backup og meta

Bariatric Surgery: Rawatan Berat Badan Berlebihan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 07/10/2022

    Bariatric Surgery: Rawatan Berat Badan Berlebihan

    Anda mungkin salah seorang daripada mereka yang telah mencuba pelbagai cara untuk menurunkan berat badan. Mengambil pemakan yang sihat sudah. Melakukan senaman dan aktiviti fizikal secara berkala juga sudah. Namun, berat badan anda masih lagi di tahap yang membimbangkan.

    Jika anda mengalami keadaan ini, pembedahan mungkin antara solusi yang ada untuk diri anda. Namun, ia tidak semudah itu kerana terdapat beberapa syarat tertentu sebelum seseorang boleh dikatakan sesuai untuk pembedahan ini.

    Apakah itu bariatric surgery?

    Bariatric surgery adalah istilah yang digunakan untuk semua jenis pembedahan bertujuan menurunkan berat badan. Apa pun jenis pembedahan yang dilakukan, semuanya mengandungi prinsip yang sama iaitu salah satu daripada dua kaedah ini atau kedua-duanya:

    1. Mengurangkan kapasiti perut.
    2. Mengurangkan serapan makanan oleh usus.

    Memandangkan pemakan dan senaman semata-mata tidak mampu menurunkan berat badan, pembedahan ini membantu mencapai tujuan tersebut berasaskan prinsip yang disebutkan di atas. Prosedur boleh dilakukan menggunakan kamera dengan potongan kulit yang minimum atau dengan kaedah membuka bahagian tengah abdomen.

    Antara jenis bariatric surgery adalah:

    • Roux-en-Y.
    • Billiopancreatic diversion with duodenal switch.
    • Laparoscopic adjustable gastric banding (LAGB).
    • Sleeve gastrectomy.

    Siapa yang harus menjalaninya?

    Secara amnya, pembedahan ini mungkin menjadi pilihan bagi mereka yang:

    • Mempunyai indeks jisim badan (BMI) 40 atau lebih.
    • Mempunyai indeks jisim badan (BMI) antara 35 hingga 39.9 bersama risiko kesihatan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur. Kadangkala ia mungkin juga dijalankan bagi BMI 30 jika berisiko tinggi.

    Perlu diingat bahawa pembedahan ini bukan bertujuan kecantikan atau kosmetik seperti pembedahan sedut lemak (liposuction surgery). Ia adalah untuk mengurangkan risiko kesihatan. Ia juga hanya boleh dilakukan selepas usaha melalui perubahan gaya hidup gagal.

    Tidak semua orang yang mempunyai BMI tinggi layak menjalani prosedur ini. Seseorang perlu menjalani ujian saringan untuk memastikan dirinya sesuai bagi pembedahan ini.

    Adakah terdapat risiko?

    Setiap prosedur dan pembedahan mempunyai risiko tertentu, begitu juga bariatric surgery. Namun, risiko yang ada adalah lebih kecil berbanding manfaat yang diperoleh.

    Memandangkan pembedahan ini mengubah struktur asal perut dan usus, antara komplikasi yang mungkin berlaku ialah:

    • Usus tersumbat.
    • Cirit-birit, mual dan muntah (sindrom Dumping).
    • Batu karang hempedu.
    • Angin pasang.
    • Hipoglisemia.
    • Malnutrisi.
    • Ulser.
    • Perut bocor.
    • Maut (sangat jarang).

    Selepas pembedahan, disiplin dan gaya hidup baru harus diamalkan. Ini termasuk cara dan jenis pemakanan serta meninggalkan tabiat kurang sihat seperti merokok dan alkohol. Sila berbincang dengan doktor berkenaan persediaan dan perancangan selepas pembedahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 07/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan