Diabetes Jenis 1: Mimpi Ngeri Kanak-kanak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda tidak keseorangan jika anak anda didiagnosis positif diabetes jenis 1. Penyakit berbahaya ini adalah kondisi kronik dan jangka masa panjang yang sangat memerlukan perhatian rapi daripada ibu bapa atau penjaganya. Dengan limpahan kasih sayang dan usaha, anda boleh membantu anak anda melawan penyakit yang menyerang hampir separuh daripada populasi dunia ini. 

Ingin mengetahui mengenai penyakit yang merupakan mimpi ngeri bagi kanak-kanak ini? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Apa itu diabetes jenis 1?

Penyakit kencing manis boleh menyerang sesiapa sahaja, tidak kira apa golongan sekalipun. Semasa anda makan, tubuh badan anda akan menukarkan makanan kepada gula atau glukosa. Pankreas anda sepatutnya melepaskan insulin ketika itu. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Ia memainkan peranan yang penting dalam tubuh badan. 

Selepas kita makan, insulin menjadi kunci untuk membuka pintu ke sel anda, yang membolehkan glukosa untuk masuk, dan membolehkan anda menggunakan glukosa untuk tenaga. Akan tetapi, dengan kencing manis, sistem ini tidak dapat bekerja dengan betul. Jika tidak dirawat, tahap glukosa darah tinggi boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius.

Kencing manis jenis 1 adalah keadaan di mana pankreas tidak lagi boleh menghasilkan insulin, menyebabkan glukosa meningkat dengan cepat dalam darah. Ia merupakan keadaan autoimun yang menyerang tubuh badan dan memusnahkan sel yang menghasilkan insulin. Ini bermakna tiada insulin yang dihasilkan dan anda perlu menggantikan insulin yang hilang. 

Ini akan mengakibatkan tahap gula dalam darah menjadi tinggi lantas merosakkan mata, buah pinggang, saraf, jantung, serta boleh menjurus kepada koma dan kematian.

Fakta mengenai diabetes jenis 1

  • Ia boleh menyerang sesiapa sahaja, namun lebih berbahaya kepada kanak-kanak
  • Ia tidak boleh diubati, keadaan sepanjang hayat
  • Majoriti pesakit didiagnosis antara umur 5 hingga 15 tahun
  • Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa kepada komplikasi perubatan serius yang mengancam nyawa, termasuk buta, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf, dan penyakit jantung dan saluran darah

Simptom diabetes jenis 1

Individu terutamanya kanak-kanak boleh menghidap kencing manis tanpa pengetahuannya kerana simptomnya tidak begitu ketara dan boleh mengambil masa yang lama untuk menonjol. Kencing manis jenis 1 mungkin timbul secara beransur-ansur atau tiba-tiba sahaja. Ibu bapa yang mempunyai anak menghidap kencing manis jenis 1 mungkin perasan anak mereka mengalami simptom-simptom berikut:

#1. Kerap kencing

Buah pinggang penderita kencing manis jenis 1 bertindak balas terhadap tahap tinggi glukosa dalam aliran darah, dengan cara kencing bagi mengeluarkan lebihan glukosa. Kanak-kanak yang menghidap kencing manis perlu membuang air kecil dalam jumlah yang lebih besar dan lebih kerap berbanding biasa. Jadi, jangan hairan jika mereka kerap mengunjungi tandas.

#2. Kerap dahaga

Kadangkala, rasa dahaga adalah kondisi yang ibu bapa mungkin anggap biasa sahaja. Namun, anda perlu berjaga-jaga. Disebabkan kanak-kanak kehilangan terlalu banyak cecair akibat kerap membuang air kecil, mereka akan menjadi cepat dahaga dan kerap minum banyak air untuk menggantikan kehilangan hidrasi.

#3. Hilang berat badan

Meskipun selera makan anak anda baik, namun kanak-kanak yang menghidap kencing manis jenis 1 akan mudah kehilangan berat badan. Ini kerana tubuh badan akan memecahkan otot dan simpanan lemak dalam usaha untuk melegakan kelaparan. Kehilangan berat badan yang sukar diungkapkan selalunya menjadi petanda pertama yang boleh dilihat.

#4. Keletihan

Cuba anda perhatikan pergerakan anak anda. Jika mereka kurang aktif berbanding biasa, ia mungkin menunjukkan tanda kencing manis jenis 1. Ini kerana tubuh badan tidak boleh menggunakan glukosa untuk tenaga dengan betul.

#5. Kabur penglihatan

Jika gula darah anak anda terlalu tinggi, bendalir boleh ditarik dari kanta mata mereka. Ini boleh menjejaskan kemampuan anak anda untuk melihat dengan jelas sekali gus membuat penglihatan mereka menjadi kabur.

Kadar kelangsungan hidup bagi diabetes jenis 1

 

Pada tahun 1920-an, insulin telah ditemui dan tersedia untuk digunakan. Dengan itu, jangka hayat penderita diabetes jenis 1 naik secara dramatik. Dengan insulin yang lebih baik, pemeriksaan gula di rumah, dan diet rendah gula serta karbohidrat, penderita kencing manis jenis 1 mampu hidup lebih lama.

 

Satu kajian daripada Universiti Pittsburgh yang diterbitkan pada tahun 2012, mendapati bahawa individu yang menghidap diabetes jenis 1 selepas tahun 1965 mempunyai jangka hayat 69 tahun. Ini berbanding dengan jangka hayat ketika lahir, kira-kira 76 tahun untuk lelaki dan 81 tahun untuk wanita dalam populasi umum di Amerika Syarikat.

 

Manakala menurut satu kajian terbaharu terhadap kira-kira 25,000 penderita  kencing manis jenis 1 di Scotland mendapati bahawa lelaki dengan diabetes jenis 1 kehilangan kira-kira 11 tahun jangka hayat, dan wanita kira-kira 13 tahun berbanding mereka yang tiada penyakit.

 

Walau bagaimanapun, kesemuanya bergantung pada kawalan gula mereka. Diabetes yang dikawal dengan baik mungkin mempunyai sedikit kesan pada jangka hayat. Jika anak anda sah menghidap penyakit berbahaya ini, jangan sesekali berputus asa dan sentiasa bersamanya.

Buah Pinggang dan Diabetes, Kaitan Antara Keduanya - kaki bengkak

Kehidupan dengan diabetes jenis 1

Kanak-kanak yang menghidap kencing manis jenis 1 perlu dipantau dan dikawal tahap glukosa mereka dengan teliti. Ibu bapa perlu membantu anak untuk:

  • Periksa tahap gula darah mereka beberapa kali dalam sehari
  • Berikan anak anda suntikan insulin, boleh diberikan secara suntikan atau gunakan pam insulin
  • Makan makanan yang sihat, seimbang dan berikan perhatian khusus kepada amaun gula dalam makanan mereka dan masa hidangan
  • Selalu bersenam untuk membantu mengawal tahap gula darah dan mengelakkan masalah kesihatan untuk jangka panjang di mana kencing manis boleh menyebabkan penyakit seperti penyakit jantung dan strok.
  • Kerap berjumpa doktor untuk membantu mendapatkan cara kawalan yang betul mengikut keadaan anak anda dan mengawasi tanda-tanda komplikasi kencing manis dan pelbagai masalah kesihatan lain

Apa anda perlu lakukan?

Anda perlu bercakap dengan anak anda tentang keadaannya. Cara anda memberitahu anak boleh memberikan impak yang besar tentang persepsi mereka terhadap kesihatan diri mereka. Sentiasa menjadi positif dan menyokong anak anda bagi membantunya meningkatkan kembali keyakinan diri mereka. 

Seperkara lagi yang perlu anda ingat adalah kencing manis hanya satu bahagian dalam kehidupan anak anda. Beritahu anak anda tentang perkara-perkara penting dalam kehidupan mereka seperti di sekolah, sukan, dan acara-acara sosial. Selain itu, terdapat beberapa lagi perkara yang anda perlu lakukan, seperti:

Berterus-terang dengan anak anda mengenai penyakitnya

Sekiranya anak anda telah disahkan menghidap kencing manis jenis 1, anda perlu berterus-terang dengan mereka agar anda dan anak anda dapat bersama-sama melawan penyakitnya. Dengan ini, proses merawatnya mungkin akan menjadi lebih mudah. Pastikan mereka faham bahawa ia bukan salah mereka kerana ia adalah penyakit yang boleh menyerang sesiapa sahaja.

Selain itu, galakkan mereka untuk meneruskan kehidupan normal mereka. Biarkan dan galakkan mereka terbabit dalam aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang selain terus rajin untuk bersekolah sehingga berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka kelak. Tekankan kepada mereka bahawa anda dan doktor akan sentiasa membantu mereka dengan sedaya upaya melawan penyakitnya.

Berhenti menyalahkan diri sendiri

Ia sudah tentu bukan salah anda. Jangan sesekali berfikir bahawa anak anda menghidap kencing manis atas faktor keturunan atau faktor pemakanan. Ia juga bukan disebabkan anda tidak mengajar anak anda melindungi diri sendiri. Faktor genetik dan persekitaran mungkin memainkan peranan dalam masalah ini.

Doktor mungkin tidak akan mempunyai jawapan yang tepat mengenai kondisi anak anda. Mereka juga mungkin tidak mengetahui punca sebenar kondisi ini berlaku dan bagaimana untuk menghalangnya. Oleh itu, ia adalah normal jika anda tidak mengetahui bagaimana untuk melindungi anak anda daripada kencing manis jenis 1.

Penjagaan anak anda

Penjagaan anak anda yang menghidap kencing manis mungkin agak sukar. Anda perlu memeriksa kandungan gula dalam badannya dengan kerap iaitu sekitar 7 kali sehari. Selain itu, anda juga perlu sentiasa memerhatikan kondisinya serta pastikan mereka mengambil dos insulin yang mencukupi pada waktu yang betul. Dapatkan bantuan doktor untuk memastikan anda melakukannya dengan betul.

Dalam pada itu, anda perlu memastikan anda menyediakan diet yang lebih sihat dengan memperbanyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengurangkan makanan bergula. Pastikan anda sentiasa peka dengan amaun makanan anak anda. Anda juga perlu memastikan mereka melakukan senaman dengan kerap. Bersenamlah bersama mereka untuk memberi galakan dan dorongan yang sangat diperlukan oleh mereka.

Paling penting, anda perlu menjaga emosi anak anda. Mereka mungkin akan mudah berasa kecewa atau marah lantas menyebabkan mereka berkelakuan buruk kerana mereka berasa berbeza dengan kanak-kanak yang lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, anda boleh mencari kumpulan yang melibatkan golongan senasib dengannya dan biarkan anak anda melibatkan diri. Ini akan membuat anak anda tidak lagi berasa keseorangan.

Ajar anak anda untuk menjaga diri sendiri

Anak anda sangat perlu untuk mengetahui cara untuk menjaga diri mereka sendiri kerana individu yang paling tahu dan faham akan kondisi mereka adalah diri mereka sendiri. Ajar anak anda cara untuk memeriksa kandungan gula dalam darah mereka sendiri di sekolah. Selain itu, ajar mereka cara pemakanan yang paling terbaik. Sewajarnya, anak anda perlu makan lebih sayur-sayuran dan mengurangkan pengambilan gula untuk memastikan berat badan mereka sentiasa berada pada aras yang sihat.

Sekiranya anak anda jauh daripada anda

Sekiranya mereka jauh daripada anda, pastikan anda mempunyai perancangan yang rapi. Pakaikan mereka dengan gelang atau rantai yang boleh mengesan keberadaan mereka. Anda juga sangat memerlukan penjaga untuk memantau pergerakan anak anda. Pastikan penjaga tersebut mengetahui mengenai kondisi anak anda selain sedikit pengetahuan mengenai diabetes. Ingatkan penjaga tersebut untuk terus menghubungi anda atau doktor sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam erti kata yang lain, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa ada dengan mereka. Jangan sesekali beranggapan bahawa penyakit ini adalah pengakhirannya. Sebaliknya, anggap ini sebagai satu permulaan. Paling penting, anda dan anak anda perlu sentiasa berikhtiar, bertawakal dan redha dalam menjalani ujian ini.

Tip menjaga anak yang menghidap diabetes jenis 1

Penjagaan mereka mungkin sedikit berbeza berbanding kanak-kanak lain namun mereka masih lagi kanak-kanak yang normal dan inginkan kasih sayang sepenuhnya daripada anda. Berikut merupakan beberapa tip untuk menjaga anak yang menghidap kencing manis jenis 1:

Gaya hidup yang perlu diamalkan

Ibu bapa perlu mendorong anak yang menderita diabetes jenis 1 ini untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ia merangkumi aktiviti-aktiviti seperti bersenam dan bersukan kerana penderita diabetes jenis 1 harus banyak bergerak bagi mendapatkan tenaga sekali gus menjadikan sel-sel darah lebih peka terhadap insulin. Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau berjoging turut membina jisim otot. Ini penting kerana kebanyakan glukosa dalam darah akan diserap oleh otot-otot untuk dibakar sebagai tenaga.

Sebelum melakukan apa-apa aktiviti, ibu bapa perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu bagi melihat kandungan glukosa dalam badan si kecil sebelum dan selepas melakukan aktiviti. Turut diingatkan ibu bapa perlu memastikan si kecil mengambil sedikit santapan 1 hingga 3 jam bagi mengelakkan perut mereka kosong. Paling penting, sentiasa pantau anak anda ketika mereka melakukan apa-apa aktiviti fizikal dan perhatikan tindak balas mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Paling penting, jangan sesekali membenarkan mereka untuk mendekati rokok dan alkohol! Ini juga sebenarnya perlu dilakukan oleh anda. Sebagai ibu bapa, tunjukkan contoh yang baik untuk mereka. Jika anda merupakan perokok dan peminum arak yang tegar, fikirkannya semula dan cuba hentikan tabiat buruk ini demi anak anda dan kesihatan anda sendiri.

Makanan yang perlu dielakkan

Sebagai ibu bapa kepada penderita diabetes jenis 1, anda harus sentiasa mengawal pemakanan mereka. Pilih makanan yang tidak mengandungi kandungan gula yang tinggi dan mempunyai kalori yang stabil untuk menjaga berat badan dan pertumbuhannya.

Antara contoh makanan yang seharusnya dielakkan:

  • Gula putih, gula merah dan gula melaka
  • Gula-gula dan coklat
  • Sapuan roti seperti kaya, jem dan madu
  • Aiskrim dan jeli
  • Kuih-muih tempatan seperti kuih seri muka, kuih lapis, kuih koci, kuih bakar dan onde-onde
  • Makanan yang mengandungi santan atau susu lemak manis
  • Bijiran yang bersalut gula

Jadi, apa yang boleh dimakan oleh mereka? Sebenarnya, anda tidak perlu untuk mengelakkan diri anda daripada makan apa sahaja jenis makanan. Anda boleh menikmati makanan seperti mana individu lain selagi mana anda memantau saiz bahagian pemakanan, gula, kalori, pengambilan karbohidrat dan sebagainya. 

Pada masa dulu, individu yang menghidap diabetes harus mengelakkan makan banyak makanan dan mengikuti diet yang ketat untuk mengawal keadaan mereka. Walau bagaimanapun, dengan peningkatan ketersediaan dan fleksibiliti insulin, diet yang ketat ini telah lama tidak diaplikasi.

Cuma, ada beberapa perkara mengenai pemakanan yang anak anda wajib ketahui dan ikuti!

Kawal pengambilan gula

Makanan yang mengandungi banyak gula sering menawarkan nilai nutrisi yang rendah, tinggi lemak dan menambah banyak kandungan karbohidrat kepada diet anak anda. Perkara-perkara ini akan membuat paras gula darah mereka meningkat secara drastik. Ini bukan satu perkara yang anda mahu, bukan?

Makanan yang tinggi gula termasuklah sirap, madu, kek, puding, biskut manis, susu pekat manis, coklat, aiskrim, kordial minuman, minuman ringan, jus buah-buahan, dan gula yang digunakan secara berlebihan di dalam sesuatu hidangan dan snek. Oleh itu, cuba pujuk anak anda untuk mengelakkan diri daripada makanan dan minuman seperti ini.

Produk yang kononnya ‘bebas gula’, seperti biskut dan coklat juga tidak diperlukan. Produk tersebut mengandungi kandungan lemak yang tinggi dan juga lebih mahal.

Kawal pengambilan karbohidrat

Bukan sahaja gula, anak anda juga perlu berhati-hati dengan pengambilan karbohidrat mereka.

Makanan karbohidrat yang mempunyai indeks glisemik rendah lebih perlahan dicernakan dan menghasilkan peningkatan kadar glukosa darah yang lebih beransur-ansur, sekali gus membantu anak anda untuk mengekalkan lebih banyak tahap glukosa dalam darah mereka.

Makanan glisemik rendah termasuklah:

  • Bijirin penuh
  • Roti
  • Nasi
  • Pasta
  • Kekacang
  • Produk tenusu
  • Buah – epal, aprikot, pisang, mangga, oren, pear, plum, pic
  • Sayur – jagung, pisang hijau, taro, keladi

Dalam erti kata yang lain, gaya hidup dan pemakanan adalah aspek yang paling perlu anda titikberatkan untuk menjaga anak yang menghidap diabetes jenis 1.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut