backup og meta

Polio: Penyakit Bersejarah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    Polio: Penyakit Bersejarah

    Polio adalah sejenis jangkitan virus. Di Malaysia, tiada lagi penyakit ini dilaporkan sejak Oktober tahun 2000. Terima kasih kepada vaksin yang telah membantu mengurangkan serta menghapuskan kes ini di hampir seluruh dunia. Hanya di beberapa negara sahaja kes masih dilaporkan termasuk Afghanistan, Nigeria dan Pakistan.

    Bagaimana ia merebak?

    Penyakit ini disebabkan oleh poliovirus. Ia sangat mudah berjangkit. Virus tersebut hidup di dalam tekak dan usus orang dijangkiti. Ia masuk melalui mulut, dan tersebar melalui sentuhan dengan najis atau kadangkala melalui air liur.

    Jangkitan berlaku apabila memegang najis orang yang dijangkiti atau barang-barang yang dicemari oleh najis tersebut, kemudian menyentuh mulut.

    Apa yang berlaku pada pesakit?

    Majoriti daripada jangkitan tidak menunjukkan apa-apa simptom, tetapi virus masih boleh tersebar meskipun tiada sebarang tanda atau simptom.

    Sekitar 1 daripada 4 yang dijangkiti mengalami simptom seperti selesema selama 2 hingga 5 hari:

    • Sakit tekak.
    • Demam.
    • Penat.
    • Mual.
    • Sakit kepala.
    • Sakit perut.

    Sebahagian kecil daripada jangkitan menyebabkan simptom lebih serius yang menjejaskan otak dan urat saraf tunjang:

  • Paraesthesia (rasa seperti dicucuk jarum pada kaki).
  • Meningitis (radang selaput otak).
  • Lumpuh atau lemah pada kaki, tangan atau kedua-duanya.
  • Perkara yang paling bahaya adalah lumpuh kerana ia boleh menyebabkan ketidakupayaan kekal. Jika otot pernafasan terjejas, pesakit mungkin terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan seumur hidup. Kes seperti ini juga disebut sebagai poliomyelitis.

    Kanak-kanak yang pernah menghidap polio mungkin mengalami sakit, lumpuh atau lemah otot selepas 15 hingga 40 tahun. Ini disebut sebagai sindrom pasca polio (post-polio syndrome).

    Kesimpulannya, ada 3 jenis jangkitan polio: bukan lumpuh (nonparalytic), lumpuh (paralytic/poliomyelitis) dan sindrom pasca polio (post-polio syndrome).

    Vaksin mengubah segala-galanya

    Sebelum kewujudan vaksin, pesakit polio hanya diberikan rawatan sokongan. Bagi yang mengalami lumpuh, kecacatan tersebut terpaksa dihadapinya seumur hidup.

    Jonas Salk telah mencipta vaksin pertama bagi penyakit ini pada tahun 1955. Dalam 5 tahun selepas itu pada 1960, Albert Sabin pula memperkenalkan vaksin yang diambil melalui mulut bagi menggantikan yang lama.

    Pada tahun 1988, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memulakan usaha menghapuskan polio dengan memastikan semua kanak-kanak menerima vaksin. Hasilnya, hampir 100% kes berjaya dikurangkan dalam tempoh tidak sampai setengah abad, iaitu daripada 350,000 (1988) kepada 22 kes (2017).

    Tidak mustahil juga penyakit seperti campak, beguk, tuberkulosis dan hepatitis dapat dihapuskan melalui vaksin. Syaratnya, anda perlu berikan anak anda vaksin!

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan