Apa itu Anosmia?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Anosmia?

Anosmia adalah keadaan yang berlaku apabila anda kehilangan deria bau. Ia biasanya disebabkan oleh keadaan hidung atau kecederaan otak, tetapi terdapat juga sesetengah orang yang dilahirkan tanpa deria bau (anosmia kongenital).

Deria bau seseorang didorong oleh beberapa proses tertentu. Pada mulanya, molekul yang dikeluarkan dari bahan (seperti wangian dari bunga) mesti merangsang sel-sel saraf khas (dipanggil sel olfaktori) yang ditemui di bahagian atas hidung. Sel-sel saraf ini kemudiannya menghantar maklumat ke otak, di mana bau spesifik dikenal pasti. Apa sahaja yang mengganggu proses ini, seperti hidung berair, hidung tersumbat, atau kerosakan pada sel-sel saraf itu sendiri, boleh mengakibatkan kehilangan deria bau.

Secara amnya, keupayaan untuk mencium bau juga mempengaruhi keupayaan kita untuk merasa melalui lidah. Tanpa deria bau, tunas rasa kita hanya dapat mengesan beberapa perisa, dan ini dapat menjejaskan kualiti hidup anda.

Jika anda tiba-tiba kehilangan deria bau anda dan tidak tahu mengapa, sila berjumpa dengan doktor anda. Mereka mungkin dapat mendiagnosis sebab dan menawarkan rawatan untuk memulihkan deria bau anda.

Apakah kebarangkalian Anosmia?

Jawapannya masih tidak jelas. Tidak pernah ada bancian lengkap untuk menghitung bilangan orang yang mengadu masalah dengan deria bau mereka. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Anosmia?

Tanda dan simptom anosmia yang jelas adalah kehilangan deria bau. Sesetengah orang dengan anosmia mendapati perubahan pada bau sesuatu perkara. Sebagai contoh, perkara-perkara yang biasa mula dirasai baunya berkurang.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor anda jika ada yang berikut:

  • Kehilangan bau yang disebabkan oleh selesema, alahan atau jangkitan sinus biasanya hilang selepas beberapa hari. Jika ini tidak berlaku, sila berjumpa dengan doktor anda supaya beliau boleh menyingkirkan kebarangkalian lain yang lebih serius.
  • Kehilangan bau kadang-kadang boleh dirawat, bergantung kepada sebab. Doktor anda boleh memberi anda antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria, atau membuang halangan yang menyekat laluan hidung anda.
  • Dalam kes lain, kehilangan bau juga boleh jadi kekal. Selepas usia 60, khususnya, anda mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami kehilangan rasa bau anda).

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Anosmia?

Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan anosmia:

  • Jangkitan virus yang menjejaskan saluran pernafasan atas, seperti selesema
  • Sinusitis berterusan (kronik), dengan atau tanpa polip hidung
  • Keluarbiasaan pada hidung, seperti hidung bengkok atau septum (dinding yang membahagi lubang hidung) yang tidak lurus
  • Demam alergi (rinitis) yang menyebabkan keradangan parah di bahagian hidung
  • Ubatan tertentu, termasuk antibiotik seperti metronidazole
  • Penggunaan dadah rekreasi seperti kokain atau amphetamine
  • Diabetes
  • Penyalahgunaan alkohol dalam jangka panjang
  • Tiroid kurang aktif
  • Sindrom Cushing (tahap kortisol hormon yang tinggi dalam darah)
  • Pendedahan kepada bahan kimia yang membakar bahagian dalam hidung
  • Kecederaan kepala
  • Tumor otak
  • Radioterapi pada kepala dan leher
  • Epilepsi
  • Penyakit Parkinson
  • Penyakit Alzheimer
  • Strok
  • Penyakit hati atau buah pinggang
  • Kekurangan vitamin B12
  • Skizofrenia
  • Granulomatosis dengan polyangiitis – gangguan luar biasa pada saluran darah
  • Sarkoidosis – penyakit yang jarang berlaku yang menyebabkan sel-sel badan membentuk gumpalan yang tidak normal
  • Anosmia kongenital

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Anosmia didiagnosis?

Doktor anda boleh menanyakan beberapa soalan mengenai simptom semasa anda, memeriksa hidung anda, melakukan pemeriksaan fizikal lengkap, dan bertanya tentang sejarah kesihatan anda.

Mereka mungkin bertanya mengenai masalah ketika permulaan, adakah semua atau hanya beberapa jenis bau terpengaruh, dan keupayaan anda merasai makanan. Doktor anda juga akan melakukan pemeriksaan untuk mengesan penyakit ini. Bergantung pada jawapan anda, doktor anda juga boleh melakukan satu atau lebih daripada ujian berikut:

  • Pemeriksaan tomografi berkomputer (CT), yang menggunakan x-ray untuk menghasilkan imej otak yang terperinci
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI), yang menggunakan gelombang radio dan magnet untuk mengimbas otak
  • X-ray kepala
  • Endoskopi hidung untuk melihat di dalam hidung anda

Bagaimana pesakit Anosmia dirawat?

Orang yang mempunyai anosmia kongenital mempunyai ketidakupayaan seumur hidup untuk mencium bau dan tidak dapat memahami konsep tentang bau. Pada masa ini, tiada ubat atau rawatan yang diketahui untuk anosmia kongenital.

Walau bagaimanapun, jenis anosmia lain boleh dirawat apabila keadaan asasnya dirawat. Rawatan yang boleh membantu, bergantung pada keadaan anda, adalah:

  • Semburan hidung steroid
  • Ubatan antihistamin
  • Tablet steroid
  • Pembedahan untuk membuang polip hidung
  • Pembedahan untuk meluruskan septum hidung
  • Pembedahan untuk membersihkan sinus, yang dikenali sebagai pembedahan sinus endoskopi (ESS) (lihat di bawah)

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Anosmia?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani anosmia:

  • Pasang penggera asap di semua kawasan rumah, terutamanya di dapur dan tempat pendiangan
  • Tukar dari peralatan berasaskan gas asli kepada elektrik, atau pertimbangkan untuk memasang alat pengesan kebocoran gas asli
  • Tandakan dengan jelas tarikh luput pada makanan dan tandakan lebihan makanan dengan tarikh, jadi anda tahu bila untuk membuangnya
  • Baca label amaran dengan teliti ke atas produk seperti pembersih bilik mandi, dapur, dan racun serangga, untuk berhati-hati dengan bahan kimia yang kuat

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.