backup og meta

Tuberkulosis: Vaksin BCG Sebagai Langkah Pencegahan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 29/09/2021

    Tuberkulosis: Vaksin BCG Sebagai Langkah Pencegahan

    Vaksin ialah langkah pencegahan terbaik bagi banyak penyakit. Sejak akhir abad ke-18 lagi, manusia sudah mula menemui vaksin. Kemudian, lahir pelbagai jenis vaksin untuk mencegah banyak penyakit. Antara vaksin paling berkesan dalam sejarah adalah vaksin smallpox sehingga ia mampu menghapuskan sepenuhnya penyakit tersebut di seluruh dunia.

    BCG sebagai langkah pencegahan tuberkulosis

    Tuberkulosis atau tibi juga mempunyai vaksinnya tersendiri. Ia dinamakan sebagai BCG atau Bacillus Calmette- Guérin. Nama tersebut diambil daripada nama pengasasnya iaitu dua orang pakar bakteria (bacteriologist) Perancis, Albert Calmette dan Camille Guérin yang menghasilkan vaksin ini pada tahun 1921.

    Vaksin yang mempunyai keberkesanan sehingga 80 peratus ini diberikan secara percuma di Malaysia di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Ia diberikan kepada bayi baru lahir sebanyak satu suntikan di bawah kulit pada lengan.

    Vaksin BCG walau bagaimanapun adalah kurang efektif jika diberikan kepada orang dewasa berbanding bayi dan kanak-kanak.

    Bakteria jenis lain menjadi kandungan BCG

    Kandungan utama vaksin ini ialah bakteria jenis lain daripada keluarga yang sama dengan Mycobacterium tuberculosis iaitu Mycobacterium bovis. Bakteria ini ialah organisme yang bertanggungjawab menyebabkan tibi dalam kalangan lembu. Bakteria tersebut telah dilemahkan agar ia tidak akan menyebabkan penerima vaksin jatuh sakit.

    Selain Mycobacterium bovis, terdapat juga kandungan lain seperti asid sitrik dan garam sodium. Setiap negara atau kawasan mungkin mempunyai kandungan yang sedikit berbeza mengikut polisi negara berkenaan.

    Tindak balas alergi mungkin berlaku

    Seperti mana-mana vaksin, tindak balas alergi ialah antara kesan sampingan yang mungkin berlaku. Ia adalah tindak balas daripada badan terhadap bahan tertentu sehingga berpotensi menyebabkan masalah pernafasan dan peredaran darah.

    Namun, anda tidak perlu bimbang kerana keadaan ini sangat jarang berlaku. Jika ia berlaku, doktor dan staf kesihatan di hospital atau klinik berkenaan akan mengambil langkah segera bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

    Selain itu, kesan sampingan lain yang mungkin berlaku ialah:

    • Kawasan suntikan menjadi keras dan membentuk lepuh.
    • Demam dan sakit kepala.
    • Nod limfa di ketiak membengkak.
    • Ulser atau abses di kawasan suntikan.

    Semua kesan sampingan di atas adalah ringan dan bersifat sementara. Ia tidak seharusnya membuatkan anda risau dan takut. Apa yang lebih penting adalah keselamatan anak anda!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan