Apa itu Chronic Renal Failure?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Chronic Renal Failure?

Kegagalan buah pinggang kronik, juga dikenali sebagai penyakit buah pinggang kronik adalah keadaan yang menggambarkan kehilangan secara beransur-ansur fungsi buah pinggang. Fungsi buah pinggang anda adalah untuk menapis bahan buangan dan lebihan cecair dari darah, yang kemudiannya akan dikumuhkan di dalam air kencing.

Apabila penyakit buah pinggang kronik sampai ke peringkat yang lebih tinggi, cecair,  elektrolit dan sisa buangan yang terkumpul dalam badan anda akan menjadi berbahaya. Pada peringkat awal penyakit buah pinggang kronik, anda mungkin mempunyai beberapa tanda atau gejala. Penyakit buah pinggang kronik juga tidak akan kelihatan sehingga fungsi buah pinggang anda merosot dengan ketara.

Rawatan untuk penyakit buah pinggang kronik memberi tumpuan kepada memperlahankan perubahan kerosakan buah pinggang, lazimnya dengan mengawal punca-punca utama. Penyakit buah pinggang kronik boleh sampai ke peringkat akhir kegagalan buah pinggang, yang mana boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak menjalani penapisan tiruan (dialisis) atau pemindahan ginjal.

Apakah kebarangkalian Chronic Renal Failure?

Kegagalan buah pinggang yang kronik adalah masalah kesihatan awam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang menjejaskan 5-10% daripada populasi dunia.

Walau bagaimanapun, ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Chronic Renal Failure?

Tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang kronik berubah dari masa ke masa jika buah pinggang rosak perlahan-lahan. Antara tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang yang biasa termasuk:

  • Rasa loya
  • Muntah-muntah
  • Hilang selera makan
  • Lemah dan keletihan
  • Masalah tidur
  • Perubahan dalam berapa banyak anda membuang air kecil
  • Ketajaman mental yang menurun
  • Renggutan otot dan kekejangan
  • Bengkak kaki dan pergelangan kaki
  • Gatal berterusan
  • Sakit dada, jika cecair terkumpul di sekitar lapisan jantung
  • Sesak nafas, jika cecair terkumpul di paru-paru
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi) yang sukar untuk dikawal

Tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang selalunya tidak khusu, bermakna ia juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit lain. Kerana buah pinggang anda dapat menyesuaikan diri dan mampu menggantikan kehilangan fungsi, tanda-tanda dan gejala-gejala mungkin tidak akan muncul sehingga kerosakan yang teruk telah berlaku.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghentikan keadaan ini daripada menjadi lebih buruk dan mencegah kecemasan perubatan, jadi berbincang dengan doktor anda secepat mungkin untuk mengelakkan keadaan serius ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh badan setiap orang bertindak balas dengan cara yang berbeza. Adalah baik untuk berbincang dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah Punca Chronic Renal Failure?

Punca penyakit buah pinggang kronik sebenarnya tidak diketahui. Tetapi mana-mana keadaan atau penyakit yang merosakkan pembuluh darah atau lain-lain struktur buah pinggang boleh membawa kepada penyakit buah pinggang. Punca-punca berikut merupakan antara penyebab biasa penyakit buah pinggang kronik, termasuklah:

  • Diabetes: Tahap gula dalam darah tinggi disebabkan oleh diabetes akan merosakkan pembuluh darah di buah pinggang. Jika paras gula darah kekal tinggi selama bertahun-tahun, kerosakan ini secara beransur-ansur mengurangkan fungsi buah pinggang.
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi): Tekanan darah tinggi tidak terkawal merosakkan saluran darah, yang boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang. Tekanan darah  juga biasanya meningkat dengan penyakit buah pinggang kronik, oleh itu tekanan darah tinggi boleh melanjutkan kerosakan fungsi buah pinggang walaupun ia disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.

Keadaan lain yang boleh merosakkan buah pinggang dan menyebabkan penyakit buah pinggang kronik termasuklah:

  • Penyakit buah pinggang dan jangkitan seperti polycystic kidney disease, pyelonephritis, glomerulonephritis, atau masalah buah pinggang yang ada sejak lahir.
  • Mempunyai arteri buah pinggang yang sempit atau tersekat. Arteri buah pinggang yang membawa darah ke buah pinggang.
  • Penggunaan ubat-ubatan jangka panjang yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Contoh termasuklah ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), seperti celecoxib dan ibuprofen dan antibiotik-antibiotik tertentu.
  • Diabetes dan tekanan darah tinggi adalah penyebab utama penyakit buah pinggang kronik yang membawa kepada kegagalan buah pinggang. Diabetes atau tekanan darah tinggi mungkin mempercepatkan perkembangan penyakit buah pinggang kronik seseorang yang sudah pun mempunyai penyakit ini.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Chronic Renal Failure?

Anda mempunyai risiko tinggi menghadapi kegagalan buah pinggang yang kronik sekiranya anda memiliki beberapa keadaan yang disenaraikan di bawah:

  • Diabetes
  • Tekanan darah tinggi
  • Penyakit jantung dan salur darah (kardiovaskular)
  • Merokok
  • Obesiti
  • Berbangsa Afrika-Amerika, pribumi Amerika atau Asia-Amerika
  • Sejarah keluarga menghidap penyakit buah pinggang
  • Struktur buah pinggang yang tidak normal
  • Peningkatan umur

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Chronic Renal Failure didiagnosis?

Jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mungkin akan mengalami keadaan ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan dan beberapa ujian akan diarahkan oleh doktor anda. Beberapa ujian diagnostik termasuk yang berikut:

  • Ujian creatinine darah membantu untuk menganggarkan kadar penapisan glomerular (GFR) dengan menyukat tahap creatinine dalam darah. Doktor boleh menggunakan GFR ini untuk sentiasa memeriksa bagaimana buah pinggang akan bekerja dan memeriksa tahap penyakit buah pinggang anda.
  • Ujian paras nitrogen urea darah (BUN) menyukat berapa banyak nitrogen dari sisa buangan urea dalam darah. Paras BUN meningkat apabila buah pinggang tidak bekerja  dengan cukup baik untuk mengeluarkan urea dalam darah.
  • Ujian glukosa ketika berpuasa dilakukan untuk mengukur gula dalam darah anda. Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan pembuluh darah di buah pinggang.
  • Ujian darah mengukur tahap sisa buangan dan elektrolit dalam darah yang perlu dibuang oleh buah pinggang anda.
  • Ujian Hormon Parathyroid (PTH) dalam darah menyemak tahap PTH, yang membantu mengawal paras kalsium dan fosforus.
  • Urinalysis (UA) dan ujian microalbumin, atau lain-lain ujian air kencing boleh mengukur protein dalam air kencing. Biasanya terdapat sedikit atau tiada protein dalam air kencing.

Jika buah pinggang tidak menghasilkan hormon erythropoietin yang diperlukan untuk membuat sel-sel darah merah, anemia boleh terjadi. Ujian-ujian berikut membantu memantau anemia:

  • Kiraan darah lengkap (CBC) mengukur paras hematocrit dan hemoglobin.
  • Kiraan reticulocyte menunjukkan berapa banyak sel-sel darah merah yang dihasilkan oleh tulang sum-sum.
  • Kajian zat besi menunjukkan tahap zat besi yang diperlukan untuk erythropoietin bekerja dengan sepatutnya.
  • Ujian serum ferritin mengukur protein yang terikat dengan zat besi dalam badan anda.

Bagaimana pesakit Chronic Renal Failure dirawat?

Tujuan rawatan penyakit buah pinggang kronik adalah untuk menghalang atau melambatkan kerosakan kepada buah pinggang anda. Punca lain seperti diabetes atau tekanan darah tinggi biasanya menyebabkan penyakit buah pinggang, oleh itu adalah penting untuk mengenalpasti dan menguruskan keadaan yang menyebabkan penyakit buah pinggang anda. Hal ini juga penting untuk mencegah penyakit dan mengelakkan situasi yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang atau menjadikannya lebih teruk.

Salah satu bahagian terpenting rawatan adalah untuk mengawal penyakit yang menyebabkan kerosakan buah pinggang. Anda dan doktor anda akan menghasilkan pelan untuk merawat secara agresif dan memperlahankan kerosakan kepada buah pinggang anda. Jika anda menghidap diabetes, adalah penting untuk mengawal paras gula darah dengan diet, senaman dan ubat-ubatan. Jika anda mempunyai tekanan darah tinggi, ianya juga penting untuk memastikan tekanan darah anda dalam julat sasaran anda, contohnya kurang daripada 130/80.

Anda boleh diberikan ubat tekanan darah, seperti penyekat ACE atau penghalang reseptor angiotensin (ARB). Ubat-ubatan ini digunakan untuk mengurangkan protein dalam air kencing dan membantu menguruskan tekanan darah tinggi.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Chronic Renal Failure?

Berikut tips berguna untuk membantu anda mengelakkan kegagalan buah pinggang kronik:

  • Mengikuti diet yang sihat untuk buah pinggang anda
  • Menjadikan senaman sebahagian daripada rutin kehidupan anda
  • Jangan gunakan bahan-bahan yang boleh merosakkan buah pinggang anda seperti alkohol, apa-apa jenis tembakau, atau dadah terlarang.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 3, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018