Apa itu Fibromyalgia?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Fibromyalgia?

Sindrom fibromyalgia, yang dikenali sebagai fibromyalgia, adalah keadaan yang mempengaruhi cara otak memproses isyarat sakit. Fibromyalgia berkait dengan kesakitan muskuloskeletal yang menyeluruh.

Keadaan ini dalam jangka masa panjang akan mempengaruhi kehidupan harian anda. Pesakit  fibromyalgia kebiasaannya berhadapan masalah seperti penat, masalah tidur, memori dan mood. Mereka juga mungkin mengalami keadaan lain seperti sakit kepala jenis tension, masalah sendi temporomandibular, sindrom usus iritabel (irritable bowel syndrome), kebimbangan (anxiety) dan kemurungan.

Apakah kebarangkalian Fibromyalgia?

Fibromyalgia sangat kerap berlaku. Lebih kurang 1 dalam 20 orang boleh mengalami fibromyalgia pada tahap tertentu. Ia lebih kerap dialami perempuan berbanding lelaki. 90% daripada kes yang didiagnosis dialami oleh perempuan. Ia boleh berlaku tanpa mengira usia. Keadaan ini biasanya terjadi dalam usia 30 hingga 50 tahun, tetapi boleh berlaku juga kepada kanak-kanak dan orang tua. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Fibromyalgia?

Simptom fibromyalgia kadangkala berlaku setelah trauma fizikal, pembedahan, jangkitan atau stres psikologi yang teruk. Dalam sesetengah kes, simptom beransur-ansur bertambah teruk tanpa sebarang faktor pencetus.

Simptom fibromyalgia kebiasaannya ialah:

  • Rasa sakit menyeluruh pada kedua-dua belah badan, di atas dan di bawah pinggang yang berlangsung sekurang-kurangnya 3 bulan.
  • Kepenatan kerana kualiti tidur yang rendah seperti tidur terganggu kerana sakit, sindrom kaki resah (restless legs syndrome) dan apnea tidur.
  • Keupayaan fokus, memberi perhatian dan menumpukan perhatian kepada tugasan mental mungkin berkurang.
  • Masalah lain, seperti kemurungan, sakit kepala, dan sakit atau kekejangan pada bahagian bawah abdomen.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Kesakitan dan kekurangan tidur akan memberi kesan pada kebolehan anda untuk berfungsi di rumah dan di tempat kerja. Ramai pesakit yang mengalami sakit kepala, kemurungan, keresahan dan kekejangan pada perut. Anda patut menghubungi doktor jika anda mengalami sakit otot yang kronik dan kepenatan yang berlebihan.

Punca

Apakah Punca Fibromyalgia?

Punca fibromyalgia tidak diketahui dengan jelas. Tetapi saintis percaya ia boleh jadi disebabkan masalah isyarat dan bahan kimia dalam otak. Antara kemungkinan punca fibromyalgia ialah:

  • Genetik: Terdapat sesetengah mutasi genetik yang menyebabkan sesetengah orang lebih cenderung mendapatkan penyakit ini.
  • Jangkitan: Sesetengah penyakit boleh mencetuskan atau memburukkan fibromyalgia.
  • Trauma fizikal atau emosi seperti
    • Penyakit post-traumatic stress disorder
    • Kecederaan atau jangkitan;
    • Melahirkan anak
    • Menjalani pembedahan
    • Putus perhubungan yang bermakna

Ransangan saraf yang berulang dipercayai menyebabkan fibromyalgia. Peningkatan dalam bahan kimia tertentu dalam otak juga boleh menyebabkan  fibromyalgia. Selain itu, reseptor rasa sakit otak juga mungkin mempunyai memori pada rasa sakit tersebut dan menjadi lebih sensitif, bermakna ia bereaksi berlebihan pada isyarat rasa sakit.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Fibromyalgia?

Terdapat banyak faktor risiko fibromyalgia, seperti:

  • Fibromyalgia lebih kerap berlaku dalam perempuan berbanding lelaki
  • Sejarah keluarga
  • Penyakit reumatik seperti reumatoid artritis atau lupus menjadikan individu lebih berisiko mengalami fibromyalgia.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Fibromyalgia didiagnosis?

Sebelum ini, diagnosis fibromyalgia amat sulit kerana anda perlu menguji 18 titik sakit sebelum diagnosis boleh disahkan. Sekarang, fibromyalgia boleh dilakukan jika seseorang itu mengalami rasa sakit menyeluruh selama lebih daripada 3 bulan tanpa sebarang sebab kesihatan yang boleh menyebabkan kesakitan tersebut

Fibromyalgia juga boleh didiagnosis melalui ujian darah yang dapat membantu doktor menolak kemungkinan sebarang penyakit lain, seperti:

  • Kiraan darah lengkap
  • Kadar sedimentasi sel darah merah;
  • Ujian fungsi tiroid

Bagaimana pesakit Fibromyalgia dirawat?

Walaupun tiada ubat untuk merawat fibromyalgia pada masa ini tetapi terdapat pelbagai ubat yang dapat menangani simptom. Senaman, pengurangan stres dan rehat secukupnya juga dapat membantu. Pilihan rawatan mungkin termasuk gabungan yang berikut:

Ubat yang boleh membantu mengurangkan kesakitan fibromyalgia dan meningkatkan kualiti tidur, seperti:

  • Ubat tahan sakit seperti acetaminophen (Tylenol, dll), ibuprofen (Advil, Motrin IB,) atau natrium naproxen (Aleve, all), tramadol (Ultram, Conzip). Narkotik tidak disarankan kerana boleh menyebabkan pergantungan (dependence) dan mungkin memburukkan lagi kesakitan.
  • Antidepresan seperti Duloxetine (Cymbalta) dan milnacipran (Savella), amitriptyline atau fluoxetine (Prozac).
  • Ubat anti sawan seperti Gabapentin (Neurontin, Gralise), pregabalin (Lyrica). Ubat anti epilepsi sering didapati berupaya mengurangkan rasa sakit tertentu.
  • Terapi: latihan tentang strategi untuk menangani situasi yang tertekan seperti terapi perilaku kognitif (CBT) dan kaunseling. Bercakap dengan kaunselor boleh membantu meyakinkan anda terhadap kebolehan menangani situasi tertekan dan mengajar strategi bersesuaian. Terapi seperti akupunktur, manipulasi kiropraktik, dan pembebasan miofasial boleh membawa kelegaan sementara untuk pesakit. Walau bagaimanapun, sukar untuk mendapatkan rawatan terapi jangka panjang kerana ia mungkin tidak dilindungi oleh insurans.
  • Perubahan gaya hidup – seperti program senaman dan teknik relaksasi.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Fibromyalgia?

Apabila anda didiagnosis dengan fibromyalgia, anda harus belajar sebanyak mungkin tentang keadaan ini, begitu juga keluarga dan rakan anda. Memahami keadaan ini boleh membantu anda mencari jalan untuk mengatasinya. Pesakit fibromyalgia seringkali tidak mendapat simpati dan sokongan kerana orang lain tidak mengerti kesakitan yang dilalui pesakit kerana tiada simptom fizikal.

Kumpulan sokongan. Ramai pesakit fibromyalgia mendapati bahawa kumpulan sokongan merupakan kumpulan sosial yang penting yang membolehkan mereka bercakap dengan pesakit lain yang mengalami keadaan ini. Mempunyai kaunselor juga boleh membantu meyakinkan anda kepada rawatan dan mengajar anda cara untuk mengatasinya dengan lebih baik. Kumpulan sokongan sangat berhasil dalam membantu mereka yang hidup dengan fibromyalgia.

Senaman dengan kerap. Senaman didapati mempunyai beberapa manfaat penting bagi pesakit fibromyalgia. Pada mulanya, senaman boleh meningkatkan simptom kesakitan anda tetapi bersenam dengan kerap lama-kelamaan akan mengurangkan simptom. Antara senaman terbaik yang sesuai anda lakukan ialah senaman aerobik berintensiti rendah. Kemudian anda boleh mengamalkan senaman berjalan kaki, berjoging dan bermain tenis. Senaman lain yang sesuai termasuklah berenang atau senaman air dan berbasikal statik. Ahli terapi fizikal boleh membantu anda merancang program senaman di rumah. Perenggangan, postur badan yang baik dan senaman santai juga membantu.

Amalkan gaya hidup sihat. Makan makanan yang sihat. Hadkan pengambilan kafein, berhenti merokok dan meminum alkohol. Lakukan perkara yang menyeronokkan anda setiap hari.

Dapatkan tidur yang mencukupi. Masalah tidur sering berlaku dengan fibromyalgia dan ia boleh memburukkan kesakitan dan menyebabkan keletihan dan kemurungan. Cari teknik untuk tidur dengan mudah pada waktu malam dan hadkan waktu tidur siang. Amalkan tabiat tidur yang baik, seperti tidur dan bangun pada masa yang tetap untuk melatih badan membiasakan diri dengan jadual tidur tertentu.

Kurangkan stres. Berikan peruntukan masa untuk berehat tetapi cuba untuk tidak mengubah rutin harian anda. Anda harus mempunyai perancangan waktu untuk berehat dan mengurangkan tekanan emosi. Cuba teknik pengurusan tekanan, seperti latihan bernafas mendalam atau meditasi.

Jangan membebankan diri. Bahagikan aktiviti harian anda. Akan ada hari yang teruk dan hari yang baik. Jika anda cuba melakukan terlalu banyak aktiviti pada suatu hari, anda mungkin merasa letih pada hari yang berikutnya. Jangan membebankan diri dan belajar cara untuk menjaga diri sendiri.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 10, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 10, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut