backup og meta

Ibu, Jika Nak Anak Dengar Cakap, Jangan Tinggikan Nada Suara - Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/11/2019

    Ibu, Jika Nak Anak Dengar Cakap, Jangan Tinggikan Nada Suara - Kajian

    “Adam!!! Pergi buat kerja sekolah. Asyik hadap ‘games’ aje, kerja sekolah tak jalan,” jerit Aida kepada anaknya yang sedang leka bermain ‘video games’.  Adoiii…pening kepala mak-mak kaaan? Itu pastinya merupakan antara situasi yang kerap dihadapi oleh kaum ibu, terutamanya apabila cuti sekolah. 

    Nada suara

    Dalam satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik daripada Cardiff University mencadangkan bahawa remaja cenderung untuk tidak melakukan kerja rumah jika ibu mereka menggunakan nada suara yang tinggi dan berunsur arahan. 

    Penyelidikan dilakukan ke atas 1000 individu remaja menunjukkan bahawa mereka akan memberikan tindak balas dengan cara berbeza berdasarkan nada yang berbeza. Ini kerana mereka menganggap nada yang lebih terarah kepada ‘galakkan’, membuatkan mereka merasakan seperti diberi pilihan walaupun diminta melakukan sesuatu. 

    Menurut penulis utama penyelidikan ini, Dr Netta Weinstein, “Jika ibu bapa mahukan komunikasi dengan anak remaja menjadi lebih bermanfaat dan bermakna, adalah penting untuk menggunakan nada suara yang berunsur memberi galakkan berbanding arahan.”

    Mesej arahan

    Kajian melibatkan 486 individu remaja lelaki dan 514 individu remaja perempuan yang berusia antara 14 dan 15 tahun ini diterbitkan dalam jurnal Developmental Psychology. Dalam kajian ini, peserta dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan untuk mendengar mesej arahan yang diberikan oleh seorang individu wanita.

    Antara 30 mesej suara yang didengari adalah termasuk, “Sudah tiba masanya untuk pergi ke sekolah”, “Anda akan membaca buku ini malam ini” dan “Anda sudah melakukannya dengan baik dalam tugasan ini”. Mesej-mesej tersebut menggunakan nada mengawal (arahan), galakkan atau neutral.

    Hasil kajian menunjukkan, mesej suara yang berunsur galakkan seakan memberi atau mencadangkan pilihan membuatkan peserta lebih mendengar dan mengikutinya. Walaupun pada hakikatnya merupakan satu arahan untuk melakukan sesuatu. 

    Kepentingan pemilihan nada 

    “Keputusan kajian ini menggambarkan betapa besarnya impak nada suara yang digunakan dan kepentingan memilih nada yang betul untuk berkomunikasi dalam setiap perbualan harian,” jelas Dr Weinstein. 

    Untuk jangka masa panjang, para penyelidik merancang untuk melakukan kajian terhadap penggunaan nada dalam mempengaruhi fisiologi, seperti denyutan jantung dan tempoh kesannya terhadap seseorang individu.

    Kesedaran ibu bapa

    Sebagai ibu bapa, anda sering kali terlupa tentang perasaan anak-anak anda apabila anda berasa letih atau mengalami tekanan. Secara tidak langsung ia memberikan impak kepada nada  yang anda gunakan kepada anak-anak. 

    Individu remaja cenderung untuk berasa diberikan perhatian dan bahagia apabila nada bersifat memberi galakan digunakan dan bukannya nada suara berunsur arahan. Ini sekali gus membuatkan mereka lebih berusaha keras di sekolah, di rumah atau di mana sahaja apabila ibu bapa dan guru menggunakan nada yang betul. 

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan