Influenza adalah sejenis jangkitan saluran pernafasan. Juga dikenali sebagai flu, ia disebabkan oleh virus, yang dinamakan virus influenza. Di negara bermusim, penyakit ini biasanya berlaku pada musim sejuk iaitu antara November hingga Mac di Hemisfera Utara, dan antara April hingga September di Hemisfera Selatan.

Namun, di negara tropikal seperti Malaysia, ia boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun. Pernah dengar selesema burung? Itu juga adalah sejenis influenza.

Apakah tanda dan simptom flu?

Biasanya simptom flu berlaku secara tiba-tiba. Pesakit akan mengalami:

  • Demam tinggi (37.8°C-40°C).
  • Seram sejuk dan menggigil.
  • Sakit kepala.
  • Hidung berair dan batuk.
  • Sakit badan dan sendi.
  • Penat dan tidak bermaya.

Kebiasaannya, simptom akan berlaku selama seminggu. Namun, kadangkala rasa letih dan tidak bermaya boleh kekal lebih lama. Warga emas dan kanak-kanak mungkin mengalami simptom yang lebih teruk.

Influenza disebabkan oleh virus, bukan bakteria

Perkara yang penting masyarakat perlu tahu adalah penyakit ini bukan disebabkan oleh bakteria, tetapi virus. Ini adalah penting kerana penyakit yang disebabkan oleh virus tidak boleh dirawat dengan antibiotik. Jangan tertukar dengan haemophilus influenzae B (Hib) yang merupakan sejenis bakteria.

Virus influenza terdiri daripada beberapa jenis; A, B, C dan D. Virus A mempunyai beberapa subjenis bergantung kepada 2 jenis protein yang terdapat di permukaannya. Protein tersebut adalah haemagluttinin (HA) dan neuraminidase (NA). Daripada 2 protein ini, nama subjenis virus berbeza diambil.

Contohnya, H1N1 dan H3N1 (dua jenis yang paling kerap menjangkiti manusia). Terdapat sehingga H18 dan N11.

Apakah rawatan yang ada?

Biasanya, rawatan sokongan untuk mengurangkan simptom sudah memadai kerana kebanyakan jangkitan tidak menyebabkan kesan yang serius, meskipun berpotensi menyebabkan komplikasi seperti pneumonia dan maut.

Apa yang boleh dilakukan adalah:

  • Rehat di rumah dan elakkan bersentuh dengan orang lain agar jangkitan tidak tersebar. Sentiasa basuh tangan dengan sabun.
  • Gunakan selimut untuk mengelakkan badan kehilangan haba.
  • Makan makanan yang sihat dan banyakkan minum air.
  • Jangan merokok dan mengambil minuman beralkohol.
  • Ubat demam dan tahan sakit seperti panadol, aspirin dan ibuprofen boleh membantu. Elakkan aspirin bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun kerana risiko komplikasi sindrom Reye.
  • Kadangkala, ubat anti-virus atas preskripsi doktor membantu mempercepat proses pemulihan.

Bagi yang tinggal berseorangan, sebaiknya dapatkan ahli keluarga atau kenalan untuk melihat keadaan anda. Jika demam dan simptom lebih 3 hari, sila berjumpa doktor dengan segera kerana ada risiko mengalami demam denggi.

Sebagai langkah pencegahan, anda boleh dapatkan vaksin influenza di klinik atau hospital. Vaksin ini perlu diambil setiap tahun untuk mendapatkan perlindungan yang lebih berkesan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda