Tanda Kencing Manis Awal Yang Anda Perlu Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mungkin ada dalam kalangan kita yang sebenarnya memang sudah lama menghidap penyakit kencing manis namun, langsung tidak menyedarinya. Persoalannya, apakah tanda kencing manis sedang berlaku kepada kita?

Di Malaysia sahaja, statistik penyakit ini telah berada pada tahap yang sangat membimbangkan kerana negara kita merupakan negara dengan penduduk yang paling tinggi menderita diabetes di Asia Tenggara dan berada pada kedudukan ke-10 di dunia.

Hakikatnya, siapa yang dapat menafikan nikmat pengambilan makanan dan minuman yang manis, bukan? Masyarakat kita pula sudah pasti tidak boleh lari daripadanya. Lihat sahaja makanan dan minuman tradisional kita seperti air batu campur, cendol, lai chi kang dan manisan-manisan kita, kebanyakannya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi.

Sebenarnya, pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula boleh memudaratkan jika pengawalan pengambilannya adalah tidak teratur seterusnya boleh mengakibatkan kepada masalah kesihatan yang sangat berbahaya, iaitu kencing manis. Ingin tahu mengenai tanda kencing manis dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini. 

Apa itu kencing manis?

Sebelum pergi lebih lanjut, kita wajar mengetahui serba sedikit mengenai penyakit yang berbahaya ini terlebih dahulu.

Kencing manis (diabetes mellitus) atau lebih biasa dikenali sebagai diabetes adalah sejenis penyakit metabolik yang akan menyebabkan kandungan gula tinggi dalam darah. Ia akan mempengaruhi gula dalam darah (glukosa) tubuh badan anda. Glukosa adalah sangat penting kepada kesihatan anda kerana ia merupakan sumber utama tenaga bagi sel yang akan membangunkan otot dan tisu selain sangat penting untuk otak. 

Dengan bantuan hormon insulin, gula dalam darah akan bergerak ke dalam sel untuk disimpan atau digunakan dan ditukarkan sebagai tenaga. Jika anda menderita diabetes, tubuh badan anda mungkin tidak cukup menghasilkan insulin atau tidak dapat menggunakannya secara total. Sekiranya tidak dirawat, kadar glukosa yang tinggi boleh merosakkan sistem saraf, buah pinggang, mata dan lain-lain organ dalam tubuh badan.

Jenis kencing manis

Tahukah anda bahawa kencing manis juga mempunyai beberapa jenis yang berlainan? Berikut merupakan jenis-jenisnya:

Diabetes jenis 1

Kencing manis jenis 1 ini adalah sejenis penyakit autoimun. Sistem imun akan menyerang dan membunuh sel di dalam pankreas, organ di mana insulin dihasilkan. Hampir 10 peratus individu yang menderita diabetes menghidap kencing manis jenis ini.

Diabetes jenis 2

Kencing manis jenis 2 ini akan berlaku apabila tubuh badan anda sudah tidak mampu bergerak balas dengan insulin, lalu mengakibatkan gula terkumpul di dalam darah. Kebiasaannya, pradiabetes boleh berlaku jika glukosa adalah lebih tinggi daripada kadar biasa, tetapi ia mungkin tidak begitu tinggi sehingga boleh menyebabkan kencing manis jenis 2. 

Diabetes gestasi

Kencing manis gestasi akan berlaku jika seorang wanita itu mempunyai kandungan gula yang tinggi semasa kehamilan. Hormon yang dihasilkan oleh plasenta mungkin akan menghalang insulin lalu menyebabkan kencing manis gestasi.

Ada juga jenis lain yang dikenali sebagai diabetes insipidus namun ia tidak berkaitan dengan diabetes mellitus meskipun ia memiliki nama yang agak sama. Ia adalah keadaan di mana buah pinggang anda akan membuang terlalu banyak cecair daripada tubuh badan anda.

Setiap jenis diabetes ini adalah berbeza simptom, punca dan rawatannya. Sila rujuk doktor pakar untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Simptom umum kencing manis

Simptom diabetes sebenarnya sangat bergantung kepada kadar kandungan gula dalam darah anda. Ada sesetengah individu terutamanya yang menderita pradiabetes atau diabetes jenis 2, mungkin tidak akan menunjukkan simptom yang terlalu jelas. Namun, bagi penderita diabetes jenis 1, simptom mungkin akan terlihat lebih cepat dan mungkin lebih teruk.

Berikut merupakan simptom-simptom umum penderita diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2:

  • Sering berasa haus
  • Sering berapa lapar
  • Kerap membuang air kecil
  • Penurunan berat badan secara tiba-tiba
  • Keletihan
  • Kekuatan otot menjadi berkurang
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Nafsu seks berkurangan
  • Disfungsi ereksi
  • Luka lambat pulih
  • Selalu dijangkiti infeksi pada bahagian gusi, kulit atau kemaluan
  • Kewujudan keton di dalam urin (keton adalah sisa produk daripada otot dan lemak yang terkumpul akibat kekurangan insulin)

Bagi diabetes gestasi pula, penderitanya mungkin tidak akan menunjukkan apa-apa simptom. Kondisi ini selalu dikesan ketika ujian rutin glukosa dalam darah yang biasa dijalankan pada minggu ke-24 hingga ke-28 kehamilan. Dalam beberapa kes yang sangat jarang berlaku, akan ada ibu hamil dengan gestasi diabetes yang akan sering berasa haus dan kerap membuang air kecil. 

prediabetes

Tanda kencing manis

Secara umumnya, kencing manis adalah disebabkan oleh pengambilan gula yang terlalu tinggi. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak sedar mengenai tanda kecing manis ini dan masih tidak mengawal diet pemakanan mereka. Jika terlambat, kondisi kesihatan anda sudah pasti akan terjejas. Jadi, apakah yang perlu dilakukan? Jawapannya, mudah sahaja. Anda perlu mengetahui mengenai tanda-tanda amaran diabetes.

Kandungan gula dalam darah boleh menjadi tinggi tanpa menunjukkan sebarang simptom yang ketara. Lazimnya juga, individu tidak akan menyedari tanda kencing manis ini dan bahawa mereka sebenarnya adalah penderita kencing manis kecuali jika mereka menghidapi diabetes jenis 2. Antara gejala penyakit ini adalah kerap membuang air kecil dan kerap berasa dahaga. Mengabaikannya pula akan mengakibatkan komplikasi lain yang lebih teruk lagi.

Walaupun kadar peningkatan gula dalam darah anda tidak terlalu tinggi, ia masih boleh merosakkan sistem saraf, buah pinggang serta retina. Semakin tinggi glukosa juga akan mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk jika anda tidak segera mendapatkan rawatan.

Jadi, anda perlu lebih cepat dalam mengesan tanda amaran diabetes. Berikut merupakan tanda kencing manis yang perlu anda waspada:

#1. Anda semakin kerap pergi ke tandas untuk membuang air

Pergi ke tandas untuk membuang air adalah perkara yang normal. Pun begitu, terlalu kerap mengunjunginya terutamanya pada waktu malam, adalah tanda kandungan gula dalam darah anda adalah terlalu tinggi dan merupakan tanda kencing manis yang awal. 

#2. Anda semakin kerap dijangkiti infeksi urin

Apabila kandungan gula dalam darah anda semakin tinggi, buah pinggang anda tidak dapat berfungsi dengan betul. Ini sekali gus akan mengakibatkan glukosa wujud di dalam urin. Gula yang berada dalam persekitaran yang lembap pula akan menyebabkan infeksi pada saluran urin, terutamanya kepada golongan wanita.

#3. Anda mengalami penurunan berat badan yang ketara

Sekiranya anda mengalami kencing manis, tubuh badan anda tidak dapat menggunakan glukosa dengan efektif sebagai tenaga. Disebabkan itu, tubuh badan anda akan mula membakar lemak yang tersimpan, lalu menyebabkan penurunan berat badan yang agak ketara.

#4. Anda akan mengalami penglihatan yang kabur

Kandungan glukosa yang tinggi akan mengganggu lensa di dalam mata anda, sekali gus merosakkan penglihatan anda. Rabun, walaupun ia bukan sesuatu yang pasti, adalah tanda kencing manis yang awal.

#5. Anda akan mengalami perubahan warna kulit

Antara tanda kencing manis yang awal adalah berlakunya perubahan pada warna kulit anda. Perubahan ini sangat jelas kerana kulit penderita diabetes akan mula berubah menjadi warna agak kehitaman terutamanya pada bahagian leher dan ketiak. Ramai yang salah anggap bahawa ini adalah daki yang melekat pada kulit. Sebenarnya, ini adalah satu kondisi yang disebabkan oleh rintangan insulin dan dinamakan sebagai acanthosis nigricans.

#6. Anda akan kerap berasa letih dan penat

Kadangkala, keletihan dan kepenatan yang melampau mungkin mempunyai kaitan yang rapat dengan diabetes. Kondisi ini juga mungkin menyebabkan penderita diabetes mengalami dehidrasi yang berpunca daripada kencing yang telalu kerap. Ia seterusnya akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang serta gangguan waktu tidur.

Segera jalani ujian

Kebiasaannya, individu mungkin tidak akan perasan ataupun memandang remeh sahaja tanda kencing manis ini sehingga ia menjadi teruk tanpa disedari langsung. Ataupun, mereka akan mengalami keletihan dan kepenatan yang teramat akibat terlalu kerap pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Ini seterusnya akan menyebabkan penurunan berat badan yang sangat ketara.

Disebabkan simptom diabetes kadangkala sukar untuk dikesan, anda tidak boleh terlalu bergantung kepada simptom-simptom ini sahaja. Sebaiknya, anda perlu lebih kerap berjumpa doktor untuk menjalani ujian. Ini adalah sangat penting terutamanya jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau ada dalam kalangan ahli keluarga anda memang menghidap kencing manis.

Pakar dari U.S. Preventive Services Task Force menyarankan anda untuk melakukan ujian kencing manis jenis 2 terutamanya jika anda berusia antara 40 hingga 70. Jika keputusannya normal, anda perlu mengulang ujian ini sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali. Sekiranya anda mempunyai banyak faktor risiko, mereka mencadangkan anda untuk memulakan ujian pada usia yang lebih muda dengan lebih kerap.

Bagaimana mengawal kadar gula dalam darah?

Seperti yang kebanyakan individu sudah sedia maklum, punca utama kencing manis adalah gula. Oleh itu, sangat penting untuk anda mengetahui tanda amaran jika gula dalam darah tinggi (hiperglikemia) dan cara untuk sentiasa memantau paras gula dalam darah anda.

Tanda kencing manis yang dialami mungkin berlainan bergantung kepada individu. Tanda-tanda kadar gula dalam darah adalah mudah untuk dikenal pasti dan perlu dirawat secepat yang mungkin sebelum ia berisiko membahayakan kesihatan anda.

Hiperglikemia akan menjadi semakin teruk apabila tubuh badan tidak lagi dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau tidak boleh menggunakannya dengan betul. Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh pankreas untuk mengawal kadar glukosa dalam darah dan menukarkan ia kepada tenaga. Akan tetapi, sekiranya anda kekurangan insulin, glukosa tidak dapat diserap ke dalam aliran darah. Jika ia berlaku untuk tempoh yang panjang, ia akan memudaratkan buah pinggang, sistem saraf, saluran darah dan meninggalkan kerosakan yang kekal pada tubuh badan manusia.

Punca-punca bacaan kencing manis terlalu tinggi

Berikut adalah punca-punca paras gula dalam darah anda boleh naik:

  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Keletihan dan kepenatan
  • Selesema
  • Dehidrasi
  • Makan terlalu banyak
  • Pengambilan steroid yang berlebihan

Bagaimana untuk memantau paras gula dalam darah?

Bagi mengawal paras gula dalam darah, adalah sangat penting untuk mengetahui jenis makanan apa yang boleh dimakan dan makanan apa yang harus dielak yakni makanan dengan indeks glisemik yang tinggi.

Persoalannya, apakah itu indeks glisemik (GI)? Ia adalah skala yang menunjukkan jumlah karbohidrat, iaitu makanan yang dapat meningkatkan kadar gula dalam darah anda. Pendek kata, semakin tinggi jumlah GI ini, semakin besar risiko paras gula dalam darah menjadi tinggi. Skala ini bermula dari 0 hingga 100 dan makanan di antara 0 hingga 54 akan dianggap sebagai makanan dengan skala GI yang rendah. 

Berikut merupakan senarai contoh makanan dengan skala GI pada makanan-makanan yang dinyatakan:

Contoh makanan GI rendah:

  • 1 telur: 6
  • 1 cawan brokoli: 10
  • 1 cawan hummus: 6
  • 1 cawan kacang: 15
  • 1 cawan kacang gajus: 22
  • 1 cawan ceri: 22
  • 1 cawan yogurt: 23
  • 1 bawang  bersaiz sederhana: 10
  • 1 epal bersaiz sederhana: 38
  • 1 sosej daging ayam belanda: 28
  • 1 cawan spaghetti: 42
  • 1 cawan anggur hijau: 46
  • 1 cawan kacang: 54
  • 220 gram jus tomato: 38
  • 220 gram jus nanas: 46
  • 1 lobak merah: 47
  • 1 buah oren: 48
  • 1 anggur: 50
  • 1 pisang: 52

Contoh makanan dengan GI sederhana:

  • 1 cawan beras merah: 55
  • 1 hidangan makaroni dan keju: 64
  • 1 sudu madu: 55
  • 1 cawan oat: 55
  • 1 cawan beras putih: 64

Contoh makanan dengan GI tinggi:

  • 2 cawan popcorn: 70
  • 1 keping roti: 70
  • 1 keping donat: 76
  • 1 kentang bakar bersaiz sederhana: 85
  • 1 hidangan emping jagung: 92
  • 50 gram glukosa: 100

Oleh itu, gunakan senarai contoh makanan yang dinyatakan di atas sebagai panduan anda dalam menjaga diet pemakanan anda. Harus diingatkan bahawa anda perlu mengambil makanan dengan GI yang lebih rendah lebih banyak dan makanan dengan GI yang lebih tinggi lebih sedikit. Bagi makanan GI sederhana pula, pastikan juga anda mengambilnya pada kadar yang sederhana yakni tidak terlalu banyak atau tidak terlalu sedikit. 

Pun begitu, jika anda mengalami sebarang tanda-tanda hiperglikemia berlaku kepada anda, atau sebarang tanda kencing manis, segera ubat diet pemakanan anda dan mula melakukan senaman. Jika masih tidak mengubah apa-apa, segera dapatkan bantuan doktor. 

Rawatan kencing manis

Setelah meneliti diri sendiri, pasti anda akan mengesyaki bahawa anda sudah ada tanda kencing manis berlaku pada diri anda. Jika anda sudah disahkan menghidapi kencing manis, apakah yang anda perlu lakukan? Selain daripada menjaga pemakanan, anda sebenarnya perlu mendapatkan rawatan yang selanjutnya. Doktor akan merawat diabetes dengan beberapa jenis rawatan, seperti berikut:

Rawatan diabetes jenis 1

Insulin adalah rawatan utama untuk diabetes jenis 1. Ia akan menggantikan hormon yang tidak boleh dihasilkan oleh tubuh badan anda. Terdapat 4 jenis insulin yang selalu digunakan. Ia dibezakan melalui waktu dan keberkesanannya. Berikut adalah jenis-jenis insulin:

  • Insulin yang bertindak dalam masa 15 minit dan akan memberi kesan untuk 3 hingga 4 jam.
  • Insulin yang bertindak dalam masa 30 minit dan akan memberi kesan untuk 6 hingga 8 jam.
  • Insulin yang bertindak dalam masa 1 hingga 2 jam dan akan memberi kesan untuk 12 hingga 18 jam.
  • Insulin yang bertindak dalam masa beberapa jam dan akan memberi kesan untuk 24 jam, atau lebih.

Rawatan diabetes jenis 2

Kadangkala, pengawalan diet dan senaman sahaja tidak akan membantu individu yang menderita penyakit kencing manis jenis 2. Jika gaya hidup anda tidak mampu merendahkan kadar glukosa anda, ubatan berikut perlu diambil:

  • Alpha-glucosidase inhibitors
  • Biguanides
  • DPP-4 inhibitors
  • SGLT2 inhibitors
  • Sulfonylureas
  • Thiazolidinediones

Mungkin juga akan ada individu yang menderita diabetes jenis 2 yang mengambil insulin, bergantung kepada individu.

Rawatan diabetes gestasi

Anda perlu kawal kadar gula dalam darah anda semasa kehamilan jika anda ada mengesyaki sebarang tanda kencing manis berlaku pada diri anda. Jika tinggi, tukar diet anda dan lakukan senaman. Menurut laman Mayo Clinic, penderita penyakit ini juga memerlukan insulin untuk merendahkan kadar glukosa mereka. Jangan risau kerana insulin adalah selamat untuk bayi dalam kandungan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut