Apa itu Angina?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Angina?

Angina adalah sakit dada atau ketidakselesaan yang biasanya disebabkan oleh kekurangan aliran darah ke jantung. Ini biasanya disebabkan oleh penyempitan atau penyumbatan saluran darah dalam badan. Jantung  anda memerlukan oksigen yang dibawa oleh darah. Apabila kurang darah yang sampai ke jantung, maka kurang oksigen dihantar pada jantung bagi mengepam darah. Terdapat tiga jenis angina:

  • Angina stabil adalah jenis yang paling biasa. Ia berlaku apabila jantung bekerja lebih kuat daripada biasanya. Angina yang stabil mempunyai corak biasa. Rehat dan ubat-ubatan biasanya membantu.
  • Angina tidak stabil adalah yang paling berbahaya. Ia tidak mengikuti corak dan boleh berlaku tanpa aktiviti fizikal. Ia tidak pulih dengan rehat atau ubat. Ia adalah satu tanda bahawa anda boleh mengalami serangan jantung tidak lama lagi.
  • Angina variasi jarang berlaku. Ia berlaku apabila anda sedang berehat. Ubat boleh membantu.

Tidak semua kesakitan atau ketidakselesaan dada adalah angina. Sekiranya anda mengalami sakit dada, anda perlu menghubungi doktor anda dengan segera.

Apakah kebarangkalian Angina?

Sesiapa sahaja boleh mendapat angina dengan sebab yang berbeza. Orang yang telah menghidap penyakit jantung lebih cenderung mempunyai angina. Lelaki berusia lebih daripada 45 dan wanita lebih daripada 55 tahun adalah mereka yang berisiko tinggi. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Angina?

Simptom umum angina adalah:

  • Sakit atau ketidakselesaan di dada;
  • Sakit di lengan , leher, rahang, bahu atau belakang yang mengiringi sakit dada;
  • Loya;
  • Keletihan;
  • Sesak nafas;
  • Berpeluh;

Simptom ini mungkin juga berbeza bergantung pada jenis angina yang mungkin anda miliki. Berikut adalah beberapa tanda dan simptom setiap jenis:

Angina stabil:

Angina stabil adalah sakit dada atau ketidakselesaan yang biasanya berlaku dengan aktiviti atau tekanan. Episod kesakitan atau ketidakselesaan berpunca daripada jumlah aktiviti atau tekanan yang sama atau konsisten.

Jika anda mempunyai angina yang stabil, anda boleh mempelajari coraknya dan meramalkan bila rasa sakit akan berlaku. Kesakitan biasanya hilang beberapa minit selepas anda berehat atau mengambil ubat angina anda.

Angina tidak stabil:

Angina tidak stabil merujuk kepada angina di mana corak simptom itu berubah. Ia sering berlaku pada waktu malam iaitu semasa tidur. Ia mungkin lebih kerap berlaku dan lebih teruk daripada angina yang stabil. Angina yang tidak stabil juga boleh berlaku dengan atau tanpa kerja yang kuat dan rehat. Ubat tidak boleh melegakan kesakitan.

Angina variasi:

Angina variasi jarang berlaku. Kekejangan dalam arteri koronari menjdi punca angina ini. Variasi angina biasanya berlaku semasa anda sedang berehat, dan rasa sakit boleh menjadi  teruk. Ia biasanya berlaku antara tengah malam dan awal pagi. Pengambilan ubat boleh melegakan jenis angina ini.

Mungkin terdapat beberapa simptom tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom, sila berjumpa dengan doktor anda. 

Bila saya harus berjumpa doktor?

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda angina, anda perlu segera menghubungi doktor anda. Angina yang stabil bukan serangan jantung, tetapi ia menandakan serangan jantung lebih cenderung berlaku pada masa akan datang.

Angina yang tidak stabil sangat berbahaya dan memerlukan rawatan kecemasan. Jenis angina ini adalah tanda bahawa serangan jantung mungkin berlaku tidak lama lagi.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan doktor anda.

Punca

Apakah Punca Angina?

Angina disebabkan oleh kekurangan aliran darah ke jantung. Angina boleh berpunca daripada:

  • Penyakit arteri koronari berpunca daripada aterosklerosis (lemak mendak di dalam saluran darah ke jantung).
  • Irama jantung yang tidak normal.
  • Kekurangan sel darah merah yang membawa oksigen (anemia).
  • Kekejangan arteri koronari.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Angina?

Terdapat banyak faktor risiko untuk angina, seperti:

  • Umur dan jantina: lelaki lebih daripada 60 tahun dan wanita selepas menopaus.
  • Sejarah keluarga dengan penyakit jantung.
  • Individu yang makan makanan yang tinggi kolesterol dan tinggi lemak.
  • Individu yang tidak kerap bersenam.
  • Penghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol tinggi.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Angina didiagnosis?

Sebelum menentukan diagnosis, doktor anda mungkin melakukan ujian berikut:

  • electrocardiograms (ECGs);
  • ujian treadmill dan latihan;
  • Kemasukan tiup khas ke jantung ( ‘heart catheterization’) yang dilakukan untuk memeriksa aliran darah jantung dengan meletakkan peranti melalui arteri ke dalam jantung. Ujian ini menunjukkan sebarang tanda arteri yang tersumbat.

Bagaimana pesakit Angina dirawat?

Matlamat rawatan adalah untuk meningkatkan aliran darah ke jantung atau untuk mengurangkan beban kerja jantung. Rehat atau mengurangkan aktiviti adalah rawatan pertama.

Aspirin meningkatkan aliran darah. Nitrat, seperti nitrogliserin, menyebabkan salur darah mengembang yang  boleh membantu melancarkan aliran darah. Ubat-ubatan lain seperti beta-blockers melambatkan kadar denyutan jantung, yang mengurangkan beban kerja jantung. Merawat penyebab asas bagi angina adalah penting (misalnya tekanan darah tinggi, degupan jantung tidak sekata, kencing manis, kolesterol tinggi). Doktor anda boleh memastikan ubat untuk merawat penyebab asas angina terlebih dahulu. Jika ubat tidak berkesan, pembedahan mungkin diperlukan. Pembedahan terdiri daripada yang berikut:

  • Angioplasti dan stenting: Ini dilakukan untuk membuka saluran darah dengan memasukkan belon kecil di arteri yang sempit untuk meluaskan arteri dan kemudian meletakkan wayar mesh kecil (stent). Prosedur ini melancarkan aliran darah dengan berkesan dan merupakan rawatan yang baik untuk pesakit dengan angina yang tidak stabil.

Pintasan arteri koronari: Prosedur ini dilakukan untuk memintas arteri yang tersekat atau sempit dengan menggunakan vein atau arteri dari bahagian badan yang lain. Ini biasanya merupakan pilihan yang baik untuk kedua-dua angina yang stabil dan tidak stabil yang tidak berkesan dengan rawatan ubat-ubatan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Angina?

Gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi angina:

  • Berhenti merokok
  • Mengamalkan diet yang sihat dengan menghadkan lemak, makan lebih banyak bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran;
  • Rujuk doktor untuk menentukan rutin senaman yang paling berkesan;
  • Jika berat badan anda berlebihan, berbincanglah dengan doktor anda tentang skema pengurangan berat badan untuk kesihatan semasa anda;
  • Ikuti temujanji dan preskripsi doktor;
  • Jika angina disebabkan oleh kencing manis, tekanan darah tinggi, atau kolesterol tinggi, anda harus merawat penyakit tersebut terlebih dahulu;
  • Nikmati masa untuk bersantai dan berehat.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu April 3, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut