backup og meta

MERS-CoV: Pencegahan dan Rawatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    MERS-CoV: Pencegahan dan Rawatan

    MERS atau Sindrom Pernafasan Timur Tengah boleh menyebabkan simptom yang serius sehingga membawa maut. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian daripada penyakit ini ialah sebanyak 35 peratus. Tanpa pengurusan dan langkah yang efektif, ia boleh meragut banyak nyawa.

    Vaksin MERS?

    Sehingga kini, masih tiada vaksin untuk mencegah penyakit jangkitan MERS-CoV ini walaupun kajian dan usaha ke arah itu sedang berjalan. Langkah pencegahan yang dinasihatkan lebih kepada berbentuk asas penjagaan diri. Ini termasuk:

  • Kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan air selama 20 saat. Bantu anak anda untuk melakukan perkara yang sama. Jika tiada sabun dan air, gunakan pembersih tangan (sanitizer) alkohol.
  • Tutup mulut dengan tisu semasa batuk dan bersih. Kemudian, buang tisu tersebut ke dalam tong sampah.
  • Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut menggunakan tangan yang tidak dibasuh.
  • Elakkan sentuhan peribadi seperti cium atau berkongsi cawan dengan mereka yang sedang sakit.
  • Basuh dan bersihkan permukaan dan objek yang selalu disentuh seperti tombol pintu, meja makan, dan pemegang tangga.
  • Seperti yang dimaklumi, virus ini terdapat di kawasan Timur Tengah seperti negara Arab Saudi (kes paling tinggi), Mesir, Jordan, Oman, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu. Sekiranya anda ingin melawat kawasan ini, terutamanya bagi mereka yang mengerjakan umrah atau haji, pastikan langkah-langkah di atas diamalkan.

    Meskipun virus MERS-CoV tidak terdapat di Malaysia, jangkitan dalam kalangan orang Malaysia pernah berlaku. Wabak penyakit ini juga pernah berlaku di luar kawasan Timur Tengah iaitu di Korea Selatan. Jika berlaku simptom melibatkan saluran pernafasan (demam, batuk, dan susah bernafas) semasa atau selepas melawat negara Timur Tengah, sila dapatkan bantuan perubatan dan maklumkan tentang lawatan anda itu kepada doktor yang bertugas.

    Tiada rawatan khusus bagi MERS

    Rawatan berbentuk sokongan ialah prosedur standard bagi penyakit ini. Tiada ubat antiviral khusus sehingga kini. Rawatan yang ada memberi fokus terhadap mengurangkan simptom yang dialami oleh pesakit. Ini termasuk ubat demam, batuk, tahan sakit, oksigen, dan penjagaan air serta nutrisi.

    Jangan jadikan penyakit ini sebagai ancaman atau halangan untuk anda mengelakkan diri daripada melawat negara di Timur Tengah, terutamanya dalam mengerjakan umrah dan haji. Selagi mana anda menjaga diri dengan mengambil langkah pencegahan yang disebutkan di atas, jangkitan boleh dielakkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan