Perlu Atau Tidak Nurseri Di Pejabat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

“Bulan depan sayang dah start kerja balik tapi nurseri yang sesuai untuk ‘baby’ tak jumpa lagi, macam mana ni abang?,” tanya Nur kepada suaminya, Afie. Haa…itu antara dilema pasangan yang mempunyai anak. Adakah anda salah seorang individu yang mengalaminya?

Dilema ibu bapa

“Taska yang mana sesuai untuk Husna”, itu antara perkara pertama yang penulis fikirkan apabila mendapat tawaran pekerjaan dahulu. Sebagai individu bergelar ibu, penulis ‘tak’ menafikan isu itu menjadi satu bebanan yang kadang kala boleh menimbulkan stres. Sudah tentu kita mahukan tempat yang menjadi pilihan itu selamat dan sesuai untuk anak-anak.

Bagi penulis sendiri, terdapat beberapa faktor yang penulis pentingkan dalam menentukan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) atau pusat asuhan untuk menghantar anak. Antaranya:

Jarak

Sudah tentu jarak memainkan peranan penting. Nurseri yang terlalu jauh dari kediaman adalah tidak sesuai, melainkan anda sememangnya tidak mempunyai pilihan lain. Bayangkan kalau nurseri itu terlalu jauh, sudah tentu anda perlu memikirkan soal kesesakan jalan raya yang perlu ditempuhi untuk menghantar dan mengambil anak setiap hari.

Persekitaran

Kawasan sekitar pusat asuhan juga adalah aspek yang perlu dipertimbangkan. Pastinya ia tidak sesuai jika kedudukan pusat tersebut di sekitar kawasan kilang atau terlalu sunyi. Bukan mendoakan sesuatu yang tidak baik, tetapi bukankah langkah pencegahan itu adalah yang terbaik? Tetapi persekitaran yang terlalu bising juga tidak baik untuk tumbesaran anak-anak, ye. 

Keselamatan

Ini merupakan faktor yang paling penting. Selamat itu bukan sahaja daripada aspek bangunan, tetapi melibatkan akses jalan raya yang berhampiran, jumlah pengasuh, jumlah kanak-kanak dalam jagaan dan sebagainya.

Sukar sebenarnya untuk mendapatkan nurseri yang dapat memenuhi segala aspek. Malahan kalau sudah menemui tempat yang sesuai, pastinya anda akan terfikir adakah anak anda serasi berada di sana, keadaan anak setiap masa dan pelbagai persoalan lain. Haaa…susah jadi ibu ayah ini sebenarnya. 

Dengan pelbagai kejadian buruk yang menimpa anak-anak di pusat asuhan, sudah tentu ia mendatangkan kebimbangan buat ibu bapa. Tetapi bagaimana kalau taska diwujudkan di tempat kerja? Adakah ia satu perkara yang baik atau sebaliknya?

Bantu lebih fokus 

Sebenarnya, mewujudkan pusat asuhan di tempat kerja sama ada di sektor awam mahupun swasta merupakan satu tindakan yang amat wajar untuk dilakukan. Sudah tentu ia dapat memudahkan individu wanita yang berkerjaya untuk meletakkan anak sepanjang tempoh bekerja. Keadaan ini sekali gus boleh mengatasi masalah mengenai penjagaan anak-anak. 

Penubuhan taska di tempat kerja secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan produktiviti pekerja. Ini kerana mereka khususnya kaum ibu, tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak yang diletakkan di bawah jagaan pusat asuhan di pejabat. Lokasi dekat, jadi kalau nak ‘jenguk’ anak, senang. Boleh pantau keadaan anak dari masa ke masa. Tetapi janganlah sampai kerja tak jalan, ye?

Nurseri yang diwujudkan di tempat kerja sudah tentu akan memberikan ketenangan kepada ibu atau bapa (biasanya kaum ibu) untuk bekerja dan tidak perlu terkejar-kejar untuk menghantar dan mengambil anak di pusat jagaan.

Inisiatif baik

Jika syarikat swasta mahupun kerajaan ingin menubuhkan taska di tempat kerja, pastinya ia satu inisiatif baik dan sangat digalakkan. Ia bukan sahaja dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa, tetapi dalam masa yang sama ia boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial kepada kakitangan.

Jadi pada pandangan penulis sebagai seorang ibu, kewujudan nurseri di tempat kerja adalah satu perkara yang sangat baik dan amat disokong. Moga akan ada lebih banyak syarikat sama ada swasta mahupun kerajaan akan mempertimbangkan isu ini. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: