backup og meta

Ini Kesan Perkahwinan Bawah Umur Yang Boleh Jejaskan Masa Depan Kanak-kanak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 23/11/2021

    Ini Kesan Perkahwinan Bawah Umur Yang Boleh Jejaskan Masa Depan Kanak-kanak!

    Perkahwinan kanak-kanak yang didefinisikan sebagai perkahwinan formal atau tidak sebelum usia 18 tahun mungkin berlaku kepada lelaki atau perempuan, tetapi lebih kerap melibatkan perempuan. Di peringkat global, lebih daripada 650 juta wanita yang hidup hari ini berkahwin sewaktu usia kanak-kanak.

    Prinsip-prinsip yang disenaraikan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals jika ingin diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan untuk kesejahteraan global antara lain menuntut perkahwinan kanak-kanak dihentikan. Sebagaimana yang disarankan bekas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon.

    Risiko kehamilan awal

    Perkahwinan kanak-kanak bererti aktiviti seksual bermula awal dan dalam kebanyakan kes, kehamilan awal. Di Chad, Guinea, Mali dan Niger, di mana perkahwinan kanak-kanak lazim berlaku, separuh daripada semua kanak-kanak perempuan yang berkahwin melahirkan anak sebelum ulang tahun ke-18 mereka.

    Digabungkan dengan kekurangan tenaga, maklumat dan akses kepada perkhidmatan, kanak-kanak yang berkahwin mengalami kadar kematian dan ketidakupayaan selepas melahirkan lebih tinggi berbanding perempuan yang lebih berusia.

    Gadis yang lebih muda daripada 15 tahun didapati 5 kali lebih berkemungkinan mati dalam proses kelahiran berbanding wanita berusia 20-an, dan kehamilan adalah punca utama kematian di seluruh dunia untuk perempuan berusia 15 hingga 19 tahun.

    Selain itu, kehamilan muda bukan sahaja berbahaya untuk si ibu, bahkan turut menjejaskan bayi dalam kandungan. Badan perempuan yang belum cukup membesar boleh menyebabkan komplikasi semasa bersalin dan kematian bayi.

    Bayi kepada ibu muda ini lebih cenderung mengalami kematian berbanding mereka yang melahirkan sewaktu berusia 20-an.

    Kelahiran mati atau kematian dalam masa seminggu selepas kelahiran adalah 50% lebih tinggi dalam ibu di bawah usia 20 tahun.

    Mereka juga lebih berkemungkinan mendapat bayi dengan berat badan rendah, yang memberi kesan jangka panjang yang buruk kepada bayi tersebut.

    Risiko keganasan rumah tangga

    Walaupun sesetengah ibu bapa percaya perkahwinan awal akan melindungi anak perempuan mereka dari keganasan seksual, perkara yang sebaliknya mungkin berlaku, menurut kajian PBB.

    Gadis muda yang berkahwin sebelum berumur 18 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi menjadi mangsa keganasan rumah tangga berbanding mereka yang berkahwin pada usia yang lebih tua.

    Ini lebih ketara dalam perkahwinan di mana jurang umur antara pengantin perempuan dan pasangan adalah besar.

    Malah, jurang umur yang besar antara suami dan isteri adalah perkara biasa dalam perkahwinan poligami, di mana kanak-kanak menjadi isteri kedua atau ketiga kepada lelaki yang berusia.

    Kanak-kanak perempuan tidak berkuasa untuk menolak seks dan kekurangan sumber atau sokongan undang-undang dan sosial untuk meninggalkan perkahwinan.

    Patutkah perkahwinan kanak-kanak diteruskan?

    Mereka yang mendukung perkahwinan kanak-kanak mungkin memetik norma masyarakat lalu dan keperluan menghalalkan hubungan demi menghalang masalah seks bebas dan penindasan hak anak di luar nikah. Namun, kajian demi kajian mendukung dapatan sebaliknya.

    Segala masalah yang dikatakan dapat dibendung dengan perkahwinan kanak-kanak hanya disebarluaskan lagi dengan mengizinkan fenomena ini berlaku.

    Dalam aspek bantuan ekonomi kepada kanak-kanak dan keluarganya, perkahwinan awal hanya memberi keuntungan wang hantaran yang bersifat sekali cuma dengan mengorbankan faedah pendidikan jangka masa panjang.

    Mereka yang berkahwin sewaktu kanak-kanak secara purata memperoleh pendapatan 9% lebih rendah berbanding mereka yang berkahwin kemudian.

    Wanita bekerjaya melaburkan kembali 90% daripada pendapatan mereka kepada keluarga berbanding hanya 35% dalam kalangan lelaki.

    Disebabkan itu, pendidikan kepada perempuan lebih berkesan untuk meningkatkan taraf hidup mereka, anak-anak dan keluarga terdekat daripada strata kemiskinan berbanding perkahwinan.

    Apabila seorang gadis dikahwinkan seawal usia kanak-kanak, ini bermakna pendidikannya tidak akan diteruskan, begitu juga kemampuannya untuk berdikari secara kewangan.

    Peluang seorang gadis meningkatkan taraf hidup seluruh keluarganya, dan mungkin juga komuniti setempatnya akan hilang. Ini akan meneruskan lagi kitaran kemiskinan antara generasi.

    Sementara jika dikira untuk mengurangkan masalah seks bebas dan kehamilan luar nikah, statistik menunjukkan 90% kehamilan remaja di negara membangun adalah dalam institusi perkahwinan sendiri.

    Kanak-kanak yang berkahwin awal ini bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang terhad malah kekurangan akses kepada langkah pencegahan kehamilan. Mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko kesihatan akibat kehamilan di usia muda.

    Menamatkan perkahwinan kanak-kanak akan mengurangkan kadar kematian di bawah lima tahun dan perkembangan fizikal anak mereka yang tertangguh disebabkan kekurangan nutrisi yang sesuai. Di peringkat global, jangkaan faedah pengurangan dua keadaan ini boleh mencapai lebih daripada 90 bilion USD setiap tahun menjelang 2030.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 23/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan