tangannya di hadapan dahi. Posisi ini membuatkan otot dada mengecut dan membuat perubahan tidak ketara dalam payudara menjadi lebih jelas.

Doktor boleh mengulas teknik pemeriksaan payudara kendiri dengan wanita semasa pemeriksaan. Teknik bagi pemeriksaan doktor dan pemeriksaan kendiri adalah serupa.

Ujian

Ujian pengimejan digunakan untuk:

  • Memeriksa ketidaknormalan payudara sebelum mereka tahu (dipanggil saringan kanser payudara).
  • Menilai ketidaknormalan yang telah dikenal pasti, seperti benjolan payudara yang ditemui semasa pemeriksaan doktor.

Mamografi melibatkan pengambilan X-ray kedua payudara bagi memeriksa ketidaknormalan. Dos radiasi yang rendah digunakan. Hanya sekitar 10 hingga 15% ketidaknormalan dikesan oleh mamografi, kesan daripada kanser. Mamografi lebih tepat bagi wanita yang lebih tua. Hal ini kerana seiring wanita berusia, jumlah tisu lemak meningkat dan tisu yang tidak normal lebih mudah untuk dibezakan daripada tisu lemak berbanding tisu payudara yang lain.

Cadangan untuk saringan rutin dengan mamografi berubah-ubah.

Saringan mamografi biasanya disyorkan kepada semua wanita bermula pada umur 50 tahun. Tetapi sesetengah pakar mengesyorkan bermula pada umur 40 atau 45 tahun. Mamografi kemudiannya dilakukan setiap 1 atau 2 tahun. Pakar-pakar mempunyai pelbagai cadangan tentang bilakah untuk mula melakukan mamografi rutin kerana manfaat saringan tidak jelas seperti wanita yang berusia 40 hingga 49 tahun. Mamografi rutin mungkin berhenti pada umur 75, bergantung pada jangka hayat seseorang wanita dan kehendaknya untuk meneruskan saringan.

Mamografi turut dilakukan sekiranya seorang wanita atau doktor mendapati benjolan semasa memeriksa payudara atau jika seorang wanita mengalami sakit payudara mahupun discaj daripada puting. Ia boleh menyediakan imej-imej ketidaknormalan (seperti ketumbuhan atau abses) dan tisu di sekeliling ketidaknormalan tersebut. Ia juga menyediakan imej nodus limfa bagi memeriksa ketidaknormalan.

Ultrasonografi boleh menyediakan banyak maklumat tentang ketidaknormalan yang dikesan oleh mamografi. Sebagai contoh, ultrasonografi boleh menunjukkan sama ada suatu benjolan itu pepejal atau dipenuhi dengan cecair (sista). Sista sangat jarang menjadi kanser. Ultrasonografi juga boleh digunakan bagi membantu doktor meletakkan jarum biopsi ke dalam tisu yang tidak normal.

Pengimejan resonas magnetik (MRI) dilakukan pada masa yang sama seperti mamografi untuk menyaring wanita sekiranya mereka berisiko tinggi mendapat kanser payudara – sebagai contoh, jika mereka mempunyai mutasi dalam gen untuk kanser payudara (gen BRCA). Selepas didiagnos kanser payudara, MRI digunakan bagi mengenal pasti nodus limfa tidak normal dan untuk menentukan saiz dan bilangan ketumbuhan. Maklumat ini boleh membantu doktor merancang pembedahan atau rawatan lain.

Bagaimana pesakit Gangguan Payudara dirawat?

Pilihan rawatan yang ada bergantung pada jenis gangguan payudara yang anda miliki. Banyak jenis gangguan payudara tidak memerlukan rawatan.

Sesetengah ketumbuhan atau massa boleh dibuang melalui pembedahan. Sista boleh disalirkan menggunakan jarum yang sangat halus.

Rawatan untuk beberapa keadaan payudara yang biasa terjadi:

Perubahan payudara fibrosistik

Kebanyakan wanita yang mempunyai penyakit payudara fibrosistik tidak memerlukan rawatan invasif. Rawatan di rumah biasanya mencukupi bagi melegakan kesakitan dan ketidakselesaan yang berkaitan.

Pelega kesakitan tanpa preskripsi, seperti ibuprofen (Advil) dan acetaminophen (Tylenol) biasanya boleh melegakan sebarang kesakitan dan ketidakselesaan dengan berkesan. Anda juga boleh mencuba memakai bra sokongan yang sesuai untuk mengurangkan kesakitan payudara dan nyeri. Sesetengah wanita mendapati bahawa menggunakan demah hangat mahupun sejuk melegakan simptom mereka. Cuba letakkan kain hangat atau ais yang dibalut kain ke payudara anda untuk melihat yang manakah paling berkesan untuk anda.

Fibroadenoma

Jika anda menerima diagnosis fibroadenoma, ia tidak perlu dibuang. Bergantung pada simptom fizikal anda, sejarah keluarga dan kebimbangan peribadi, anda dan doktor boleh membuat keputusan sama ada ia hendak dibuang atau tidak.

Fibroadenoma yang tidak membesar dan pastinya bukan kanser boleh dipantau secara teliti dengan pemeriksaan payudara klinikal dan ujian pengimejan, seperti mamogram dan ultrasound.

Keputusan untuk membuang fibroadenoma biasanya bergantung kepada yang berikut:

  • Jika ia memberi kesan kepada bentuk semula jadi payudara.
  • Jika ia menyebabkan kesakitan.
  • Jika anda bimbang menghidap kanser.
  • Jika anda mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser.
  • Jika anda menerima keputusan biopsi yang boleh dipersoalkan.

Sekiranya fibroadenoma dibuang, satu atau lebih berkemungkinan untuk tumbuh pada tempatnya.

Pilihan rawatan bagi kanak-kanak adalah serupa dengan orang dewasa. Tetapi laluan yang lebih konservatif lebih disukai.

Kanser payudara

Sesetengah rawatan menyingkirkan atau memusnahkan penyakit dalam payudara dan tisu sekitarnya, seperti nodus limfa. Hal ini termasuk:

  • Pembedahan bagi membuang keseluruhan payudara dipanggil mastektomi, atau untuk membuang ketumbuhan sahaja dan tisu di sekelilingnya, dipanggil lumpektomi atau pembedahan pemeliharaan-payudara. Terdapat jenis-jenis mastektomi dan lumpektomi yang berbeza.
  • Terapi radiasi, yang menggunakan gelombang tenaga-tinggi untuk membunuh sel kanser.

Rawatan lain memusnahkan dan mengawal sel kanser keseluruhan badan:

  • Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser. Oleh kerana ubat-ubat ini berkuasa melawan penyakit, ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, keguguran rambut, menopaus awal, hangat memerah, dan kelesuan.
  • Terapi hormon menggunakan ubat untuk mencegah hormon, terutamanya estrogen, daripada memacu pertumbuhan sel-sel kanser payudara. Ubat-ubatan termasuk tamoxifen (Nolvadex, Soltamox) untuk wanita sebelum dan selepas menopaus dan perencat aromatase termasuk anastrozole (Arimidex), exemestane (Aromasin), dan letrozole (Femara) untuk wanita postmenopaus. Kesan sampingan boleh termasuk hangat memerah dan kekeringan faraj. Sesetengah jenis terapi ini berfungsi dengan menghentikan ovari daripada membuat hormon, sama ada melalui pembedahan atau ubat.
  • Terapi yang disasarkan seperti lapatinib (Tykerb), pertuzumab (Perjeta), dan trastuzumab (Herceptin). Ubat-ubatan ini mendorong sistem imun badan untuk memusnahkan kanser. Mereka mensasarkan sel kanser payudara yang mempunyai tahap protein yang tinggi yang dipanggil HER2. Palbociclib (Ibrance) dan ribociclib (Kisqali) bekerja dengan menghalang bahan yang menggalakkan pertumbuhan kanser. Bersama letrozole, palbociclib, dan ribpciclib adalah untuk wanita postmenopaus dengan jenis kanser lanjutan.

Anda mungkin menjalani kemoterapi, terapi hormon atau terapi yang disasarkan bersama-sama dengan pembedahan atau radiasi. Ia boleh membunuh mana-mana sel kanser yang tercicir oleh rawatan lain.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Gangguan Payudara?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 22, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 24, 2018

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut