Rintangan terhadap Antibiotik Semakin Meningkat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nahla Saleh, seorang ibu yang telah diasingkan ke sebuah bilik pengasingan sejurus beliau tiba di hospital yang diuruskan oleh Doctors Without Borders atau Médecins Sans Frontières (MSF) di Mosul Timur, Iraq. Doktor memberitahu kepadanya berkenaan keadaan kakinya yang memerlukan pembedahan dan ubat-ubatan dan situasi semasa tubuhnya yang mempunyai rintangan terhadap antibiotik. Walaupun setelah setahun meninggalkan hospital, luka di kakinya masih tidak sembuh sepenuhnya akibat aktiviti bakteria yang berdaya tahan terhadap sebarang antibiotik.

Keadaan Nahla Saleh bukanlah satu keadaan yang jarang berlaku di Mosul Timur memandangkan hampir 40% daripada jumlah keseluruhan pesakit yang dimasukkan ke hospital MSF ini mempunyai jangkitan yang berdaya tahan terhadap sebarang penggunaan antibiotik. Insiden ini bukan sahaja tinggi kadarnya di negara Iraq tetapi juga di negara-negara lain dimana MSF beroperasi. Rintangan terhadap antibiotik ini bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi kekerapan kadarnya yang semakin meningkat boleh menjadi satu isu yang membimbangkan dalam cabaran kesihatan awam di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Antimicrobial Resistance

Rintangan terhadap antibiotik berlaku apabila seseorang yang mempunyai jangkitan bakteria tidak mengalami kesembuhan melalui ubat-ubatan antibiotik yang diberikan kepadnya. Antibiotik sepatutnya berkesan dalam melawan serangan bakteria terhadap tubuh badan. Walaubagaimanapun, bakteria telah mempunyai mekanismanya yang tersendiri untuk menyesuaikan keadaan mereka terhadap sebarang antibiotik atau dadah untuk memastikan kelangsungan hidup mereka. Kebolehupayaan bakteria untuk beradaptasi dengan kehadiran antibiotik inilah yang dikenali sebagai rintangan antibiotik atau antimicrobial resistance.

Keadaan rintangan terhadap antibiotik ini disebabkan oleh faktor penyalahgunaan atau terlebih guna antibiotik. Rintangan terhadap antibiotik ini membimbangkan memandangkan kadar pertahanan bakteria terhadap sebarang usaha untuk menyingkirkannya meningkat dengan pantas berbanding masa yang diperlukan untuk pembangunan ubat atau antibiotik baharu.

Keselamatan Makanan dan Rintangan Antibiotik

Selain daripada penyalahgunaan antibiotik, penggunaan antibiotik yang berlebihan dalam sumber makanan juga menjadi antara faktor bakteria mempunyai rintangan terhadapnya. Kebanyakan syarikat-syarikat makanan segera akan menggunakan antibiotik dalam sumber dagingnya seperti lembu dan ayam yang bertujuan mengawal haiwan-haiwan tersebut daripada mudah mendapat penyakit. Malangnya, penggunaan antibiotik secara berlebihan dalam penternakan haiwan terbabit memberi kesan buruk terhadap pertahanan manusia terhadap serangan jangkitan bakteria. Penggunaan antibiotik tanpa kawalan akan menjejaskan fungsi antibiotik selain memberikan ruang kepada bakteria untuk bertahan daripada antibiotik. Industri makanan menggunakan antibiotik bagi menghasilkan pengeluaran daging dengan lebih cepat selain mengelakkan haiwan terbabit daripada diserang penyakit yang berpunca daripada kaedah penternakan yang tidak teratur akibat kesesakan dan keadaan persekitaran yang tidak bersih.

Rintangan Antibiotik di Malaysia

Di Malaysia, terdapat hampir 61% kes dimana bakteria mempunyai rintangan terhadap antibiotik. Ini bermakna, 61% kemungkinan bagi pesakit yang mendapat rawatan dengan penggunaan antibiotik tidak akan berkesan disebabkan rintangan bakteria terhadap antibiotik. Dr. Suraya Amir Husin, Ketua Unit Kawalan Jangkitan, Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa, kebanyakan bakteria yang mempunyai rintangan tersebut adalah bakteria yang menyebabkan penumonia, jangkitan saluran darah, meningitis dan juga keracunan makanan. Bakteria penyebab penumonia, A. baumannii telah meningkatkan kadar rintangan terhadap antibiotik daripada 49% pada tahun 2008 kepada 61% pada tahun 2016. Peratusan bagi bakteria Salmonella yang menyebabkan keracunan makanan juga telah meningkat daripada 16.6% pada tahun 2009 kepada 25% pada tahun 2016.

Terdapat penyakit yang disebabkan oleh virus yang tidak boleh disembuhkan oleh bakteria memandangkan antibiotik hanya berkesan untuk melawan bakteria. Sakit tekak, batuk dan selsema antara penyakit yang tidak boleh diubati dengan antibiotik, oleh itu penyalahgunaan antibitiok untuk penyakit yang disebabkan oleh virus bukan hanya tidak menyembuhkannya, malah menjejaskan fungsi pertahanan antibiotik terhadap serangan bakteria.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut