Diabetes dan Buah Pinggang

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah buah pinggang dan diabetes tidak dapat dipisahkan. Hampir 1 daripada 3 pesakit diabetes mengalami masalah buah pinggang. Ia juga disebut sebagai nefropati diabetes atau diabetic nephropathy.

Apakah kaitan antara diabetes dan buah pinggang?

Gula yang tinggi di dalam darah menjejaskan salur darah di dalam badan, termasuk yang melibatkan buah pinggang. Salur darah yang semakin sempit mengganggu fungsi normal buah pinggang terbabit.

Tambahan pula, keadaan lain seperti tekanan darah tinggi kerap dialami oleh pesakit sehingga menambah lagi risiko mendapat penyakit buah pinggang.

Selalunya, masa yang lama sehingga berpuluh-puluh tahun diperlukan sebelum kerosakan yang signifikan berlaku. Namun, di saat diabetes jenis 2 didiagnosis, kebiasaannya diabetes telah bermula lama sebelum itu dan buah pinggang juga telah mula rosak.

Risiko mengalami masalah ini lebih tinggi jika:

  • Gula di dalam darah tidak dikawal dengan baik.
  • Tekanan darah tinggi.
  • Merokok.
  • Tidak melakukan aktiviti fizikal.
  • Diet tinggi garam.
  • Mempunyai penyakit jantung.
  • Sejarah kegagalan buah pinggang di dalam keluarga.

Apa yang akan berlaku?

Fungsi organ ini adalah untuk menapis bahan-bahan toksik yang dibuang di dalam air kencing. Ia juga mengawal kandungan cecair di dalam badan. Sebab itu, air kencing akan berkurang jika cuaca panas untuk mengekalkan lebih banyak cecair yang telah hilang melalui peluh. Sebaliknya, badan lebih kerap buang air semasa musim sejuk.

Kegagalan menjalankan fungsi ini menyebabkan cecair terkumpul di dalam badan sehingga menaikkan tekanan darah. Cecair berlebihan tersebut juga boleh terkumpul di kaki (menyebabkan bengkak) dan mungkin beberapa kawasan lain seperti abdomen serta paru-paru.

Di samping itu, bahan-bahan toksik seperti urea yang gagal dibuang akan terkumpul menyebabkan fungsi badan terganggu.

Simptom-simptom yang mungkin berlaku ialah:

  • Bengkak pada kaki, tangan dan muka.
  • Susah tidur atau memberikan fokus.
  • Hilang selera makan.
  • Gatal-gatal dan kulit kering.
  • Selalu letih dan mengantuk.
  • Degupan jantung tidak sekata.

Bagaimana ingin mengelakkan ia daripada berlaku?

Keadaan ini boleh dielakkan atau dilewatkan dengan menjalani pemeriksaan berkala. Jangan tunggu ada simptom baru ingin ke hospital kerana ia sudah terlalu lewat.

Ujian biasa yang dilakukan adalah ujian air kencing untuk memeriksa kehadiran sejenis protein (albumin) yang menjadi petanda kepada kerosakan buah pinggang. Selain pemeriksaan, asasnya adalah sama iaitu mengawal kadar gula di dalam darah serta faktor-faktor risiko lain seperti tekanan darah, berat badan serta pemakanan dan aktiviti fizikal.

Jika keadaan tidak dapat dikawal sehingga berlaku kegagalan buah pinggang, hemodialisis atau pemindahan organ mungkin diperlukan. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi seperti itu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut