backup og meta

COPD: Penyakit Perokok

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    COPD: Penyakit Perokok

    Hampir separuh daripada lelaki di Malaysia adalah perokok, menurut Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015. Semua orang tahu akan bahaya amalan ini terhadap kesihatan bukan sahaja perokok tetapi juga orang sekeliling. Antara penyakit utama disebabkan oleh merokok adalah COPD.

    Apa itu COPD?

    Ia adalah singkatan daripada Chronic Obstructive Pulmonary Disease atau Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik. COPD merupakan istilah luas melibatkan beberapa penyakit termasuk emfisema dan bronkitis kronik.

    Emfisema melibatkan kantung udara yang mengembang sehingga mengganggu proses udara masuk dan keluar. Bronkitis kronik pula adalah radang kronik yang berlaku pada saluran udara bronkus menyebabkan bakteria serta kotoran gagal dikeluarkan daripada saluran udara sehingga boleh tersumbat.

    Apakah simptom COPD?

    Antara simptom yang mungkin dialami adalah:

    • Nafas menjadi pendek.
    • Kerap batuk-batuk (dengan atau tanpa kahak).
    • Sesak nafas.
    • Nafas berbunyi (wheezing).
    • Dada terasa sempit.
    • Kerap mendapat jangkitan paru-paru.
    • Cepat letih.
    • Berat badan turun.
    • Bibir dan kuku menjadi biru.

    Simptom-simptom ini mungkin kurang jelas bagi ramai orang. Batuk dan nafas pendek adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan perokok. Jadi, mereka mungkin tidak mendapatkan pemeriksaan perubatan kerana merasakan ia adalah normal bagi perokok sehingga keadaan menjadi lebih buruk.

    Tiada penawar

    Sebab utama COPD adalah merokok. Asap rokok yang disedut secara berkala membuatkan saluran pernafasan serta paru-paru mengalami iritasi dan merosakkan struktur asalnya. Apa yang lebih buruk adalah kerosakan yang berlaku tidak dapat dikembalikan.

    Semakin lama, fungsi paru-paru semakin berkurang. Apa yang boleh dilakukan adalah memberikan bantuan pernafasan oksigen seumur hidup. Tanpa bantuan oksigen, pesakit tidak mampu bernafas dan menjalankan aktiviti harian.

    Pemindahan paru-paru mungkin mampu merawat keadaan ini. Namun, ia bukanlah satu pilihan bagi semua orang dan mempunyai risiko yang tinggi.

    Rawatan terbaik adalah pencegahan. Jika anda sedang merokok, berhenti merokok merupakan langkah paling penting dalam mencegah COPD. Jangan lakukannya seorang diri. Dapatkan bantuan daripada keluarga dan profesional.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan