backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Pernah Alami Haid Terlalu Lama Atau Sebarang Gangguan Haid Lain? Ini Semua Yang Anda Kena Tahu Mengenai Gangguan Haid

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/02/2023

Pernah Alami Haid Terlalu Lama Atau Sebarang Gangguan Haid Lain? Ini Semua Yang Anda Kena Tahu Mengenai Gangguan Haid

Datang haid merupakan sesuatu yang normal bagi wanita. Ketika haid, lapisan uterus wanita akan tertanggal dan keluar daripada badan melalui serviks dan kemudiannya vagina. Wanita dikatakan mengalami gangguan haid jika mereka mengalami masalah ketika datang bulan seperti rasa sakit, haid yang tidak teratur atau pendarahan yang berlebihan.

Sebarang gangguan haid tidak teratur boleh menyebabkan wanita sukar untuk mengandung. Oleh sebab itu, masalah haid bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh oleh kaum Hawa.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Definisi

Apakah yang dimaksudkan dengan gangguan haid?

Kitaran haid selalu diiringi dengan pelbagai simptom yang tidak menyenangkan sebelum keluarnya darah haid.

Sindrom prahaid (PMS)  melibatkan masalah-masalah yang biasa seperi kekejangan yang sederhana dan keletihan, tetapi selalunya simptom akan hilang apabila haid bermula. Masalah menstruasi yang lagi serius mungkin boleh berlaku.

Haid yang berlebihan atau terlalu sedikit, ataupun langsung tiada haid memberi kemungkinan bahawa ada masalah-masalah lain yang berlaku disebalik kitaran haid yang tidak normal itu.

Anda mesti tahu, bahawa kitaran haid yang ‘normal’ itu berbeza-beza bagi setiap wanita. Kitaran yang normal bagi anda mungkin tidak bagi wanita lain.

Penting bagi anda untuk memberi perhatian kepada tubuh badan anda dan berunding dengan doktor sekiranya anda menyedari sebarang perubahan besar yang berlaku pada kitaran haid anda.

Berapa kerapkah ia berlaku?

Masalah haid sangatlah biasa berlaku. Ia boleh menjejaskan wanita pada mana-mana peringkat umur. Ia boleh dikawal dengan mengurangkan faktor risiko. Silalah berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptomnya?

Gangguan haid

Simptom-simptom gangguan haid yang biasa ialah:

Sindrom prahaid (PMS)

Sindrom prahaid berlaku satu ke dua minggu sebelum haid bermula. Sebahagian wanita mengalami simptom-simptom fizikal atau emosi. Sebahagian yang lain pula, mengalami simptom yang sedikit atau tiada langsung.

  • Kembung perut
  • Iritabiliti/cepat naik angin
  • Sakit belakang
  • Sakit kepala
  • Nyeri buah dada/sakit buah dada
  • Jerawat
  • Mengidam makanan
  • Terlalu penat
  • Kemurungan
  • Keresahan
  • Tekanan perasaan
  • Insomnia/susah untuk tidur
  • Sembelit
  • Cirit birit
  • Kejang perut/sakit perut

Haid yang berlebihan

Masalah haid lain yang biasa juga ialah haid yang berlebihan, juga dipanggil menoragia. Ia menyebabkan pendarahan yang berlebihan daripada kebiasaan. Tempoh haid anda juga mungkin menjadi lebih lama daripada purata 5 ke 7 hari.

Ketiadaan haid

Dalam sesetengah kes, wanita mungkin tidak didatangi haid. Ia dipanggil amenorea. Amenorea primer ialah apabila anda masih tidak didatangi haid langsung setelah mencecah umur 16 tahun.

Ia boleh berpunca daripada masalah pada kelenjar pituitari, kecacatan kongenital pada sistem reproduktif wanita, ataupun lambat akil baligh. Amenorea sekunder pula berlaku apabila kitaran normal haid anda terhenti selama 6 bulan atau lebih.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Sekiranya anda mempunyai kebimbangan tentang mana-mana simptom, silalah berunding dengan doktor.

Bila saya harus bertemu dengan doktor?

Sekiranya anda mempunyai mana-mana tanda atau simptom ataupun sebarang persoalan, silalah berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh badan kita berbeza, sebaiknya berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan solusi yang terbaik bagi diri anda.

Punca

Apakah yang mengakibatkan gangguan haid?

Gangguan haid

Masalah haid mungkin disebabkan daripada punca yang berlainan, termasuklah;

  • Kehamilan atau menyusu badan. Terlepas haid boleh menjadi tanda awal kehamilan. Menyusu badan pula biasanya melambatkan haid kembali selepas bersalin.
  • Masalah permakanan/kecelaruan pemakanan, kehilangan berat badan yang berlebihan atau senaman yang berlebihan. Masalah pemakanan – seperti anoreksia nervosa –, kehilangan berat badan dan aktiviti fizikal yang terlampau kerap boleh mengganggu haid.
  • Sindrom ovari polisistik (PCOS). Wanita yang ada masalah sistem endokrin yang biasa ini mungkin mengalami haid yang tidak tetap dan juga ovari yang membesar yang mengandungi cecair terkumpul – (dipanggil folikel)  – terletak pada kedua-dua belah ovari sebagaimana yang dilihat menggunakan ultrabunyi.
  • Kegagalan ovari pramatang merujuk kepada kehilangan fungsi normal ovari sebelum sampai umur 40 tahun. Wania yang mempunyai masalah ini berkemungkinan mengalami haid yang tidak tetap dan jarang-jarang bertahun-tahun lamanya.
  • Penyakit keradangan/inflamasi pelvis. Jangkitan pada organ reproduktif boleh menyebabkan pendarahan haid yang tidak tetap.
  • Fibroid uterus ialah  ketumbuhan bukan kanser pada rahim. Ia boleh menyebabkan pendarahan haid yang berlebihan dan berpanjangan.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko gangguan haid?

Terdapat banyak faktor risiko bagi masalah gangguan haid, seperti:

  • Umur merupakan faktor yang penting dalam mengakibatkan masalah haid. Budak perempuan yang mula didatangi haid pada umur 11 tahun atau kurang mempunyai risiko lebih tinggi untuk merasa sakit yang teruk, tempoh haid yang lama dan kitaran yang lebih panjang. Remaja pula boleh mengalami amenorea sebelum kitaran ovulasi menjadi normal dan tetap. Wanita yang menghampiri menopaus (perimenopaus) juga boleh terlepas haid. Kadangkala, wanita yang menghampiri menopaus juga boleh mengalami episod pendarahan yang berlebihan.
  • Berat badan yang berlebihan atau terlalu berkurangan pula boleh meningkatkan risiko untuk dismenorea dan amenorea
  • Kitaran haid dan alirannya. Kitaran yang panjang dan pendarahan yang banyak akan menyebabkan kekejangan yang menyakitkan.
  • Sejarah kehamilan. Wanita yang mempunyai sejarah kehamilan yang banyak lebih berisiko untuk mengalami menoragia. Wanita yang tidak pernah melahirkan anak pula lebih berisiko untukmengalami dismenorea manakala wanita yang melahirkan anak pertama pada usia muda mempunyai risiko yang lebih rendah.
  • Merokok boleh meningkatkan risiko untuk pendarahan haid yang banyak.
  • Tekanan fizikal dan emosi boleh menghalang rembesan hormon peluteinan (LH), menyebabkan amenorea sementara.

Baca juga:

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana kondisi ini didiagnosis?

Doktor akan menanyakan soalan untuk mengetahui tentang simptom-simptom anda dan sudah berapa lama anda mengalaminya. Sekiranya anda mempunyai catatan berkaitan kitaran haid anda (bagaimana ketetapannya, simptom-simptom yang anda alami), ia sangat membantu untuk doktor mengenal pasti masalah anda.

Tambahan kepada pemeriksaan fizikal, doktor akan melakukan pemeriksaan pelvis. Pemeriksaan pelvis akan membenarkan doktor untuk memeriksa  organ reproduktif dan mengenalpasti samada faraj dan serviks mengalami keradangan atau tidak.

Ujian Pap smear akan dilakukan untuk menyaring keluar kebarangkalian kanser atau punca-punca yang lain.

Ujian darah juga boleh membantu untuk mengenal pasti ketidakseimbangan hormon yang mengakibatkan gangguan haid. Sekiranya anda mengesyaki diri anda hamil, doktor atau jururawat akan menjalankan ujian kehamilan (menggunakan darah atau air kencing) sewaktu lawatan anda ke klinik.

Ujian-ujian lain yang boleh membantu doktor untuk mencari punca kepada masalah haid anda termasuklah:

  • Biopsi endometrium (menggunakan sampel yang diambil daripada dinding rahim untuk dianalisis)
  • Histeroskopi(kamera kecil dimasukkan ke dalam rahim untuk membantu doktor mencari sebarang keluarbiasaan)
  • Ultrabunyi (untuk menghasilkan imej rahim anda)

Bagaimana gangguan haid dirawat?

Rawatan yang akan diberi bergantung kepada punca sebenar masalah anda. Pil perancang kehamilan boleh membantu untuk melegakan simptom-simptom sindrom prahaid, dan mengawal aliran darah yang banyak.

Sekiranya pendarahan haid terlalu banyak atau sedikit berpunca dari masalah tiroid atau kecelaruan hormon yang lain, anda akan merasa lebih baik setelah mengambil terapi penggantian hormon.

Dismenorea juga boleh terkait dengan hormon, tetapi anda memerlukan rawatan perubatan yang lebih untuk mengatasi masalah ini. Sebagai contoh, antibiotik digunakan untuk merawat penyakit keradangan/inflamasi pelvis.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas gangguan haid?

Gangguan haid

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut boleh membantu anda untuk menghadapi gangguan haid

  • Faktor diet: membuat pengubahsuaian pada diet kira-kira 14 hari sebelum didatangi haid boleh membantu sesetengah wanita yang mengalami gangguan haid sederhana ,seperti kekejangan. Garis panduan umum untuk diet yang sihat boleh digunakan untuk semua orang; termasuklah mengambil makanan yang kaya dengan bijian, buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Elakkan pengambilan lemak tepu dan makanan ringan. Mengehadkan pengambilan kafein, gula dan alkohol juga boleh membantu.
  • Mengelakkan dan merawat anemia
  • Bersenam dapat membantu mengurangkan kesakitan sewaktu haid
  • Aktiviti seksual. Ada laporan mengatakan orgasma membantu mengurangkan sakit kekejangan haid.
  • Meletakkan pad panas pada bahagian abdomen atau berendam dalam mandian air panas boleh membantu mengurangkan sakit kekejangan haid.
  • Penjagaan  kebersihan sewaktu haid. Tukar tampon setiap 4-6 jam. Elakkan memakai pad dan tampon bersama pewangi kerana boleh mengganggu kulit di kawasan genital. Sembur cuci faraj tidak digalakkan kerana ia boleh memusnahkan kuman natural yang ada pada faraj. Membersihkan diri dengan selalu mandi sudah mencukupi.

Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan, silalah berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian yang terbaik buat diri anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/02/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan