Apa itu Disfungsi Pendarahan Rahim?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Disfungsi Pendarahan Rahim?

Juga dikenali sebagai Abnormal Uterine Bleeding (AUB), Disfungsi Pendarahan Rahim (DUB) adalah keadaan yang menyebabkan pendarahan vagina berlaku di luar kitaran haid biasa.

Apakah kebarangkalian Disfungsi Pendarahan Rahim?

Disfungsi Pendarahan Rahim (DUB) adalah keadaan yang menjejaskan hampir setiap wanita pada satu ketika dalam hidupnya.

Menurut Persatuan Perubatan Reproduktif Amerika, hal ini biasanya berlaku semasa akil baligh dan menopaus, tetapi boleh juga berlaku pada bila-bila masa jika hormon tidak seimbang.

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Disfungsi Pendarahan Rahim?

Gejala DUB yang paling biasa adalah pendarahan di luar tempoh haid normal anda. Ia juga boleh berlaku dalam kitaran haid anda. Dalam kes ini, gejala mungkin termasuk:

  • Pendarahan haid yang banyak.
  • Pendarahan yang mengandungi banyak gumpalan darah atau gumpalan darah yang besar.
  • Pendarahan yang berterusan lebih dari tujuh hari.
  • Pendarahan yang berlaku kurang daripada 21 hari dari kitaran terakhir.

Gejala DUB lain yang biasa adalah:

  • Tompokan darah.
  • Pendarahan antara tempoh haid.
  • Rasa sakit pada payudara.
  • Rasa kembung.

Jika anda mengalami sebarang gejala DUB yang teruk seperti berikut, hubungi doktor anda dengan serta-merta:

  • Pening.
  • Pengsan.
  • Keletihan.
  • Tekanan darah rendah.
  • Kadar denyutan jantung meningkat.
  • Kulit pucat.
  • Sakit.
  • Pengeluaran gumpalan darah yang besar.
  • Pad yang penuh setiap jam.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Oleh itu, adalah yang lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Disfungsi Pendarahan Rahim?

Penyebab utama Disfungsi Pendarahan Rahim adalah ketidakseimbangan dalam hormon seks. Gadis yang mengalami akil baligh dan wanita yang memasuki tempoh menopaus boleh mengalami tahap hormon yang tidak seimbang selama berbulan atau bahkan bertahun. Hal ini menyebabkan pendarahan sporadis, pendarahan banyak, dan / atau spotting. Spotting adalah pendarahan yang lebih ringan daripada haid yang normal. Ia sering kelihatan coklat, merah jambu, atau merah terang.

Ketidakseimbangan hormon yang menyebabkan DUB juga boleh disebabkan oleh kesan sampingan untuk sesetengah keadaan perubatan atau ubat-ubatan.

Keadaan perubatan

Keadaan perubatan yang sering menyebabkan Disfungsi Pendarahan Rahim adalah:

  • Sindrom ovarium polisistik (PCOS): Ini adalah gangguan sistem endokrin yang menyebabkan wanita menghasilkan peningkatan jumlah hormon seks. Hal ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam hormon estrogen dan progesteron, menjadikan kitaran haid tidak teratur.
  • Endometriosis: Keadaan ini berlaku apabila lapisan rahim tumbuh di luar rahim, seperti pada ovari. Endometriosis sering menyebabkan banyak pendarahan semasa tempoh haid biasa.
  • Polip rahim: Pertumbuhan kecil ini berlaku di dalam rahim. Walaupun puncanya tidak diketahui, pertumbuhan polip sangat dipengaruhi oleh hormon estrogen. Pembuluh darah kecil di dalam polip boleh menyebabkan DUB.
  • Fibroid rahim: Fibroid rahim adalah pertumbuhan kecil yang berlaku di dalam uterus, lapisan rahim, atau otot rahim. Seperti polip, punca fibroid rahim adalah tidak diketahui. Tetapi estrogen seolah-olah memainkan peranan dalam pertumbuhan mereka.
  • Penyakit kelamin (STD): STD yang menyebabkan lesi, seperti gonorea dan klamidia, boleh menyebabkan DUB. Pendarahan yang disebabkan oleh STDs biasanya berlaku selepas hubungan seks, apabila luka-luka tersebut dikacau.

Ubat-ubatan

Sesetengah ubatan boleh menyebabkan Disfungsi Pendarahan Rahim, antaranya ialah:

  • Pil perancang.
  • Agen hormon.
  • Warfarin (Coumadin).

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Disfungsi Pendarahan Rahim?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Disfungsi Pendarahan Rahim didiagnosis?

Untuk mendiagnosis DUB, doktor anda akan bertanya soalan tentang sejarah perubatan anda dan sejarah kitaran haid anda. Jawapan-jawapan ini akan membantu beliau menentukan risiko anda untuk gangguan reproduktif tertentu seperti PCOS dan endometriosis. Jika anda mengambil apa-apa ubat, termasuk pil perancang kehamilan, nyatakan ini kepada doktor anda, kerana ubat tersebut boleh menyebabkan pendarahan yang tidak normal.

Ultrasound

Doktor anda boleh mengesyorkan ultrasound untuk melihat organ reproduktif anda. Pemeriksaan ini akan mendedahkan sama ada anda mempunyai pertumbuhan yang tidak normal seperti polip atau fibroid. Ia juga boleh membantu mengelakkan pendarahan dalaman.

Ujian Darah

Ujian darah digunakan untuk mengukur tahap hormon dan jumlah darah anda. Tahap hormon anda boleh memberikan pendedahan kepada punca pendarahan anda. Sekiranya anda mengalami pendarahan yang banyak atau berpanjangan, kiraan jumlah darah akan menunjukkan sama ada kiraan sel darah merah anda terlalu rendah. Kiraan sel darah merah yang rendah boleh menandakan anemia.

Biopsi Endometrial

Jika ketumbuhan yang tidak normal menyebabkan pendarahan, atau lapisan rahim anda mempunyai ketebalan luar biasa , doktor anda akan mengambil sampel tisu rahim untuk diuji. Jika ada perubahan sel yang tidak normal dalam lapisan tersebut, biopsi akan mendedahkannya. Sel-sel yang tidak normal boleh menandakan ketidakseimbangan hormon atau kanser, dan lain-lain.

Bagaimana pesakit Disfungsi Pendarahan Rahim dirawat?

Terdapat banyak pilihan rawatan yang tersedia untuk DUB. Kadang-kala, dalam kes-kes akil baligh terutamanya, tiada sebarang tindakan diambil, kerana hormon biasanya akan membetulkan diri mereka sendiri. Rawatan yang tepat untuk anda akan bergantung kepada punca pendarahan.

Pilihan rawatan yang paling biasa dan paling mudah untuk Disfungsi Pendarahan Rahim adalah gabungan pil kontraseptif. Gabungan pil kontraseptif oral mengandungi estrogen sintetik dan progesteron. Kedua-duanya berfungsi untuk mengawal dan mengatur kitaran haid. Jika anda tidak merancang untuk hamil, doktor anda mungkin mengesyorkan untuk mengambilnya sebagai pilihan rawatan.

Sekiranya pendarahan banyak dan pil kontraseptif bukanlah pilihan anda, estrogen intravena boleh diberi sehingga pendarahan berkurangan. Ini biasanya diikuti dengan progestin oral untuk mengimbangi semula hormon.

Sekiranya anda merancang untuk hamil dan anda tidak mengalami pendarahan yang berat, doktor anda mungkin memberikan ubat yang merangsang ovulasi, iaitu clomiphene, atau juga dikenali sebagai clomid. Meningkatkan ovulasi boleh menghentikan pendarahan haid yang berpanjangan.

Pendarahan yang banyak dan berpanjangan yang disertai dengan lapisan rahim yang menebal boleh dirawat dengan prosedur yang disebut sebagai ‘Dilation dan Curettage’ (D & C). Ini adalah prosedur pembedahan pesakit luar yang digunakan untuk mengeluarkan sebahagian daripada lapisan rahim dengan mengikisnya.

Jika sel rahim anda didapati tidak normal, doktor anda boleh memesan biopsi tambahan selepas rawatan. Bergantung kepada hasil biopsi – jika sel-sel itu adalah kanser, misalnya – histerektomi mungkin disyorkan. Histerektomi adalah pembuangan lengkap rahim dan biasanya merupakan cara rawatan terakhir.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Disfungsi Pendarahan Rahim?

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 18, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 28, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.