Apa itu Diabetes Mellitus Type 2?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Diabetes Mellitus Type 2?

Diabetes mellitus jenis 2 adalah penyakit kronik yang menjejaskan cara badan anda menukarkan gula (glukosa) kepada tenaga. Dengan diabetes mellitus jenis 2, badan anda akan menolak kesan-kesan insulin, iaitu sejenis hormon yang membolehkan badan anda untuk mengawal tahap glukosa, atau tidak menghasilkan insulin yang cukup untuk mengekalkan tahap glukosa yang normal.

Tidak ada penawar yang berkesan untuk diabetes mellitus jenis 2, namun anda boleh menguruskan keadaan itu dengan makan dengan baik, bersenam dan mengekalkan berat badan yang sihat. Sekiranya diet dan senaman tidak cukup baik untuk menguruskan gula dalam darah anda, anda mungkin perlu ubat diabetes atau terapi insulin.

Apakah kebarangkalian Diabetes Mellitus Type 2?

Diabetes mellitus jenis 2 adalah lebih biasa di kalangan orang dewasa, akan tetapi bilangan kes kanak-kanak meningkat disebabkan oleh obesiti di kalangan kanak-kanak. Pertubuhan Kesihatan Dunia melaporkan statistik berikut:

  • Kelaziman diabetes seluruh dunia pada 2014 adalah kira-kira 9 peratus untuk orang dewasa.
  • Kira-kira 90 peratus daripada penghidap diabetes menghidap diabetes mellitus jenis 2.
  • Diabetes menyebabkan 1.5 juta kematian di seluruh dunia pada tahun 2012.
  • Kira-kira separuh daripada penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan angin ahmar.
  • Diabetes juga merupakan punca utama kegagalan buah pinggang.

Walau bagaimanapun ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor-faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Diabetes Mellitus Type 2?

Tanda-tanda dan gejala diabetes mellitus jenis 2 sering muncul secara beransur-ansur. Malah, anda boleh mengalami diabetes mellitus jenis 2 selama bertahun-tahun dan tidak menyedarinya. Beberapa tanda-tanda dan gejala-gejala biasa mungkin termasuk:

  • Kerap dahaga dan membuang air kecil: Lebihan gula yang terkumpul dalam aliran darah anda menyebabkan cecair akan ditarik daripada tisu-tisu. Ini akan menyebabkan anda dahaga. Hasilnya, anda akan minum – dan membuang air kecil – lebih daripada biasa.
  • Kerap rasa lapar: Tanpa insulin yang cukup untuk membawa gula ke dalam sel-sel anda, otot dan organ-organ anda kekurangan tenaga. Ini mencetuskan kelaparan yang teruk.
  • Penurunan berat badan: Walaupun anda makan lebih daripada biasa untuk melegakan kelaparan, anda mungkin kehilangan berat badan. Ketidakupayaan untuk memetabolismakan glukosa telah menyebabkan badan menggunakan tenaga alternatif yang disimpan dalam otot dan lemak. Kalori akan hilang kerana glukosa berlebihan telah dilepaskan di dalam air kencing.
  • Keletihan: Jika sel-sel anda disekat dari gula, anda akan menjadi letih dan cepat marah.
  • Penglihatan kabur: Jika gula dalam darah anda terlalu tinggi, cecair boleh ditarik dari kanta mata anda. Ini boleh menjejaskan keupayaan anda untuk memberi tumpuan.
  • Luka yang lambat sembuh atau jangkitan yang kerap: Diabetes mellitus jenis 2 memberi kesan kepada keupayaan anda untuk menyembuhkan dan melawan jangkitan.
  • Kawasan kulit gelap: Sesetengah orang dengan diabetes mellitus jenis 2 mempunyai tompok gelap, perubahan tekstur kulit dalam lipatan dan kedutan badan mereka – biasanya pada ketiak dan leher.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghentikan keadaan ini daripada bertambah teruk dan mengelakkan kecemasan perubatan, jadi berbincang dengan doktor anda secepat mungkin untuk mengelakkan keadaan tersebut.

Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh badan setiap orang bertindak balas secara berbeza. Adalah baik untuk berbincang dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah Punca Diabetes Mellitus Type 2?

Diabetes mellitus jenis 2 berlaku apabila badan menghalang insulin atau apabila pankreas berhenti menghasilkan insulin yang cukup. Apa sebab perkara ini berlaku tidak diketahui, walaupun genetik dan faktor persekitaran seperti berat badan yang berlebihan dan tidak aktif kelihatan sebagai faktor penyumbang.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Diabetes Mellitus Type 2?

Anda seolah-olah mempunyai risiko yang lebih tinggi diabetes mellitus jenis 2, jika anda memiliki beberapa syarat yang disenaraikan di bawah:

  • Berat badan: Berat badan berlebihan adalah faktor risiko utama untuk diabetes mellitus jenis 2. Makin banyak tisu lemak anda, makin tahan sel-sel anda terhadap insulin. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu gemuk untuk mendapat diabetes jenis kencing 2.
  • Pengedaran lemak: Jika badan anda menyimpan lemak terutamanya di bahagian perut, risiko diabetes mellitus jenis 2 adalah lebih besar berbanding simpanan lemak di tempat lain, seperti pinggul dan paha.
  • Tidak aktif: Semakin kurang aktif anda, semakin besar risiko anda menghidap diabetes mellitus jenis 2. Aktiviti fizikal membantu anda mengawal berat badan, menukar glukosa sebagai tenaga dan menjadikan sel-sel anda lebih sensitif kepada insulin.
  • Sejarah keluarga: Risiko diabetes mellitus jenis 2 meningkat jika ibu bapa atau adik-beradik anda mempunyai diabetes mellitus jenis 2.
  • Bangsa: Walaupun tidak diketahui mengapa, orang-orang dari kaum tertentu – termasuk Afrika-Amerika, Hispanik, pribumi Amerika dan Asia-Amerika – lebih cenderung menghidap diabetes mellitus jenis2 berbanding orang kulit putih.
  • Umur: Risiko diabetes mellitus jenis 2 meningkat selari dengan peningkatan umur, terutamanya selepas umur 45 tahun. Ini mungkin disebabkan kerana orang cenderung untuk kurang bersenam, kehilangan jisim otot dan berat badan apabila semakin tua. Tetapi diabetes mellitus jenis 2 juga meningkat secara mendadak di kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa muda.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Diabetes Mellitus Type 2 didiagnosis?

Jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mungkin mengalami keadaan ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan, dan beberapa ujian akan diarahkan oleh doktor anda. Beberapa ujian diagnostik termasuk:

    • Satu ujian hemoglobin A1C juga dikenali sebagai ujian glycosylated hemoglobin. Ia mengukur paras purata glukosa darah bagi dua atau tiga bulan sebelumnya. Anda tidak perlu berpuasa untuk ujian ini, dan doktor anda boleh mendiagnosis anda berdasarkan keputusannya.
    • Anda perlu berpuasa selama lapan jam sebelum menjalani ujian berpuasa glukosa plasma. Ujian ini mengukur berapa banyak glukosa dalam plasma anda.
    • Semasa ujian oral toleransi glukosa, darah anda diambil sebelum dan dua jam selepas anda minum dos glukosa. Keputusan ujian menunjukkan bagaimana badan anda menghadapi glukosa sebelum dan selepas minuman tersebut.

Jika anda mempunyai diabetes, doktor anda akan menyediakan anda dengan maklumat mengenai cara untuk menguruskan penyakit ini.

Bagaimana pesakit Diabetes Mellitus Type 2 dirawat?

Nasib baik kerana anda boleh mengurus diabetes mellitus jenis 2 dengan berkesan. Doktor anda akan memberitahu berapa kerap anda perlu memeriksa paras glukosa darah anda. Matlamatnya adalah untuk kekal dalam julat yang tertentu.

Doktor anda juga akan menerangkan bagaimana untuk mengenali tanda-tanda awal gula darah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah dan apa yang perlu dilakukan dalam setiap keadaan. Doktor anda juga akan membantu anda mempelajari makanan yang sihat dan tidak.

Tidak semua orang yang menghidap diabetes mellitus jenis 2 perlu menggunakan insulin. Jika anda memerlukannya, ia adalah kerana pankreas anda tidak menghasilkan insulin yang cukup dengan sendiri. Adalah penting untuk anda mengambil insulin seperti yang diarahkan. Ubat-ubatan preskripsi yang lain juga boleh membantu.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Diabetes Mellitus Type 2?

Ikuti tips ini untuk menguruskan diabetes mellitus jenis 2:

  • Sertakan makanan yang kaya dengan serat dan karbohidrat yang sihat dalam diet anda. Memakan buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh akan membantu mengekalkan kestabilan tahap glukosa darah anda.
  • Makan secara berkala.
  • Berhenti makan apabila kenyang.
  • Kawal berat badan anda dan jaga kesihatan jantung anda. Ini bermakna meletakkan karbohidrat sederhana, manisan dan lemak haiwan di tahap minimum.
  • Melakukan kira-kira setengah jam aktiviti aerobik setiap hari untuk membantu menjaga kesihatan jantung anda. Senaman turut membantu mengawal glukosa darah.

Berikut tips berguna untuk membantu anda dari mengelakkan dari menghidap diabetes mellitus jenis 2:

  • Diet: Diet anda perlu tinggi kandungan karbohidrat yang kaya dengan nutrien dan serat. Anda juga perlu asid omega-3 yang baik untuk jantung dari beberapa jenis ikan dan lemak tidak tepu monounsaturated and polyunsaturated. Produk tenusu perlu rendah lemak. Ia bukan sahaja tentang apa yang anda makan, tetapi juga jumlah makanan yang dimakan. Anda perlu berhati-hati dengan saiz hidangan dan cuba untuk makan makanan pada masa yang sama setiap hari.
  • Senaman: Ketidakaktifan sering dikaitkan dengan diabetes mellitus jenis 2. Melakukan 30 minit senaman aerobik setiap hari boleh meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan. Cuba untuk menambah gerakan tambahan untuk sepanjang hari juga.
  • Pengurusan berat badan: Anda lebih berkemungkinan untuk mendapat diabetes mellitus jenis 2 jika berat badan berlebihan. Makan dengan sihat dan diet yang seimbang serta senaman setiap hari akan membantu anda mengawal berat badan anda. Jika tiada perubahan, doktor anda boleh membuat beberapa cadangan untuk mengurangkan berat badan dengan selamat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 2, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut