Apa itu Adenoma Bronkus?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Adenoma Bronkus?

Adenoma bronkus adalah sejenis tumor dalam kerongkong (trakea) atau saluran pernafasan besar paru-paru (bronkus) yang biasanya menghalang saluran pernafasan. Walaupun istilah adenoma bronkus pernah digunakan untuk merujuk kepada tumor saluran pernafasan yang bukan kanser (benigna), tumor ini (dengan pengecualian adenoma kelenjar mukosa), kini telah diketahui boleh merebak ke kawasan lain di badan.

Apakah kebarangkalian Adenoma Bronkus?

Adenoma bronkus adalah sejenis kanser yang jarang berlaku. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Adenoma Bronkus?

Tanda-tanda umum bagi adenoma bronkus adalah:

  • Kahak berdarah
  • Batuk
  • Berdehit
  • Pneumonia berulang
  • Pneumonia yang lambat pulih
  • Penguncupan lobus atau segmen paru-paru
  • Batuk yang berlangsung lebih daripada 6 minggu

Simptom lain yang boleh (jarang) berlaku dengan penyakit ini:

  • Kemerahan kulit

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Adenoma Bronkus?

Doktor masih belum mengetahui punca sebenar. Gen mungkin memainkan peranan dalam beberapa bentuk bagi kanser ini.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Adenoma Bronkus?

Terdapat banyak faktor risiko bagi adenoma bronkus, seperti:

  • Genetik
  • Mempunyai Multiple Endocrine Neoplasia jenis 1 (MEN)
  • Menjalani penyinaran (radiasi) ke bahagian kepala dan leher anda

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Adenoma Bronkus didiagnosis?

Untuk mendiagnosis adenoma bronkus, doktor anda mungkin akan menjalankan salah satu atau lebih daripada ujian-ujian ini:

  • Biopsi untuk mengeluarkan sebahagian kecil tisu. Doktor pakar akan memeriksa sampel di bawah mikroskop untuk memastikan jika ia adalah kanser.
  • X-ray menggunakan dos radiasi yang rendah untuk menghasilkan imej struktur di dalam badan anda. X-ray dada boleh mencari tumor di dalam paru-paru anda.
  • MRI, atau pengimejan resonans magnetik, menggunakan tenaga magnet yang kuat dan gelombang radio untuk membuat gambar organ dan struktur di dalam badan anda. Ia boleh menunjukkan saiz tumor. Anda mungkin akan diberikan sejenis cecair untuk diminum, atau suntikan ke dalam vena sebelum ujian. Ini adalah pewarna kontras yang akan membantu membuat gambaran yang lebih jelas.

Doktor anda juga boleh melakukan jenis imbasan lain untuk mencari tumor dan melihat jika ia telah tersebar.

Bagaimana pesakit Adenoma Bronkus dirawat?

Rawatan yang anda akan jalani bergantung kepada beberapa perkara pada anda:

  • Jenis dan peringkat kanser
  • Umur
  • Tahap kesihatan
  • Pilihan

Pilihan termasuk:

  • Pembedahan. Ini adalah rawatan utama untuk adenoma bronkus. Pakar bedah akan mengeluarkan kanser dan beberapa tisu di sekelilingnya. Kelenjar limfa di sekeliling tumor juga mungkin akan dikeluarkan untuk menghentikan penyakit itu daripada merebak.
  • Radioterapi. Rawatan ini menggunakan x-ray bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Ia boleh melegakan simptom dan membantu anda berasa lebih baik. Anda juga boleh menjalani rawatan ini selepas pembedahan untuk membunuh sebarang sel kanser yang tertinggal. Selalunya, anda akan menjalani radioterapi daripada sebuah mesin di luar badan anda. Satu lagi pilihan adalah untuk menanamkan pelet radioaktif kecil berhampiran dengan tumor. Beberapa hari kemudian, doktor anda akan mengeluarkannya semula. Radiasi boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti:
    • Keletihan
    • Kemerahan kulit di kawasan rawatan
    • Sakit kerongkong dan mulut
    • Batuk
    • Sesak nafas

Masalah-masalah ini sepatutnya hilang apabila anda berhenti menjalani rawatan.

  • Kemoterapi: menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser di seluruh badan anda. Ia boleh diberikan melalui vena (IV) atau sebagai pil. Anda boleh mendapatkan kemoterapi bersama dengan rawatan lain jika kanser anda telah merebak. Atau, anda mungkin mendapatkannya selepas pembedahan untuk membunuh sebarang sel kanser yang tertinggal. Kesan sampingan yang mungkin berlaku dari kemoterapi termasuklah:
    • Keletihan
    • Pening dan muntah
    • Keguguran rambut
    • Hilang selera makan
    • Cirit-birit
    • Peningkatan risiko terhadap jangkitan
  • Imunoterapi: Rawatan ini menggunakan ubat untuk meningkatkan keupayaan sistem imun anda untuk mencari dan memusnahkan kanser. Imunoterapi boleh mengecilkan tumor atau menghentikan pertumbuhan mereka.

Terapi yang disasarkan. Rawatan ini akan mengenal pasti protein atau gen yang unik untuk kanser anda, serta protein yang membantu perkembangannya. Kemudian ia menyasarkan bahan-bahan tersebut untuk menghentikan kanser daripada merebak.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Adenoma Bronkus?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani adenoma bronkus:

  • Rawatan untuk adenoma bronkus boleh jadi agak menekan dan menyusahkan. Adalah penting untuk berbincang secara terbuka mengenai perasaan anda dengan doktor, jururawat, dan ahli pasukan rawatan yang lain. Seorang ahli terapi, psikologi, atau kaunselor boleh membantu anda menangani beberapa kebimbangan dan emosi yang anda mungkin rasakan.
  • Anda juga mungkin mahu mencari kumpulan sokongan bersama dengan orang lain yang mengalami penyakit ini. Berkomunikasi dengan orang yang mengetahui apa yang anda telah/akan lalui adalah sangat membantu, kerana mereka tahu bagaimana keadaannya dan boleh memahami anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 31, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.