5 Perkara Anda Perlu Tahu Mengenai Sindrom Down

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kita mengetahui bahawa kanak-kanak yang mengalami sindrom Down akan menghadiri kelas persekolahan yang berbeza. Biasanya mereka akan menghadiri Program Pemulihan Dalam Komuniti atau ringkasnya PDK yang terdapat hampir di setiap daerah atau mukim. Mereka yang menghidap sindrom Down juga dikatakan tidak mempunyai jangka hayat hidup yang lama, susah mendapat pekerjaan atau berkahwin.

Fakta sebenar penghidap sindrom Down

Disebalik tanggapan-tanggapan sebegitu, mungkin ada sesuatu yang kurang diketahui atau dimengerti oleh anggota masyarakat sehingga menyebabkan tanggapan tersebut muncul dan menjadi kebiasaan. Baca catatan di bawah yang mungkin boleh mengubah persepsi semasa anda berkenaan penghidap sindrom Down.

#1. Wanita pelbagai peringkat umur berpotensi memiliki bayi dengan sindrom Down

Ada yang mengatakan bahawa wanita lanjut umur lebih berpotensi memiliki bayi sindrom Down. Ia adalah mitos kerana wanita di kesemua peringkat umur tetap memiliki potensi memiliki anak sindrom Down. Malah, 4 daripada 5 bayi yang memiliki sindrom Down dilahirkan oleh wanita yang berumur bawah 35 tahun.

#2. Penghidap sindrom Down boleh hidup sehingga berumur 60 tahun

Pada tahun 1940-an, kanak-kanak sindrom Down memiliki jangka hayat sebanyak 12 tahun. Walau bagaimanapun, jangka hayat mereka kini meningkat sehingga 60 tahun dan boleh hidup sehingga berumur 80 tahun – sama dengan jangka hayat populasi umum.

#3. Penghidap sindrom Down tidak selalunya gembira

Ada yang menyangka bahawa mereka yang menghidap sindrom Down ini tidak memiliki banyak perubahan perasaan dan sentiasa kelihatan gembira. Anda perlu tahu bahawa mereka turut mempunyai perasaan yang sama dengan individu normal yang lain. Mereka turut berasa marah, sedih, malu atau teruja. 

#4. Penghidap sindrom Down mempunyai risiko memiliki masalah kesihatan

Sindrom Down boleh menjejaskan sistem imun penghidapnya, oleh itu mereka lebih terdedah kepada jangkitan dan penyakit. Walaupun mengambil pemakanan yang sihat, mereka juga lebih cenderung untuk memiliki berat badan berlebihan berbanding individu lain. Selain itu, mereka juga mempunyai risiko masalah penglihatan dan pendengaran yang lebih tinggi, hipotiroidisme, dan masalah berkaitan tulang dan usus

#5. Kanak-kanak penghidap sindrom Down hidup normal seperti kanak-kanak lain

Kanak-kanak penghidap sindrom Down boleh membesar seperti kanak-kanak normal lain walaupun mempunyai kesukaran dalam pembelajaran dan masalah kesihatan. Seperti mana kanak-kanak lain, faktor keluarga, persekitaran, budaya dan sosial memainkan peranan penting dalam pembentukan karakter kanak-kanak ini apabila mereka meningkat dewasa. Mereka hanya memerlukan sokongan dan usaha tambahan berbanding kanak-kanak normal.

Jangan pernah memandang penghidap sindrom Down dengan pandangan yang menjengkelkan. Mereka juga seperti individu normal lain, hanyalah sahaja mereka mengalami sedikit masalah sejak dilahirkan. Kepada pemilik-pemilik syarikat, contohilah tindakan McD Bandar Tun Hussein Onn, Cheras yang pernah memberikan peluang pekerjaan kepada seorang penghidap sindrom Down untuk dia berdikari. Tindakan ini jelas membuktikan bahawa penghidap sindrom Down juga boleh menguruskan diri sendiri sama dengan individu normal yang lain. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut