Apa itu Bahu Terkehel / Dislokasi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Bahu Terkehel / Dislokasi?

Bahu adalah sejenis sendi lesung yang berupa seperti sambungan bebola dan soket. Ini bermakna bebola pada bahagian atas tulang lengan anda adalah muat dan masuk ke dalam alur di bilah bahu anda (soket). Bahu terkehel anda bermaksud sambungan bebola tersebut telah terkeluar dari soket bahu. Bahu adalah sendi yang paling mudah dan banyak arah pergerakan, yang turut menjadikannya mudah untuk terkehel.

Apakah kebarangkalian Bahu Terkehel / Dislokasi?

Bahu terkehel adalah keadaan yang sangat lazim. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Bahu Terkehel / Dislokasi?

Tanda-tanda umum bagi bahu terkehel adalah:

  • Bahu yang kelihatan seolah-olah cacat atau di luar tempatnya yang biasa.
  • Bengkak atau lebam.
  • Kesakitan yang teramat sangat.
  • Ketidakupayaan untuk menggerakkan sendi.
  • Rasa kebas, kesemutan, atau kelemahan pada lengan, tangan, atau jari anda.

Bahu terkehel juga boleh menyebabkan rasa kebas, kelemahan atau kesemutan berhampiran bahagian yang tercedera, seperti di leher anda atau di bawah lengan anda. Otot-otot di bahu anda mungkin kekejangan kesan dari gangguan tersebut, dan selalunya akan meningkatkan tahap kesakitan anda.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda merasakan bahawa bahu anda terkehel, segera dapatkan rawatan perubatan.

Punca

Apakah punca Bahu Terkehel / Dislokasi?

Sendi bahu adalah sendi yang paling kerap terkehel dalam badan. Sebabnya ialah kerana ia boleh bergerak ke beberapa arah yang agak banyak, sama ada bahu anda boleh terkehel ke hadapan, ke belakang atau ke bawah secara sepenuhnya mahupun sebahagian, walaupun sebenarnya kebanyakan dislokasi berlaku melalui bahagian depan bahu. Di samping itu, tisu urat / tisu lembut (fibrous) yang menyertai tulang bahu anda boleh diregangkan atau terkoyak, lalu menambah komplikasi terhadap dislokasi.

Dislokasi memerlukan tenaga yang kuat, seperti pukulan secara tiba-tiba ke bahu anda, untuk menarik sebarang tulang keluar dari tempatnya. Pusingan / putaran bahu yang melampau juga boleh menyebabkan bebola tulang lengan atas (humerus) anda keluar dari soket bahu (glenoid cavity) anda. Dislokasi separa – di mana bahagian atas tulang lengan anda sebahagiannya sahaja terkeluar dari soket bahu anda – juga mungkin berlaku.

Bahu yang terkehel mungkin disebabkan oleh:

  • Kecederaan sukan: bahu terkehel adalah kecederaan biasa dalam sukan sentuhan, seperti bola sepak dan hoki, dan dalam sukan yang mungkin melibatkan keadaan terjatuh, seperti bermain ski menuruni bukit, gimnastik dan bola tampar.
  • Trauma yang tidak berkaitan dengan sukan: Pukulan keras di bahu anda semasa kemalangan kenderaan bermotor juga adalah punca utama dislokasi.
  • Keadaan terjatuh lain: bahu anda boleh terkehel selepas terjatuh, seperti dari tangga atau tersadung pada permaidani yang licin.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Bahu Terkehel / Dislokasi?

Lelaki di usia remaja atau 20-an, adalah kumpulan yang cenderung aktif secara fizikal, dan berada pada risiko paling tinggi bagi bahu terkehel.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Bahu Terkehel / Dislokasi didiagnosis?

Semasa pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa kawasan yang terjejas bagi kesakitan, bengkak atau kecacatan. Adalah penting bagi doktor untuk mengetahui bagaimana keadaan terkehel berlaku dan sama ada bahu tersebut pernah terkehel sebelum ini. Doktor akan memeriksa bahu dan boleh mengarahkan imbasan x-ray dilaksanakan. X-ray dari sendi bahu anda akan menunjukkan dislokasi dan mungkin mendedahkan keadaan tulang patah atau kerosakan lain pada sendi bahu anda.

Bagaimana pesakit Bahu Terkehel / Dislokasi dirawat?

Rawatan bagi bahu yang terkehel mungkin melibatkan:

  • Penarikan / pelarasan (reduction) tertutup: Doktor anda boleh mencuba beberapa pergerakan yang lembut untuk membantu tulang bahu dan lengan anda kembali ke posisi yang betul. Bergantung kepada tahap kesakitan dan bengkak, anda mungkin memerlukan ubat pengendur otot, sedatif, atau dalam keadaan yang jarang, bius am sebelum memanipulasi tulang bahu anda. Apabila tulang bahu anda telah kembali ke tempat asal, kesakitan yang teruk harus ditangani dengan segera.
  • Pembedahan: Anda mungkin memerlukan pembedahan jika anda mempunyai sendi bahu atau ligamen yang lemah dan cenderung untuk mengalami dislokasi bahu berulang meskipun selepas menjalani pengukuhan dan pemulihan yang betul. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, anda mungkin memerlukan pembedahan jika saraf atau saluran darah anda rosak.
  • Imobilisasi: Doktor anda boleh menggunakan penganduh / penggantung khas selama beberapa hari ke tiga minggu untuk memastikan bahu anda tidak bergerak. Tempoh anda memakai penganduh / penggantung bergantung pada keadaan bahu anda dan berapa segera penganduh itu digunakan selepas bahu anda terkehel.
  • Ubat: Doktor anda mungkin akan menetapkan ubat pelega kesakitan atau pengendur otot untuk memastikan anda selesa sementara bahu anda sembuh.
  • Pemulihan: Selepas penganduh /  penggantung bahu anda ditanggalkan, anda akan memulakan program pemulihan secara beransur-ansur yang direka untuk memulihkan semula pelbagai pergerakan, kekuatan dan kestabilan pada sendi bahu anda.

Sekiranya anda mengalami bahu terkehel yang ringkas tanpa kerosakan saraf atau tisu utama, sendi bahu anda mungkin akan pulih selama beberapa minggu, tetapi anda akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dislokasi pada masa akan datang. Menyambung aktiviti terlalu awal selepas dislokasi bahu boleh menyebabkan sendi bahu anda tercedera atau terkehel semula.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 13, 2019

Rujukan