Apa itu Bronkiektasis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Bronkiektasis?

Bronkiektasis adalah keadaan di mana tiub bronkus yang terletak di dalam paru-paru anda rosak secara kekal dan membesar secara tidak normal. Laluan udara yang rosak ini akan memberikan bakteria dan rembesan mukus peluang yang besar untuk berkumpul dalam paru-paru anda. Akhirnya, apabila bakteria dan mukus melepasi semua pertahanan perlindungan paru-paru, jangkitan dan penyumbatan di saluran pernafasan akan berlaku.

Bronkiektasis terjadi apabila dinding saluran pernafasan (bronkus) menebal akibat keradangan kronik dan / atau jangkitan dan menyebabkan mukus terkumpul.

Bronkiektasis tidak dapat disembuhkan. Tetapi anda boleh menjalani kehidupan yang normal dengan beberapa rawatan yang sesuai. Sebarang serangan bagaimanapun mestilah dirawat dengan cepat supaya bekalan oksigen tidak terputus ke seluruh badan anda.

Apakah kebarangkalian Bronkiektasis?

Kira-kira dua hingga tiga daripada seribu orang di UK mempunyai bronkiektasis. Malah, angka itu mungkin sebenarnya lebih tinggi, kerana sesetengah orang yang didiagnosis dengan keadaan paru-paru dalam jangka masa yang panjang juga dianggap mungkin mempunyai bronkiektasis. Lebih banyak wanita daripada lelaki yang mengalami bronkiektasis. Ia boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Bronkiektasis?

Tanda-tanda umum bagi bronkiektasis adalah:

  • Batuk dengan kahak berwarna kuning atau hijau setiap hari
  • Sesak nafas yang boleh bertambah teruk
  • Rasa lelah atau penat, terutamanya semasa serangan akut
  • Demam dan / atau menggigil, biasanya timbul semasa serangan akut
  • Berdehit atau bunyi bersiul semasa anda bernafas
  • Batuk berdarah atau kahak bercampur dengan darah, keadaan yang dipanggil hemoptisis
  • Sakit dada
  • Kulit menjadi berwarna biru
  • Penurunan berat badan
  • Keletihan
  • Penebalan kulit di bawah kuku dan kaki anda

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Bronkiektasis?

  • Jangkitan pada paru-paru anda. Ini adalah peneybab bronkiektasis yang paling biasa. Ini termasuklah jangkitan virus seperti influenza dan bakteria seperti staphylococcus atau tuberkulosis.
  • Tersedut objek asing atau makanan
  • Humoral immunodeficiency (paras rendah protein yang melawan jangkitan dalam darah)
  • Penyakit radang usus (penyakit Crohn dan kolitis berulser)
  • Penyakit reumatologi (artritis reumatoid dan penyakit Sj√∂gren)
  • Kekurangan Alpha1-antitrypsin (penyebab genetik bagi COPD pada sesetengah orang)
  • Penyakit paru-paru obstruktif kronik atau COPD
  • Jangkitan HIV. Kekurangan sistem imun manusia akan menyebabkan pendedahan kepada banyak penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada bronkiektasis.
  • Tersedut kandungan asid perut
  • GERD (penyakit refluks gastroesofagus)
  • Aspergillosis bronkopulmonari alergik (sejenis keradangan paru-paru akibat alahan)

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Bronkiektasis?

Terdapat banyak faktor risiko bagi bronkiektasis, seperti:

  • Fibrosis sista (CF), di mana protein CFTR tiada atau tidak berfungsi dalam sel-sel bronkus
  • Mempunyai penyakit sistemik yang berkaitan dengan bronkiektasis seperti yang disebutkan di atas
  • Jangkitan paru-paru yang kronik atau parah (seperti tuberkulosis, atau TB) yang merosakkan saluran udara

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Bronkiektasis didiagnosis?

  • Doktor akan mendengar pada paru-paru anda untuk memeriksa apa-apa bunyi atau tanda yang tidak normal akibat penyumbatan saluran udara.
  • Ujian darah untuk mengenal pasti jangkitan
  • Ujian sputum (kahak) untuk mengesan sebarang virus atau bakteria
  • Pemeriksaan x-ray atau CT pada dada untuk mendapatkan gambaran paru-paru anda
  • Ujian fungsi pulmonari untuk mengetahui sejauh mana kelancaran udara mengalir ke dalam paru-paru anda
  • Ujian kulit purified protein derivative (PPD) untuk mengesan tuberkulosis / batuk kering
  • Ujian Aspergillus precipitins dan jumlah serum IgE, untuk mendiagnosis ABPA
  • Ujian saringan autoimun

Bagaimana pesakit Bronkiektasis dirawat?

Tiada ubat penyembuh untuk bronkiektasis. Tetapi jika anda menjalani rawatan segera, ini dapat membantu anda menangani keadaan ini dengan baik. Matlamat utama rawatan adalah untuk mengawal jangkitan dan rembesan bronkus. Ia juga penting untuk mencegah sebarang halangan pada saluran udara dan meminimumkan kerosakan paru-paru

  • Merawat bronkiektasis dengan antibiotik adalah perkara biasa kerana bakteria didapati sering menjangkiti bronkus.
  • Macrolides adalah sejenis antibiotik yang bukan sahaja membunuh jenis tertentu bakteria tetapi juga mengurangkan keradangan dalam bronkus.
  • Ubat pencair kahak. Ubat-ubatan ini sering diberikan melalui nebulizer, di mana ia dicampurkan dengan larutan garam hipertonik, diubah bentuknya menjadi wap berkabus, dan disedut ke dalam paru-paru. Ubat yang diberikan melalui nebulizer ini membantu mencairkan mukus dalam bronkus supaya ia dapat dibatukkan keluar dengan lebih mudah.
  • Peranti pencair mukus. Peranti ini mempunyai keupayaan untuk membersihkan mukus. Sebahagian peranti memerlukan pesakit untuk menghembuskan nafas ke dalam peranti yang dipegang dengan tangan, menyebabkan udara bergetar dan mengalir dalam bronkus, lalu membantu mencairkan mukus. Peranti lain pula boleh dipakai dan akan menggoncangkan dada untuk membantu melonggarkan mukus. Sila berbincang dengan doktor anda tentang peranti yang mana sesuai untuk anda.
  • Terapi oksigen
  • Rawatan hospital untuk serangan akut yang teruk
  • Terapi pembedahan
  • Terapi kortikosteroid
  • Suplemen makanan

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Bronkiektasis?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani bronkiektasis:

  • Pastikan anda mendapat rawatan awal. Ini akan membantu mencegah bronkiektasis daripada membentuk jangkitan paru-paru.
  • Apabila anda keluar rumah, elakkan daripada menghidu udara tercemar dan lindungi paru-paru anda daripada asap kimia.
  • Berhenti merokok adalah penting untuk kesihatan paru-paru secara keseluruhan.
  • Anda juga harus membawa anak-anak anda kepada doktor secepat mungkin untuk mendapatkan vaksin terhadap selesema, pertusis, dan campak, kerana jangkitan-jangkitan ini telah dikaitkan dengan kebarangkalian bronkiektasis di masa dewasa.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019