backup og meta

Ambil Tahu Jenis Kanser Yang Selalu Terjadi Dan Cara Diagnosis Yang Sesuai

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    Ambil Tahu Jenis Kanser Yang Selalu Terjadi Dan Cara Diagnosis Yang Sesuai

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Ada pelbagai jenis kanser dan setiap satunya mempunyai cara pembahagian yang tersendiri. Selain itu, kanser juga mempunyai cara diagnosis yang berbeza mengikut jenis kanser yang dideritai oleh pesakit.

    Jenis kanser 

    Jenis kanser: Kanser primer dan kanser sekunder

    Kanser merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan sel dalam badan mula membahagi pada kadar yang abnormal. Sel ini kemudiannya akan berkumpul dan membentuk tumor. Tumor ini boleh bersifat benign (bukan kanser) dan malignan (kanser). 

    Kanser merupakan sejenis penyakit yang serius dan boleh menyebabkan ramai penghidapnya mengalami tekanan untuk meneruskan kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, menghidap kanser bukanlah satu pengakhiran. 

    Kanser boleh dicegah dan boleh diubati. Jika anda menghidap kanser, pengetahuan mengenai penyakit yang dialami boleh bantu anda dalam perjalanan untuk melawan kanser. 

    Kanser jenis primer (primary cancer)?

    Kanser primer merupakan tempat asal atau tempat pertama kanser mula merebak. Sebagai contoh, jika pesakit menghidap kanser paru-paru dan tidak pernah menghidap kanser lain, kanser paru-paru tersebut dikenali sebagai kanser paru-paru primer.

    Kanser jenis sekunder (secondary cancer)?

    Kanser sekunder pula berlaku setelah kanser primer merebak ke bahagian badan yang lain. Keadaan ini turut dikenali sebagai metastasis.

    Sebagai contoh, kanser paru-paru primer boleh mengalami metastasis dan menyebabkan pesakit mengalami kanser sekunder pada bahagian badan yang lain. Pesakit boleh menghidap kanser lain seperti kanser payudara atau kanser tulang sebagai kesan daripada metastasis.

    Kanser sekunder terdiri daripada sel yang sama seperti sel kanser primer. Oleh itu, walaupun pesakit mempunyai kanser di bahagian yang berbeza, sel yang membentuk tumor tersebut terdiri daripada sel yang sama.

    Walau bagaimanapun, jangan terkeliru antara kanser sekunder dengan kanser kedua (second cancer). Kanser kedua merujuk kepada kanser yang terbentuk dengan sendirinya dan tidak mempunyai apa-apa kaitan pun dengan kanser yang pernah pesakit alami sebelum ini.

    Sebagai contoh, pesakit kanser payudara yang mengalami terapi radiasi berisiko untuk menghidap kanser kedua seperti kanser paru-paru

    Kanser paru-paru yang terbentuk ini merupakan kanser baharu yang tidak ada kaitannya dengan kanser yang pernah pesakit hidap sebelum ini.

    Jenis kanser mengikut jenis sel dan tisu  

    Salah satu cara untuk pakar membahagikan jenis kanser adalah mengikut jenis sel dan tisu asal kanser tersebut. Berikut merupakan enam jenis kanser berdasarkan jenis sel dan tisu.

    1. Carcinoma bermula pada bahagian tisu yang melapisi permukaan organ dalaman manusia. Selalunya, carcinoma akan membentuk tumor.
    2. Sarcoma bermula daripada jenis tisu yang memegang dan menghubungkan tubuh badan manusia. Sebagai contoh, sarcoma boleh bermula daripada tisu lemak, otot, saraf, tendon, sendi, salur darah, salur limfa, tulang rawan dan tulang.
    3. Myeloma yang turut dikenali sebagai penyakit Kahler’s (Kahler’s disease) merupakan sejenis kanser darah yang menyerang sistem imun manusia.
    4. Leukemia merupakan sejenis kanser darah yang bermula apabila sel darah merah bermutasi dan membesar secara tidak terkawal. Kanser ini bermula pada bahagian tisu yang membuat sel darah merah seperti di bahagian sum sum tulang.
    5. Limfoma pula ialah sejenis kanser yang bermula pada sistem limfa manusia. Ada dua jenis kanser limfoma iaitu limfoma Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin.

    Jenis kanser mengikut bahagian badan/sistem

    Kanser juga boleh dibahagikan mengikut organ ataupun sistem tempat jangkitan bermula:

    1. Kanser sistem saraf pusat

    Kanser sistem saraf pusat ataupun central nervous system (CNS) cancer bermula pada bahagian otak ataupun saraf tunjang. 

    Kanser yang bermula pada kawasan sistem saraf pusat merupakan sejenis kanser yang berbahaya. Kanser jenis ini boleh membuatkan penghidapnya hilang kemampuan untuk bergerak dan berfikir dengan waras.

    2. Kanser kepala dan leher

    Kanser kepala dan leher selalunya bermula pada sel skuamous yang melapisi bahagian dalam kepala dan juga leher. Kanser ini merangkumi kanser pada bahagian larynx, tekak, bibir, hidung, dan kelenjar air liur.

    3. Kanser payudara

    Kanser payudara merupakan kanser yang bermula pada bahagian payudara. Kanser ini selalunya berlaku di kalangan wanita. 

    Walaupun lelaki dianggap tidak berisiko, namun kanser payudara boleh menyerang kaum lelaki. 1 daripada 100 lelaki berisiko untuk menghidap kanser payudara.

    4. Kanser sistem pernafasan

    Kanser paru-paru merupakan sejenis kanser pernafasan yang bermula pada bahagian paru-paru. Kanser ini kerap berlaku di kalangan individu yang mengamalkan tabiat merokok.

    5. Kanser sistem pencernaan

    Kanser sistem pencernaan bermula dari bahagian mulut ke bahagian anus. Kanser sistem pencernaan termasuklah kanser esofagus, kanser pankreas, kanser hati, dan kanser kolon.

    6. Kanser sistem urinari

    Kanser sistem urinari terdiri daripada kanser pada bahagian buah pinggang, pundi kencing dan semua saluran yang menghubungkan antara buah pinggang dan juga pundi kencing. Selain itu, organ lain seperti prostat juga turut tergolong dalam kategori yang sama.

    7. Kanser sistem reproduktif

    Kanser ovari dan kanser testis merupakan antara contoh kanser sistem reproduktif. Kanser ovari selalunya sukar untuk dikesan melainkan ia sudahpun mencapai tahap yang teruk. 

    Kanser testis pula merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku. Namun, kanser jenis ini banyak berlaku di kalangan lelaki berumur 15 hingga 35 tahun.

    8. Kanser endokrin

    Kanser tiroid merupakan sejenis kanser endokrin yang kerap berlaku dalam kalangan individu yang berusia 30 tahun dan yang sudah melebihi umur 60 tahun. Kanser jenis ini mempengaruhi bahagian kelenjar tirod yang terletak di bahagian belakang leher.

    9. Kanser tulang dan tisu lembut

    Selalunya, kanser tulang merupakan kanser sekunder yang terjadi akibat jangkitan dari kanser lain. Kanser tulang boleh bermula pada mana-mana bahagian tulang di tubuh badan manusia. Namun, kanser jenis ini amat jarang berlaku dan hanya berlaku sebanyak 1% daripada jumlah keseluruhan kanser.

    10. Kanser berkaitan dengan darah

    Kanser jenis ini selalunya akan menyerang sel darah merah dan juga nodus limfa pesakit. Antara contoh kanser yang berkaitan dengan darah ialah limfoma Hodgkin, limfoma bukan Hodgkin, leukemia dan myeloma.

    11. Kanser kulit

    Kanser kulit selalunya terbahagi kepada dua bahagian iaitu melanoma dan bukan melanoma. Kanser bukan melanoma merupakan jenis kanser yang lebih kerap berlaku. Namun, kanser melanoma lebih bahaya dan boleh membawa maut.

    Baca juga:

    Cara klasifikasi lain untuk jenis kanser

    Jenis kanser mengikut gred/tahap

    Gred ataupun tahap kanser selalunya digunakan untuk menentukan saiz tumor ataupun tahap serius sesuatu kanser.

    Pakar dapat menentukan gred kanser dengan cara memeriksa sel tersebut di bawah mikroskop. Ged yang lazim digunakan adalah seperti berikut:

    • Gred 1 – kanser masih lagi kelihatan seperti sel yang normal dah tidak membahagi secara agresif.
    • Gred 2 – Sel kanser tidak kelihatan normal dan membesar lebih pantas daripada biasa.
    • Gred 3 – Sel kanser yang abnormal serta membesar dan membahagi secara agresif.

    Tahap kanser yang selalu digunakan pula adalah seperti berikut:

    • Tahap 0 – Kanser masih lagi berada di tempat asalnya dan belum merebak
    • Tahap 1 – Kanser bersaiz kecil dan belum merebak.
    • Tahap 2 – Kanser telah membesar tapi belum merebak
    • Tahap 3 – Kanser telah membesar dan telah merebak ke bahagian tisu atau nodus limfa berdekatan.
    • Tahap 4 – Kanser telah merebak sekurang-kurangnya ke satu organ lain.

    Jenis kanser keturunan dan bukan keturunan

    Kanser merupakan sejenis penyakit yang lazim berlaku dan boleh menimpa sesiapa sahaja. Disebabkan kanser merupakan penyakit yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, tidak pelik jika setiap individu mungkin mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang menghidap kanser.

    Kanser yang bukan berasal daripada asal usul genetik dikenali sebagai kanser sporadik (sporadic cancer). Hampir 80% daripada semua kanser berlaku bukan disebabkan oleh genetik.

    Kanser yang diwarisi secara turun temurun selalunya disebabkan oleh mutasi genetik. Oleh sebab itu, kadang kala kanser yang diturunkan secara genetik ini akan menunjukkan simptom lebih awal daripada biasa. Individu yang mempunyai mutasi genetik juga berisiko untuk menghidap lebih daripada 1 jenis kanser sepanjang hayat.

    Jenis kanser mengikut profil DNA/molekul

    Teknologi pada masa kini membolehkan pakar untuk mengklasifikasikan tumor mengikut profil DNA. Sebagai contoh, kanser mungkin mempunyai mutasi yang berbeza dari segi DNA walaupun terdiri daripada kanser yang sama. Kanser paru-paru misalnya, mungkin terdiri daripada mutasi jenis EGFR ataupun ALK.

    Diagnosis kanser

    Kanser boleh didiagnos dengan pelbagai cara. Kaedah di bawah merupakan antara cara yang lazim digunakan oleh doktor:

    Pemeriksaan kendiri

    Doktor akan memeriksa bahagian badan pesakit untuk mengesan sebarang ketulan yang mungkin menandakan kehadiran tumor. Selain itu, doktor juga akan memeriksa bahagian kulit untuk mengesan sebarang abnormaliti.

    Walau bagaimanapun, tidak ada sesiapa yang lebih mengenali tubuh badan kita melainkan diri sendiri. Oleh itu, anda amat digalakkan untuk melakukan ujian kendiri secara berkala.

    Ujian makmal

    Ujian makmal seperti ujian air kencing dan ujian darah amat membantu doktor untuk mengenal pasti kehadiran kanser.

    Ujian pengimejan

    Selalunya, ujian ini dilakukan menggunakan kaedah pengimejan seperti MRI, X-ray, ultrasound, positron emission tomography (PET) scan dan lain-lain. Kaedah pengimejan membolehkan doktor untuk melakukan ujian dengan cara yang tidak memudaratkan pesakit.

    Ujian saringan

    Ujian saringan selalunya dilakukan sebagai salah satu langkah pencegahan yang membolehkan individu untuk mengesan penyakit walaupun ketika mereka masih belum mengalami apa-apa simptom.

    Individu yang mempunyai faktor risiko yang tinggi amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan. Tambah lagi, kanser juga mempunyai peratusan yang tinggi untuk sembuh jika dikesan awal. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan