Apa itu Cervicalgia?

Oleh

Definisi

Apa itu Cervicalgia?

Cervicalgia adalah sakit di leher yang tidak merebak ke luar (atau ke bawah lengan).

Cervicalgia berbeza sedikit  dengan ketegangan leher, yang biasanya berlaku dalam tempoh yang sekejap.

Apakah kebarangkalian Cervicalgia?

Cervicalgia sangat lazim berlaku.  Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Cervicalgia?

Gejala-gejala yang biasa dialami dengan Cervicalgia adalah:

  • Sakit tajam / mencucuk yang berlaku sekali-sekala pada leher, biasanya dengan pergerakan.
  • Kesakitan yang berterusan pada leher.
  • Sakit kerap dirasa ketika memusing kepala / leher.
  • Rasa ketat di sekeliling leher dan belakang atas.
  • Ia boleh menjadi nyeri apabila disentuh .
  • Kekakuan pada leher.
  • Sakit kepala.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai apa-apa persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Cervicalgia?

  • Kecederaan: Punca utama Cervicalgia adalah kecederaan. Sekiranya anda mengalami sebarang keadaan yang boleh mengakibatkan kecederaan, seperti kemalangan kereta, anda perlu segera berjumpa doktor. Pemeriksaan oleh doktor boleh mengecualikan sebarang keadaan lain yang lebih serius daripada Cervicalgia.
  • Whiplash atau terikan leher: Carikan mikroskopik pada otot di leher anda, kesan daripada kecederaan sewaktu bersukan atau kemalangan, boleh menyebabkan otot mengetat dan membengkak. Carikan ini selalunya sembuh sendiri, tetapi  boleh menjadi lebih buruk jika leher anda tidak dibiarkan berehat. Kebanyakan carikan berlaku di otot trapezius (meliputi belakang leher, bahu dan thorax) atau otot scapulae levator (meliputi bahagian belakang dan leher anda).
  • Tekanan: Tekanan adalah punca yang sangat biasa menyebabkan sakit leher. Ramai orang sewaktu menghadapi situasi yang menekan, mengeraskan otot-otot pada leher dan dan bahu, meletakkan bebanan pada otot tersebut  tanpa mereka sedar. Lama kelamaan, ini membuatkan otot keletihan kerana terlalu banyak bekerja.
  • Tempat kerja yang tidak ergonomik: Posisi kedudukan yang tidak betul dan duduk terlalu lama  di atas kerusi dan meja juga boleh menyebabkan Cervicalgia. Tanpa kedudukan/posisi yang betul-betul ergonomik, anda boleh dengan mudah mendapat sakit leher dan belakang.
  • Kyphosis: Keadaan ini, yang juga dikenali sebagai Cervical Posture Syndrome terjadi kepada atlet seperti penunggang basikal, penangkap baseball, dan pembina badan. Biasanya, orang yang menderita sakit kyphosis berdiri dengan bahu mereka dibulatkan ke depan dan dagu mereka terarah ke depan. Bilah bahu (shoulder blade) mereka keluar dari tulang belakang. Kyphosis berpunca samada daripada pergerakan yang berulang-ulang yang menggalakkan postur / posisi  ini, seperti penunggang basikal dan menangkap bola baseball, atau kesan daripada regimen bina badan yang tidak seimbang yang menjadikan otot dada lebih kuat daripada otot belakang, menarik badan ke hadapan.
  • Otot ketat: Otot yang ketat pada bahagian leher dan bahagian atas belakang mengganggu peredaran darah yang diperlukan. Kekurangan darah mengurangkan nutrisi otot-otot anda, menjadikannya lebih lemah dan lebih ketat lagi. Keadaan ini boleh disebabkan oleh Kyphosis, tempat kerja yang tidak ergonomik, scoliosis, dan postur / posisi badan yang buruk. Regangan yang kurang baik atau tidak lengkap selepas sesi senaman juga boleh menjadi faktor. Apabila otot-otot anda telah penat dan kendur setelah digunakan, anda perlu melakukan regangan dengan betul untuk menyejukkannya sekiranya tidak otot-otot akan menegang dan mengetat.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Cervicalgia?

Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Cervicalgia didiagnosis?

Doktor boleh mendiagnosis Cervicalgia berdasarkan:

  • Sejarah perubatan untuk mengecualikan sebarang masalah lain.
  • Pemeriksaan fizikal.

Bagaimana pesakit Cervicalgia dirawat?

Rawatan untuk Cervicalgia berbeza mengikut gejala dan punca yang disyaki. Sekiranya anda mengalami kecederaan, letakkan ais pada leher anda dan segera berjumpa doktor. Rawatan awal seperti ubat anti-radang dan tahan sakit akan diberi. Anda juga dinasihatkan untuk memakai kolar servikal (collar cervical) buat sementara waktu untuk menyokong kepala. Memakai kolar tersebut memberikan otot leher anda peluang untuk berehat dan sembuh.

Jika kesakitan pada leher anda bukan kerana sebarang kecederaan,ia mungk in disebabkan oleh tekanan. Dalam kes sedemikian, anda boleh melakukan rawatan sendiri di rumah untuk meringankan kesakitan anda. Pertama, ambil ubat anti-radang, seperti ibuprofen, untuk mengurangkan bengkak. Ubat-ubatan ini juga membantu otot anda untuk berehat, yang juga mengurangkan kesakitan anda. Mendemah pad pemanasan pada leher anda juga akan membantu.

Jika anda menghabiskan banyak masa di atas meja sama ada di tempat kerja atau di rumah, anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah Cervicalgia. Pastikan kerusi yang diduduki menyokong bahagian belakang bawah anda. Kaki anda pula terletak rata di atas lantai, dengan lutut membengkok pada sudut yang betul. Sesuaikan lengan kerusi anda supaya siku dan lengan anda berada dalam keadaan rehat di atas kerusi. Letakkan lengan anda di atas meja jika papan kekunci anda berada situ juga . Jika meja anda terlalu tinggi, anda mungkin memerlukan tempat letak kaki untuk duduk dengan selesa dan selamat.

Sekiranya anda mempunyai Kyphosis, lakukan urutan dan regangan  untuk membantu otot dada dan leher anda berehat. Menguatkan otot di bahagian belakang atas boleh membantu mengimbangi semula badan anda. Kesakitan yang disebabkan oleh Kyphosis sering bertambah teruk jika anda berdiri atau duduk dalam kedudukan yang sama untuk masa yang lama, tetapi rasa sakit tersebut biasanya hilang apabila mula bergerak.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Cervicalgia?

Sila berunding dengan doktor anda untuk sebarang maklumat lanjut.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 18, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 25, 2018

Rujukan