backup og meta

Nak Beri Bayi Puting Kosong? Parents, Ini Pro & Kontra Yang Perlu Anda Pertimbangkan Dahulu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    Nak Beri Bayi Puting Kosong? Parents, Ini Pro & Kontra Yang Perlu Anda Pertimbangkan Dahulu!

    Tengah berkira-kira untuk menggunakan puting baby atau tidak? Berikut adalah antara perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum memberikan bayi menghisap puting.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu puting kosong?

    Puting kosong adalah puting baby yang digunakan sebagai alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah wanita tidak dapat tidur kerana bayi meragam.

    Alat penenang dianggap sebagai alat selamat yang diberikan kepada bayi untuk dihisap, bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung.

    Tetapi kini, pacifier diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya.

    Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Pacifier moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi daripada tercekik atau menelan puting itu.

    Adakah baik jika puting baby diberikan? 

    puting baby

    Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka akan lebih tenang jika diberikan pacifier. Ini kerana, kebanyakan bayi rasa gembira apabila dapat menghisapnya tidak kiralah puting ibunya ataupun puting tiruan.

    Bagi penggunaan harian, ibu bapa akan menawarkan puting yang banyak dijual di pasaran. Apabila dapat bayi menghisap puting, anda akan lihat tumpuan bayi teralih dan bayi juga mudah untuk terlena selepas letih menghisapnya.

    Selain itu, aktiviti menghisap puting semasa tidur siang dan malam juga dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

    Walau bagaimanapun, bagi bayi yang menyusu badan, ibu bapa adalah disarankan untuk menawarkan pacifier selepas usia bayi 3 hingga 4 minggu.

    Kesan negatif jika perkenalkan puting baby 

    Pemberian puting ada juga kontranya. Ketahui dahulu antara kesannya kepada anak anda:

    Pengenalan awal puting kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan pacifier boleh mengurangkan kekerapan sesi penyusuan bayi.

    Malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting. Namun, kajian yang dilakukan kepada bayi yang sihat, dan cukup bulan mendapati tiada impak pada penyusuan bayi.

    puting baby

    Bayi yang mendapat pacifier juga akan terlalu bergantung kepada puting dan akan menangis jika tidak mendapatnya, tidak kiralah jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.

    Infeksi telinga meningkat. Terdapat hubung kait yang membuktikan mengenai penggunaan pacifier untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah.

    Dipercayai  menghisap puting menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak).

    Jika memberikannya kepada bayi, pastikan anda mengehadkan penggunaannya untuk tidur sahaja, bagi mengelak masalah seperti ini.

    Penggunaan puting untuk jangka masa yang panjang cenderung menyebabkan masalah gigi.

    Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaannya atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar.

    Ini terutamanya jika bayi masih menggunakan puting baby sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.

    Masalah pertuturan. Penggunaan pacifier tidak membolehkan bayi membebel atau babbling, iaitu satu langkah penting untuk bayi anda belajar bertutur dan berkomunikasi.

    Memberikan puting kepada bayi

    Terdapat segelintir ibu bapa yang memberikan puting baby untuk menenangkan bayi mereka, dan terdapat juga ibu bapa yang tidak gemar menggunakannya.

    Wujud juga ibu bapa yang berpendapat untuk tidak menggunakannya pada ketika bayi masih belum dilahirkan dan akhirnya bertukar fikiran apabila sukar untuk membuat bayi yang menangis untuk bertenang.

    Baca juga:

    Jika anda ingin memberikan bayi anda puting, berikut adalah beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan, antaranya:

    • Tunggu dulu sampai bayi biasa dengan rutin penyusuan.
    • Jangan terlalu kerap bagi bayi pacifier. Tawarkannya hanya selepas atau di antara waktu makan. Cuba hadkan pemberiannya untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan. Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko infeksi telinga tengah dan masalah lain.
    • Pilih pacifier jenis silikon, bebas BPA (bisphenol-A) dan selamat untuk bayi.
    • Pastikan puting bersih sebelum diberikan kepada si manja – sterilkan sama seperti puting botol.
    • Jangan bagi anak-anak berkongsi pacifier.
    • Tawarkan bayi puting mengikut saiz yang sesuai dengan usianya.
    • Jangan letakkan sebarang benda manis pada pacifier kerana akan merosakkan gigi si manja.
    • Ganti puting kosong bayi secara kerap – sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru segera.
    • Sebaiknya “ceraikan” anak anda dari putingnya sebelum usia satu tahun. Ini kerana ia lebih senang untuk dilakukan pada masa ini daripada ketika bayi anda sudah menginjak usia 2 hingga 3 tahun. Dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar, selalunya pada usia enam tahun.

    Tip memberhentikan pemberian puting baby

    puting baby

    Sekiranya anda berdepan masalah untuk hentikan tabiat ini dan anak gemar menghisap puting baby setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu:

    • Kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakannya secara perlahan-lahan. Jangan terus hentikan pemberian puting, kerana ini mungkin boleh menyebabkannya lebih sukar untuk ditenangkan.
    • Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang – jangan berikan gula-gula untuk menggantikannya.
    • Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting – kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
    • Bertegas dalam mengehadkan masa penggunaannya kepada masa-masa utama sahaja dalam masa sehari, seperti waktu tidur atau ketika dia tidak sihat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan