Apa itu Batuk kronik?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Batuk kronik?

Batuk kronik adalah batuk yang berpanjangan sehingga lapan minggu atau lebih pada orang dewasa atau empat minggu pada kanak-kanak. Batuk kronik bukan sahaja menjengkelkan, ia juga boleh menganggu tidur dan membuatkan anda penat. Kes batuk kronik yang teruk boleh menyebabkan muntah, pening dan juga patah tulang rusuk.

Walaubagaimanapun, batuk kronik kebiasaannya akan hilang apabila punca penyebabnya dirawat.

Apakah kebarangkalian Batuk kronik?

Batuk kronik dilaporkan berlaku pada 10%-20% orang dewasa. Batuk boleh disebabkan oleh pekerjaan dan sejarah pekerjaan yang teliti sangat penting dalam proses penilaian.

Walau bagaimanapun, batuk boleh diatasi dengan mengurangkan faktor risiko anda. Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Batuk kronik?

Batuk kronik boleh terjadi dengan pelbagai tanda dan simptom lain termasuklah:

  • Hidung berair
  • Rasa ada cecair turun pada belakang tekak anda (titis postnasal)
  • Selalu membersihkan tekak dan sakit tekak
  • Suara garau
  • Berdehit dan sesak nafas
  • Pedih ulu hati atau rasa masam pada mulut anda
  • Jarang-jarang sekali berlaku batuk berdarah.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Segera berjumpa dengan doktor jika anda mengalami simptom-simptom ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang tidak di senaraikan di atas atau ada sebarang soalan, rujuk dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara berbeza.

Punca

Apakah punca Batuk kronik?

Anda harus tahu bahawa batuk sekali sekala itu adalah normal – ia dapat membersihkan bahan kerengsaan dan rembesan daripada paru-paru anda dan juga menghalang jangkitan. Walau bagaimanapun, batuk yang berpanjangan sehingga berminggu-minggu selalunya disebabkan oleh masalah perubatan. Dalam banyak kes, batuk melibatkan lebih daripada satu punca.

Berikut merupakan punca-punca biasa, sama ada satu atau dalam kombinasi, terlibat dalam majoriti kes batuk kronik:

  • Titisan postnasal

Apabila hidung atau sinus anda menghasilkan mukus berlebihan, ia akan menitis ke bawah belakang tekak anda dan mencetuskan reflek batuk. Keadaan ini juga dipanggil sindrom batuk saluran udara atas (UACS).

  • Asma

Asma berkaitan dengan batuk boleh datang dan pergi mengikut musim, muncul selepas jangkitan saluran atas pernafasan , atau menjadi lebih teruk apabila anda terdedah pada udara sejuk atau bahan kimia tertentu atau wangian. Ada sejenis asma (asma varian batuk), batuk merupakan simptom utama.

  • Penyakit refluk gastroesofageal

Dalam keadaan biasa, asid perut akan mengalir semula ke dalam tiub yang menghubungkan perut anda dengan tekak (esofagus). Kerengsaan yang berterusan ini boleh membawa kepada batuk kronik. Batuk, kemudiannya akan memburukkan lagi GERD – satu kitaran yang menyakitkan.

  • Jangkitan

Batuk boleh kekal lama selepas simptom lain bagi pneumonia, selsema atau jangkitan saluran atas pernafasan yang lain telah hilang. Pertusis adalah penyakit biasa tetapi sering tidak dapat dikenal pasti sebagai punca batuk kronik dalam kalangan dewasa, ia juga dikenali sebagai batuk kokol.

  • Ubat darah tinggi

Perencat enzim penukar angiotensin (ACE), sering disyorkan untuk tekanan darah tinggi dan kegagalan hati, juga diketahui dapat menyebabkan batuk kronik pada sesetengah individu.

  • Bronkitis kronik

Keradangan pada saluran udara anda dalam jangka masa yang panjang boleh menyebabkan batuk berkahak. Bronkitis kronik sering dihidapi oleh perokok atau bekas perokok. Ia adalah sebahagian daripada spektrum penyakit paru-paru berkaitan merokok dipanggil penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). Emfisema juga termasuk dalam terma ini, dan bronkitis kronik serta emfisema sering terjadi pada perokok atau bekas perokok yang menghidapi COPD.

Batuk kronik berlaku disebabkan oleh:

  • Aspirasi (makanan bagi dewasa, bendasing bagi kanak-kanak)
  • Bronkiektasis (saluran udara rosak)
  • Bronkiolitis
  • Fibrosis sistik
  • Refluk laringofarinks
  • Kanser paru-paru
  • Bronkitis eosinofilik bukan asmatik (radang saluran udara yang tidak disebabkan oleh asma)
  • Sarkoidosis (himpunan sel inflamatori di bahagian yang berbeza pada badan anda, kebanyakannya pada paru-paru)

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Batuk kronik?

Faktor-faktor risiko yang membawa kepada batuk kronik adalah:

  • Merokok: Merokok adalah risiko terbesar bagi batuk kronik. Ini disebabkan oleh menghidu toksin rokok secara langsung atau asap rokok sekunder (menghidu toksin rokok dalam udara).
  • Alahan: Individu yang mempunyai alahan, berisiko tinggi untuk mengalami batuk apabila terdedah pada punca alahan.
  • Persekitaran: Sesetengah tempat kerja mempunyai bahan kerengsaan dalam udara di mana seseorang boleh bernafas di dalamnya dan menyebabkan batuk. Kawasan pencemaran tinggi atau penggunaan arang untuk memasak atau memanas juga boleh meningkatkan risiko batuk anda.
  • Penyakit paru-paru kronik: Individu yang mempunyai asma, bronkiektasis (saluran udara membesar), COPD, dan pernah menghidapi jangkitan paru-paru berserta parut antara yang berisiko tinggi untuk mengalami batuk.

Jantina: Wanita mempunyai reflek batuk yang lebih sensitif, meningkatkan risiko mereka terhadap batuk.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Batuk kronik didiagnosis?

Pemeriksaan fizikal

Doktor akan mengambil tanda utama termasuk suhu badan anda. Doktor akan memeriksa paras oksigen anda dengan melekatkan klip kecil yang tidak sakit pada jari anda, memeriksa belakang kerongkong dan telinga anda, jika perlu, serta mendengar paru-paru dan jantung anda menggunakan stetoskop dan juga melihat kaki dan kulit anda.

Ujian-ujian:

Doktor akan mungkin mensyorkan ujian tambahan, seperti:

  • X-ray dada: mengambil gambar dada yang cepat dan mudah
  • Sampel darah: bagi melihat jika badan anda sedang bertarung melawan jangkitan.
  • Pengimbas CT pada dada: bagi kualiti gambar dada yang lebih baik.
  • Sapuan kerongkong: selalunya dilakukan dengan kapas sapuan panjang.
  • Sampel kahak: dikumpul selepas batuk.
  • Spirometri: anda akan diminta untuk melepaskan nafas dengan kuat dan laju ke dalam alat plastik kecil bagi mengukur sejauh mana anda boleh melepaskan nafas udara.
  • Ujian cabaran metakolina: merupakan ujian pernafasan asma standard sering digunakan untuk menilai asma varian batuk.

Bagaimana pesakit Batuk kronik dirawat?

Jika anda mengambil ubat penyekat ACE, doktor akan menggantikan ubat lain yang tidak menyebabkan batuk sebagai kesan sampingan.

Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat batuk kronik termasuklah:

  • Antihistamin, glukokortikoid, dekongestan. Ubat-ubatan ini merupakan rawatan standard bagi alahan dan titisan postnasal.
  • Ubat penghidu asma. Rawatan paling efektif bagi batuk berkaitan asma adalah glukokortikoid dan bronkodilator, di mana ia dapat mengurangkan radang dan membuka saluran udara anda.
  • Antibiotik. Jika jangkitan bakteria adalah punca bagi batuk kronik anda, doktor anda akan mensyorkan antibiotik.
  • Penghalang asid. Apabila perubahan cara hidup tidak berjaya memulihkan refluk asid, anda akan dirawat menggunakan ubat yang menghalang penghasilan asid. Sesetengah individu memerlukan pembedahan bagi merawat keadaan ini.
  • Penahan batuk. Jika punca bagi batuk anda tidak dapat dikenal pasti dan menyebabkan masalah besar kepada anda, seperti membuat anda sentiasa bangun daripada tidur, doktor anda akan mensyorkan ubat penahan batuk. Walau bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan bahawa ubat yang dibeli tanpa prekripsi adalah efektif.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Batuk kronik?

Kekalkan cara hidup yang sihat adalah penting terutamanya jika anda berisiko tinggi. Perkara ini termasuklah:

  • Berhenti merokok

Selepas anda berhenti merokok, anda akan kurang cenderung untuk mendapat selsema atau mengalami batuk kronik.

  • Perubahan diet

Jika anda memerlukan bantuan bagi mengubah diet, doktor boleh memberi nasihat atau merujuk anda kepada pakar diet.

  • Keadaan perubatan

Anda dinasihatkan supaya menjauhi mereka yang menghidapi penyakit berjangkit seperti bronkitis, bagi mengelakkan daripada bersentuhan dengan kuman. Anda harus membasuh tangan anda dengan kerap, dan tidak berkongsi alat makanan seperti sudu, tuala, atau bantal.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 20, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 20, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut