Sakit Jantung Punca Kematian Utama Diabetes

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bercakap tentang diabetes, hal yang paling dirisaukan adalah komplikasinya. Ini adalah kerana itu merupakan perkara yang paling susah dikawal. Pengurusan dan rawatan diabetes adalah bermaksud mengurus dan merawat komplikasinya.

Perbandingan antara diabetes dan komplikasinya

Dalam kalangan semua komplikasi yang ada, penyakit kardiovaskular adalah punca utama kematian pesakit diabetes. Ini termasuk penyakit jantung iskemik dan strok. Bukan sahaja punca utama dalam kalangan pesakit kencing manis, ia juga sebenarnya merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia secara keseluruhan.

Dua pertiga pesakit diabetes jenis 2 mati disebabkan sakit jantung dan vaskular

Melihat kepada bilangan kes yang ada, fokus utama harus diberikan. Pengawalan risiko sakit jantung dan vaskular membantu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit kencing manis.

Jangkaan hayat pesakit juga dapat ditingkatkan. Menurut kajian, jangkaan hayat pesakit diabetes adalah kurang 6 tahun daripada biasa. Jika ditambah dengan sakit jantung, lagi 6 tahun akan berkurang, iaitu sebanyak 12 tahun. Di Malaysia, contohnya, jangkaan hayat adalah 74 tahun. Pesakit yang menghidap diabetes dan sakit jantung dijangka hidup sehingga umur 62 tahun sahaja.

Serangan jantung pertama mungkin disebabkan diabetes bertahun-tahun sebelumnya

Penyakit kencing manis tidak memberikan simptom yang jelas. Ramai yang datang selepas mengalami simptom daripada komplikasi, antaranya adalah serangan jantung. Pada waktu itu, pesakit sebenarnya telah mengalami diabetes selama bertahun-tahun lamanya. Lebih kurang separuh daripada pesakit tidak tahu mereka mengalami diabetes.

Melihat kepada peningkatan kes dalam kalangan orang muda, orang ramai sebaiknya melakukan ujian saringan setiap tahun bermula umur 30 tahun. Bagi mereka yang berisiko, sebaiknya mulakan lebih awal. Antara risiko diabetes ialah:

  • Ibu bapa atau adik-beradik mengalami diabetes.
  • Terlebih berat badan atau obesiti.
  • Kurang aktiviti fizikal.

Di Malaysia, ujian saringan yang tersedia di hospital dan klinik adalah sangat mudah dijalani. Anda tidak perlu berpuasa atau meminum air gula. Sebaliknya, cukup dengan hanya mengambil darah. Berbeza dengan ujian biasa, ujian ini mengukur kandungan HbA1C yang memberikan gambaran terhadap keadaan gula di dalam darah anda dalam tempoh 3 bulan yang lalu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut