Tuberkulosis: Siapakah yang Berisiko?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Semua orang boleh dijangkiti bakteria Mycobacterium tuberculosis dan menghidap penyakit tuberkulosis atau tibi. Namun, terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko jangkitan.

Apakah risiko tersebut? Ikuti artikel ini sehingga akhir.

1. Sistem imun lemah

Tanpa sistem imun yang kuat, tubuh anda tidak akan mampu melawan jangkitan bakteria. Banyak keadaan yang boleh melemahkan sistem imun anda. Sebab utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah HIV atau AIDS.

HIV dan AIDS semakin menular pada hari ini disebabkan oleh faktor seperti perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah, kelemahan kawalan penggunaan jarum dan alatan tajam di hospital, dan amalan seks bebas terutamanya dalam kalangan hubungan sejenis.

Keadaan ini telah menyebabkan bilangan kes tibi meningkat meskipun di negara-negara maju. Pesakit HIV adalah 20 hingga 30 kali ganda lebih berisiko mendapat tibi berbanding orang biasa.

Selain itu, keadaan lain yang boleh membawa kepada sistem imun lemah ialah:

  • Diabetes.
  • Kanser.
  • Rawatan kemoterapi atau steroid.
  • Ubat yang digunakan dalam pemindahan organ.
  • Malnutrisi.

2. Kemiskinan dan penyalahgunaan dadah

Kemiskinan bukan sahaja merupakan masalah ekonomi tetapi juga punca kepada masalah sosial dan kesihatan. Ia membawa kepada kehidupan yang tidak berkualiti. Orang miskin yang hidup di kawasan setinggan dan padat lebih cenderung dijangkiti tibi kerana persekitaran yang kotor. Cecair daripada mulut dan hidung pesakit juga lebih mudah tersebar di kawasan seperti ini.

Kemiskinan turut mengundang kepada masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah yang akan menambah lagi risiko jangkitan tibi. Tambahan pula, akses kepada penjagaan kesihatan yang baik juga adalah rendah dalam kalangan orang miskin.

3. Tempat tinggal atau kerja

Mereka yang tinggal atau bekerja di sesetengah tempat adalah lebih berisiko. Antaranya ialah pekerja kesihatan termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan, atau penyapu sampah di hospital. Ini adalah kerana mereka sangat rapat dengan pesakit. Langkah pencegahan seperti membasuh tangan dan memakai topeng muka boleh mengurangkan risiko.

Selain itu, mereka yang tinggal di kawasan padat seperti kem pelarian juga lebih berisiko disebabkan pemakanan yang kurang sihat dan persekitaran yang kotor.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut