Perlukah Sendawakan Bayi Selepas Menyusu?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Pernahkah anda mendengar pesanan yang mengingatkan anda supaya menyendawakan bayi anda selepas menyusukannya? Pastinya terlintas di fikiran anda mengenai, “Adakah ia satu keperluan untuk membuatkan bayi anda sendawa setiap kali selesai menyusu?” Lebih-lebih lagi apabila bayi anda sudah tertidur selepas menyusu, bukan? Ikuti perkongsian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai topik ini.

Kenapa perlu sendawakan bayi?

Menyendawakan bayi dikatakan sebagai satu kewajipan yang perlu dilakukan setiap kali selepas proses penyusuan walaupun ia akan mengambil masa yang lama dan bayi adalah susah untuk disendawakan. Tetapi kenapa perlu sendawakan bayi?

Sama seperti kita, seorang individu dewasa, apabila kita makan mahupun minum, bukan sahaja makanan ataupun minuman yang akan memasuki badan kita, dalam masa yang sama, terdapat juga udara yang akan turut masuk ke dalam badan. Udara yang berlebihan di dalam perut akan naik ke bahagian tekak dan dikeluarkan sebagai sendawa. Begitu juga keadaannya dengan bayi anda. 

Saat bayi anda menyusu, sama ada secara terus daripada payudara ataupun menggunakan botol susu, udara akan turut memasuki perut bayi anda. Ia tampak seperti satu perkara yang remeh. Walau bagaimanapun, udara yang berlebihan di dalam perut bayi akan menyebabkan bayi meragam dan menjadi tidak selesa. Berikut disenaraikan beberapa sebab utama mengapa perlunya sendawakan bayi anda, antaranya adalah:

1. Perut kembung

Proses sendawa pada bayi penting bagi menghindarkan bayi anda daripada mengalami masalah perut kembung. Tujuan utamanya adalah untuk mengeluarkan udara berlebihan yang turut masuk ke dalam perut bayi ketika menyusu atau menangis.

2. Lebih ceria dan aktif

Bayangkan jika kita sebagai individu dewasa, berdepan dengan keadaan perut kembung atau berangin? Sudah tentu ia boleh menyebabkan anda menjadi tidak selesa, bukan? Begitu juga keadaannya dengan bayi anda. Keadaan seperti itu pastinya menimbulkan ketidakselesaan dan membuatkan mereka meragam. Menyendawakan si manja, dipercayai dapat membuatkan bayi anda menjadi lebih selesa, ceria dan aktif. 

3. Tidur nyenyak

Dalam keadaan perut tidak selesa, semestinya ia membuatkan bayi anda tidak dapat tidur dengan nyenyak. Situasi ini pastinya akan berbeza jika udara mahupun angin yang berlebihan di dalam perut bayi dapat dikeluarkan, sekali gus menjadikan bayi anda lebih selesa. Sudah tentu keadaan ini akan dapat membantu mereka untuk tidur lebih nyenyak. 

Bila perlu sendawakan bayi?

Bagi individu yang pertama kali bergelar ibu, sudah tentu anda menjadi keliru dan tertanya-tanya bilakah waktu yang sesuai untuk sendawakan bayi anda. Proses menyendawakan bayi ini boleh dilakukan sama ada semasa atau selepas menyusu. 

Kebiasaannya, apabila bayi anda mula meragam, itu adalah petanda bahawa perut mereka berasa kembung. Anda perlu menyendawakan bayi anda apabila:

  • Beralih ke payudara untuk meneruskan penyusuan
  • Apabila bayi sudah menghabiskan susu setengah botol
  • Sendawakan apabila bayi anda sudah menyusu antara tempoh 15 hingga 20 minit
  • Sekiranya bayi anda mengerang semasa proses penyusuan. Hentikan proses penyusuan untuk seketika dan sendawakan bayi anda terlebih dahulu
  • Bayi anda mungkin akan mengalami ketidakselesaan perut pada waktu malam, walaupun dia tidak menyusu. Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk cuba menyendawakan dia

Cara sendawakan bayi

Sesetengah bayi mungkin mudah untuk disendawakan dan terdapat juga bayi yang sukar untuk sendawa. Jadi kesabaran yang tinggi daripada ibu bapa adalah amat diperlukan. Terdapat beberapa teknik atau cara sendawakan bayi yang boleh anda cuba untuk mengeluarkan udara yang terperangkap di dalam perut bayi anda. Selamat mencuba!

1. Posisi bersandar pada bahu

Perlukah Sendawakan Bayi Selepas Menyusu - bersandar pada bahu

Perkara pertama sekali adalah meletakkan sebarang kain alas bersih pada bahu anda. Ini perlu dilakukan kerana bayi anda mungkin akan termuntah susu. Cuba untuk mendukung bayi anda menggunakan sebelah tangan dan letakkan kepala bayi seperti bersandar pada bahu anda. Dengan menggunakan tapak tangan sebelah yang lain, tepuk belakang badannya secara perlahan-lahan sehingga bayi anda sendawa. Cara sendawakan bayi ini boleh dilakukan sama ada secara berdiri mahupun duduk di kerusi. Ia adalah mengikut keselesaan anda.

2. Posisi duduk

Cara sendawakan bayi yang seterusnya ini adalah dengan memberikan bayi anda duduk di atas riba anda, iaitu sebelah paha anda, sama ada kiri ataupun kanan, mengikut keselesaan anda. Bongkokkan sedikit badan bayi anda dan tepuk lembut atau usap bahagian belakang badannya. Pastikan anda menahan bahagian dadanya dengan tangan anda. Dipercayai cara sendawakan bayi ini adalah paling mudah membuatkan bayi sendawa. 

Perlukah Sendawakan Bayi Selepas Menyusu - posisi duduk

3. Posisi meniarap

Baringkan bayi anda pada posisi meniarap di atas perutnya dengan kedudukan melintang di atas paha anda. Untuk melakukan cara sendawakan bayi melalui kaedah posisi meniarap ini anda perlu memegang bahagian dada bayi anda dengan sebelah tangan anda dan pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya. Dengan menggunakan tangan yang sebelah lagi, tepuk atau urut secara perlahan-lahan bahagian belakang bayi dengan cara usapan naik dan turun.

4. Posisi dukung

Ini merupakan antara cara sendawakan bayi yang terakhir yang boleh anda cuba untuk membuat bayi anda sendawa. Caranya adalah dengan mendukung seperti biasa dan rapatkan  bayi anda ke dada. Sambil mendukungnya, goyang-goyangkan badan anda ke kiri dan ke kanan untuk membuatkan bayi anda sendawa sendiri. Dalam masa yang sama anda boleh mengusap bahagian belakang bayi anda sambil berjalan-jalan di sekitar rumah anda. 

5. Senaman

Sekiranya tip cara sendawakan bayi di atas masih tidak berjaya untuk membuat bayi anda sendawa, anda mungkin boleh melakukan sedikit ‘senaman’ buat bayi anda. Caranya adalah dengan memegang bahagian betis bayi anda, dan tolakan lututnya ke dada mereka. Kaedah ini dikatakan antara cara sendawakan bayi yang terbaik untuk membantu mengeluarkan angin dari perut mereka. Selain itu, urutan yang lembut pada perut bayi anda pastinya dapat membantu. 

Terus mencuba

Sekiranya bayi anda masih tidak sendawa walaupun pelbagai tip dan cara sendawa bayi telah anda cuba. Mungkin anda boleh mendapatkan bantuan pasangan anda untuk membantu menyendawakan bayi. Ada yang mengatakan kaum ayah lebih handal membuat bayi sendawa, jadi tidak ada salahnya mencuba, bukan? Lagipun tanggungjawab menjaga bayi anda tanggungjawab bersama. Apa yang penting, teruskan mencuba dan banyakkan bersabar!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan