Adakah Hipertensi Menjejaskan Kesuburan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah keadaan kesihatan kronik yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan. Tetapi ia tidak menyebabkan kesukaran bagi seseorang wanita untuk hamil. Malahan, hipertensi itu sendiri tidak menjejaskan bekalan telur wanita, keupayaan mengovum/persenyawaan atau kesihatan telur dan embrio.

Walaupun terdapat beberapa cadangan dalam kesusateraan saintifik bahawa hipertensi mungkin menjejaskan lapisan rahim yang mana boleh menganggu implantasi embrio yang sihat, namun masalah ini kebanyakannya teori.

Bagaimanapun, diagnosis hipertensi masih penting bagi wanita yang ingin hamil kerana beberapa sebab. Antaranya:

i. Keadaan berkaitan

Kebanyakan wanita dalam umur reproduktif yang menghidap hipertensi mempunyai satu atau lebih keadaan berkaitan yang mempunyai kesan negatif terhadap kesuburan. Contohnya termasuk obesiti, merokok dan berumur 40 tahun ke atas. Setiap keadaan ini sangat dikaitkan dengan peningkatan risiko hipertensi serta penurunan kesuburan. Selain itu, sindrom ovarium polisistik atau PCOS juga salah satu keadaan yang sering dikaitkan dengan obesiti, ketidaksuburan serta tekanan darah tinggi.

ii. Ubat-ubatan

Kebanyakan ubat tekanan darah tidak selamat digunakan semasa tempoh kehamilan. Sebelum hamil, wanita yang mengambil anti hipertensi mungkin perlu berbincang dengan doktor mengenai ubat tekanan darah yang selamat dan tidak merisikokan kandungan.

iii. Kesihatan obstetrik

Setelah hamil, wanita dengan hipertensi kronik berada pada risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi kehamilan seperti keguguran, praeklampsia, perkembangan janin yang lemah dan pemisahan plasenta awal. Perundingan pra-konsepsi dengan pakar obstetrik berisiko tinggi untuk membincangkan kemungkinan risiko dan mengoptimumkan ubat-ubatan serta pengurusan sebelum hamil dapat membantu mengurangkan kemungkinan komplikasi yang berpotensi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut