Apa itu Fluter Atrium?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Fluter Atrium?

Dalam Fluter Atrium, ruang bahagian atas jantung (atria) anda berdegup terlalu cepat. Ini menyebabkan jantung berdegup dalam irama yang cepat dan tetap.

Fluter Atrium adalah sejenis gangguan irama jantung (arrhythmia) yang disebabkan oleh masalah dalam sistem elektrik jantung anda.

Fluter Atrium adalah serupa dengan Fibrilasi Atrium, satu gangguan irama jantung yang biasa berlaku. Walau bagaimanapun, irama di atrium anda lebih teratur dan kurang huru-hara dalam Fluter Atrium berbanding dengan corak yang tidak normal seperti dalam Fibrilasi Atrium. Kadang-kadang anda mungkin mempunyai kedua-dua serangan Fluter Atrium dan Fibrilasi Atrium.

Apakah kebarangkalian Fluter Atrium?

Fluter Atrium boleh berlaku pada semua peringkat usia. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Fluter Atrium?

Isyarat elektrik yang menyebabkan Fluter Atrium beredar dalam pola yang teratur dan boleh diramalkan. Ini bermakna orang yang menghidap Fluter Atrium biasanya akan mengalami degupan jantung yang stabil, walaupun ia lebih cepat daripada biasa. Ada kemungkinan bahawa orang yang mengalami serangan Fluter Atrium mungkin tidak merasakan apa-apa gejala sama sekali. Bagi mereka yang mengalami gejala antaranya termasuklah:

  • Palpitasi jantung (perasaan seperti jantung anda sedang laju, berdebar-debar, atau bergetar).
  • Nadi cepat dan stabil.
  • Sesak nafas.
  • Masalah dengan latihan atau aktiviti seharian.
  • Sakit, tekanan, sesak, atau ketidakselesaan di dada anda.
  • Pening atau pengsan.

Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa gejala, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Oleh itu, adalah yang terbaik untuk berbincang dengan doktor apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Fluter Atrium?

Fluter Atrium mungkin disebabkan oleh keabnormalan atau penyakit jantung, atau suatu penyakit di tempat lain di dalam tubuh yang mempengaruhi jantung, atau melalui pengambilan bahan yang mengubah cara impuls elektrik disebarkan kepada jantung. Dalam sesetengah orang, tiada punca sebenar yang pernah ditemui.

Penyakit jantung atau keabnormalan yang boleh menyebabkan Fluter Atrium termasuklah:

  • Kekurangan aliran darah ke jantung (iskemia) kerana penyakit jantung koronari, atherosclerosis, atau bekuan darah.
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi).
  • Penyakit otot jantung (kardiomiopati).
  • Keabnormalan injap jantung (terutama injap mitral).
  • Pembesaran ruang jantung yang luar biasa (hipertropi).
  • Selepas pembedahan jantung terbuka.

Penyakit di tempat lain di dalam badan yang memberi kesan kepada jantung termasuklah:

  • Kelenjar tiroid yang terlalu aktif (hipertiroidisme).
  • Bekuan darah dalam saluran darah di dalam paru-paru (embolisme pulmonari).
  • Penyakit paru-paru kronik (berterusan, dalam jangka masa panjang) (COPD), seperti emfisema, yang mengurangkan kandungan oksigen dalam darah.

Bahan yang boleh menyumbang kepada Fluter Atrium termasuklah:

  • Alkohol (wain, bir, atau minuman keras).
  • Ubat rangsangan seperti kokain, amphetamine, pil diet, ubat-ubatan sejuk, malah kafein.

Fluter Atrium adalah berkait rapat dengan Fibrilasi Atrium. Kedua-duanya kadangkala berlaku secara bergilir-gilir dan berulang.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Fluter Atrium?

Terdapat banyak faktor risiko untuk Fluteri Atrium, seperti:

  • Kegagalan fungsi jantung.
  • Sejarah serangan jantung sebelum ini.
  • Injap abnormal atau kecacatan kongenital.
  • Tekanan darah tinggi.
  • Pembedahan baru-baru ini.
  • Disfungsi tiroid.
  • Alkohol (terutamanya semasa minum pesta).
  • Penyakit paru-paru kronik.
  • Penyakit akut yang serius.
  • Diabetes.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Fluter Atrium didiagnosis?

Apabila mendengar masalah anda, pegawai penjagaan kesihatan anda (sama ada pegawai penjagaan utama atau pegawai di jabatan kecemasan) mungkin akan mengesyaki arrythmia. Disebabkan keadaan lain juga boleh menyebabkan simptom yang sama, penilaian akan memberi tumpuan untuk menyisihkan sebab yang paling berbahaya. Untungnya, terdapat satu ujian mudah yang boleh memberitahu apa yang sedang berlaku dengan jantung:

ECG adalah alat yang mencatat dan merekod impuls elektrik yang mengawal degupan jantung.

  • ECG mengesan ketidakseragaman dalam impuls dan keabnormalan ini di dalam jantung.
  • Dalam aritmia, pergerakan ECG dapat membantu menentukan jenis aritmia dan dari mana asalnya di dalam jantung.
  • ECG juga menunjukkan tanda-tanda serangan jantung, iskemia jantung, keabnormalan konduksi, pembesaran jantung yang tidak normal (hypertrophy), dan juga keabnormalan kimia tertentu dalam tisu jantung seperti potassium dan kalsium.

Terdapat juga pesakit  yang mempunyai simptom yang seakan-akan Fluter Atrium, tetapi keputusan ECG mereka di jabatan kecemasan atau klinik adalah normal. ‘Ambulatory ECG’ melibatkan pemakaian peranti pemantauan selama beberapa hari semasa anda melakukan aktiviti normal anda.

  • Peranti ini, yang juga dikenali sebagai monitor Holter, biasanya akan dipakai di leher anda. Elektrod ECG pula dipakai di dada.
  • Biasanya, peranti itu merekodkan irama jantung anda secara berterusan selama 24-72 jam.
  • Sesetengah pegawai penjagaan kesihatan lebih suka bahawa anda memakai peranti itu untuk masa yang lebih lama, dengan rakaman irama jantung anda secara berselang-seli. Ini dipanggil perakam peristiwa, yang boleh anda lakukan apabila anda merasakan sesuatu yang tidak normal. Jarang sekali, perakam peristiwa boleh diletakkan di bawah kulit dan dipakai selama beberapa minggu atau bulan.
  • Kedua-dua kaedah boleh berfungsi dengan baik. Yang penting adalah untuk mendapatkan dokumentasi ECG aritmia anda.

Echocardiogram: Ini adalah ujian ultrasound yang tidak menyakitkan yang menggunakan gelombang bunyi untuk membuat pengimejan di dalam jantung semasa ia berdegup dan di antara degupan.

  • Ujian ini dilakukan untuk mengenal pasti masalah injap jantung, menyemak fungsi ventrikel, atau mencari darah beku di atria.
  • Ujian yang sangat selamat ini menggunakan teknik yang sama yang digunakan untuk memeriksa janin semasa kehamilan.
  • Ujian ini tidak selalunya dilakukan di jabatan kecemasan.

Bagaimana pesakit Fluter Atrium dirawat?

Matlamat rawatan untuk Fluter Atrium adalah untuk mengawal kadar denyutan jantung, memulihkan irama sinus biasa, mencegah episod yang sama berlaku, dan mencegah strok.

Kadar kawalan: Matlamat rawatan pertama adalah untuk mengawal kadar ventrikel.

  • Jika anda mengalami gejala-gejala yang serius, seperti sakit dada atau kegagalan jantung kongestif yang berkaitan dengan kadar ventrikel, pegawai penjagaan kesihatan di jabatan kecemasan akan mengurangkan kadar denyutan jantung anda dengan cepat menggunakan ubat IV atau kejutan elektrik (disebut cardioversion atau defibrillation).
  • Jika anda tidak mempunyai gejala yang serius, anda mungkin diberi ubat-ubatan melalui mulut.
  • Kadangkala anda mungkin memerlukan gabungan beberapa ubat oral untuk mengawal kadar denyutan jantung anda.
  • Pembedahan boleh dilakukan untuk mengawal kadar degupan atau irama jantung, tetapi hal ini jarang terjadi.
  • Memulihkan dan mengekalkan irama sinus yang normal: Sesetengah orang yang baru didiagnosis dengan Fluter Atrium boleh menukar kepada irama sinus normal secara spontan dalam masa 24-48 jam. Matlamat rawatan adalah untuk menukar Fluter Atrium ke irama sinus normal dan mencegah pengulangan serangan Fluter Atrium.

Tidak semua orang yang mengalami serangan atrium memerlukan ubat anti-arithmia.

  • Kekerapan aritmia anda berlaku dan gejala yang menyebabkannya menentukan sama ada anda perlu menerima ubat anti-arrithmik.
  • Pakar perubatan dengan berhati-hati akan menyesuaikan ubat anti-arrithmik untuk setiap pesakit untuk mendapat hasil yang diingini tanpa membuat kesan sampingan, yang mungkin berpotensi membunuh.

Mencegah episod masa depan: Ini biasanya dilakukan dengan mengambil ubat secara harian untuk memastikan jantung berdegup pada kadar yang selamat dan selesa.

  • Kondisi kesihatan lain yang wujud bersama, seperti kegagalan jantung kongestif dan penyakit injap mitral,akan meningkatkan risiko strok.
  • Pesakit yang mengalami masalah Fluter Atrium yang berterusan memerlukan “ubat penipis darah” yang dikenali sebagai warfarin untuk mengurangkan risiko ini. Warfarin menyekat faktor tertentu dalam darah yang menyebabkan pembekuan darah. Ubat penipis darah lain yang dipanggil Pradaxa (dabigatran), Eliquis (apixaban), dan Xarelto (rivaroxaban) telah diluluskan oleh FDA untuk mencegah strok pada orang dengan Fibrilasi Atrium.
  • Orang yang mempunyai risiko  strok yang rendah dan mereka yang tidak boleh mengambil warfarin boleh menggunakan aspirin. Aspirin mempunyai kesan sampingannya sendiri, termasuk masalah pendarahan dan ulser perut.

Ubat-ubatan

Pemilihan ubat bergantung pada kekerapan Fluter Atrium berlaku, penyebab utamanya, keadaan perubatan  dan kesihatan keseluruhan anda, serta ubat lain yang anda ambil. Kelas-kelas ubat yang digunakan dalam Fluter Atrium adalah seperti berikut:

  • Ubat-ubatan anti-arrithmik: Ubat-ubat ini digunakan untuk mengubah degupan atrium  ke irama sinus normal secara kimia, mengurangkan kekerapan dan tempoh episod Flutter Atrium, serta mencegah episod pada masa depan. Mereka sering diberikan untuk mengelakkan kembalinya serangan Fluter Atrium selepas kardioversi dilakukan. Contohnya ialah amiodarone, sotalol, ibutilide, propafenone, dan flecainide.
  • Digoxin (Lanoxin): Ubat ini mengurangkan kekonduksian impuls elektrik melalui nod SA dan AV, dan seterusnya melambatkan kadar degupan jantung.
  • Penyekat beta: Ubat-ubatan ini mengurangkan kadar denyutan jantung dengan melambatkan konduksi melalui nod AV, ditambah pula dengan kesan anti-arrithmik yang langsung pada atria.
  • Penyekat saluran kalsium: Ubat-ubatan ini juga melambatkan kadar denyutan jantung dengan melambatkan konduksi melalui nod AV.
  • Antikoagulan: Ubat-ubatan ini mengurangkan keupayaan darah untuk membeku, sekali gus mengurangkan risiko darah beku yang tidak terbentuk di dalam jantung atau dalam saluran darah. Hal ini kerana, Fluter Atrium meningkatkan risiko pembekuan darah.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Fluter Atrium?

Gaya hidup dan pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda mengatasi Fluter Atrium:

  • Buat pilihan gaya hidup sihat. Menjalani kehidupan “jantung sihat” adalah cara terbaik untuk mengurangkan kemungkinan mengalami masalah jantung. Berolahraga dengan kerap, mengekalkan berat badan yang sihat, dan memakan makanan yang sihat, rendah lemak dengan banyak sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan lain yang kaya dengan vitamin  adalah tonggak hidup ” jantung sihat”.
  • Berhenti merokok dan elakkan asap rokok (asap dari orang lain). Tembakau menyumbang sebanyak satu pertiga daripada semua penyakit jantung.
  • Elakkan atau batasi pengambilan kafein, alkohol, dan bahan-bahan lain yang mungkin menyumbang kepada irama jantung yang tidak normal atau penyakit jantung.
  • Elakkan tekanan yang tidak perlu, seperti kemarahan, kegelisahan, atau ketakutan, dan mencari cara untuk mengurus atau mengawal situasi tertekan yang tidak dapat dielakkan.
  • Dapatkan pemeriksaan fizikal secara tetap dan beritahu doktor anda dengan segera tentang apa-apa gejala luar biasa yang anda miliki.
  • Berbincang dengan doktor tentang rawatan masalah kesihatan yang boleh menyumbang kepada irama jantung yang tidak normal dan penyakit jantung, termasuk Atherosclerosis (arteri “tersumbat” ), kerosakan injap jantung, Tekanan darah tinggi, kadar kolesterol tinggi, diabetes dan penyakit tiroid.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 26, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 26, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.