Kutu Pada Rambut: Bagaimana ia Berlaku?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Perihal penjagaan bayi atau kanak-kanak adalah sesuatu perkara yang sangat rumit, terutama bagi individu yang baru bergelar ibu bapa. Memandikan, memotong kuku, penjagaan rambut adalah antara perkara penting yang perlu diutamakan dalam aspek penjagaan ini. Berbicara tentang penjagaan rambut, pernahkah anda terfikir bahawa bayi atau anak anda mungkin dijangkiti kutu kepala? Terkejut kerana merasakan mustahil untuk seorang bayi dijangkiti kutu? Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kutu dan penjagaannya.

Bayi mempunyai rambut atau botak?

Sebelum kita terus menyentuh soal kutu pada rambut bayi, apa kata kita berbicara sedikit mengenai rambut bayi. Sesetengah bayi dilahirkan dengan rambut yang lebat, dan ada juga bayi yang lahir dengan kepala botak yang sempurna. Kedua-dua situasi ini merupakan satu keadaan normal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Sekiranya bayi anda lahir dengan rambut yang lebat dan subur, terdapat kemungkinan bahawa rambut-rambut itu akan gugur dan ia adalah perkara yang biasa berlaku. Ini kerana semasa dalam tempoh kehamilan, beberapa hormon akan berada di sekitar plasenta dan mengelilingi bayi dalam kandungan anda, selepas dilahirkan, tahap hormon ini akan mula merosot dan ia sekali gus menyebabkan keguguran. Jika anda mendapati terdapat rambut bayi anda bertaburan di tilam atau kerusi kereta bayi (baby carseat), usah panik! Fasa pertumbuhan rambut bayi yang baru akan bermula pada bulan kedua dan seterusnya sehinggalah bayi anda berusia 6 bulan atau lebih. Dan, adalah satu perkara yang normal untuk anda melihat tompokan besar pada bahagian belakang kepala bayi anda, jika bayi anda lebih banyak menghabiskan masa mereka dengan berbaring.

Selepas bayi anda gugur semua rambutnya, pasti akan tumbuh rambut baru yang warnanya akan sedikit berbeza dari rambut asal, dan cenderung mempunyai warna yang lebih cerah. Sebagai contoh, jika sewaktu lahir, rambut bayi anda berwarna hitam, ia berkemungkinan akan sedikit keperangan, malah teksturnya juga akan mengalami perbezaan. Walau bagaimanapun, tiada apa yang perlu dirisaukan dan anda dinasihati untuk tidak mendandan rambut bayi anda dengan sebarang produk rambut, kerana ia mungkin mendatangkan kesan sampingan kepada bayi anda.

Jadi, seandainya bayi anda mempunyai rambut yang kurang atau botak berbanding bayi kepada rakan anda, bertenang. Setiap bayi mempunyai perbezaan yang tersendiri. Nikmatilah saat manis bersama bayi anda. Mari kita berbicara mengenai kutu dan penjagaan rambut anak dan bayi anda pula.

Kutu Pada Rambut Bagaimana ia Berlaku - apa itu kutu

Apa itu kutu kepala?

Kutu kepala merupakan sejenis serangga kecil, tidak bersayap yang hidup membiak pada rambut. Kutu kepala selain dirujuk sebagai head lice, ia juga dipanggil sebagai ‘nits’ – yang secara teknikalnya merujuk kepada telur yang dibiakkan pada helaian rambut.

Dengan saiz yang lebih kurang sebesar biji bijan, agak sukar untuk menyedari bahawa bayi anda mempunyai kutu kepala. Tetapi anda mungkin akan terlihat seperti benda berwarna hitam pada rambut bayi anda. Manakala nits pula mempunyai saiz yang lebih kecil, berwarna seakan-akan kuning, coklat mahupun putih. Sekali pandang, ia seperti kelemumur, cuma teksturnya agak melekit dan sukar untuk ditarik keluar daripada rambut anak anda.

Jika tiada sebarang rawatan mahupun ataupun tindakan yang dilakukan untuk mengatasi masalah jangkitan ini, ia cenderung untuk menjadi satu masalah yang kekal lama pada anak anda. Walaupun secara harfiah, tiada risiko bahaya yang mungkin akan berlaku kepada anak anda apabila dijangkiti kutu, tetapi pastinya ia mendatangkan ketidakselesaan kepada anak anda.

Secara purata, individu yang dijangkiti kutu kepala ini cenderung mempunyai lebih kurang 10 ekor serangga ini pada kulit kepala mereka dalam satu-satu tempoh masa. Kutu betina boleh hidup sehingga 40 hari dan berkemampuan untuk bertelur lebih daripada 100 biji telur dalam tempoh masa tersebut. Manakala telur tersebut pula boleh menetas dalam masa 10 hari.

Bagaimana bayi anda boleh dijangkiti kutu?

Secara umumnya, jangkitan kutu kepala ini adalah sangat normal untuk berlaku terutamanya pada kanak-kanak yang lebih dewasa, yang berusia antara 4 hingga 11 tahun. Jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, sama ada lelaki atau perempuan, atau bayi anda lebih kerap dikelilingi oleh kanak-kanak yang lebih dewasa, pastinya ia berisiko dan cukup mudah untuk dijangkiti kutu. Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh mengalami masalah kutu kepala, bukan sahaja bayi, mahupun kanak-kanak, individu dewasa juga mempunyai risiko yang sama besar untuk menghadapi masalah jangkitan ini.

Berikut merupakan antara cara kutu menjangkiti bayi atau anak anda:

  1. Adik-beradik

Ia mungkin tampak mustahil pada mulanya. Tetapi jika anda mempunyai anak lain, yang sedang dalam tempoh usia persekolahan, dan bayi anda berisiko untuk dijangkiti kutu. Malahan, faktor ini merupakan antara punca utama yang menyebabkan bayi mendapat masalah jangkitan ini. Jika anak-anak anda yang lain berkemungkinan mempunyai kutu pada rambut, mereka perlu diasingkan daripada adik-beradik yang lain untuk mengelakkan risiko jangkitan.

  1. Pusat jagaan, taska

Oleh kerana kebanyakan ibu bapa pada masa kini adalah bekerja, jadi ia adalah satu kebiasaan untuk ibu bapa menghantar anak-anak atau bayi mereka ke pusat jagaan atau taska, yang terdapat pelbagai lingkungan usia kanak-kanak berada di sana. Walaupun mungkin terdapat kanak-kanak lebih dewasa tidak dibenarkan untuk bercampur dengan bayi atau kanak-kanak yang lebih muda usianya, namun, ia adalah sesuatu perkara yang tidak mustahil untuk berlaku.

  1. Jiran, keluarga, saudara

Walaupun individu dewasa mungkin kurang berisiko untuk dijangkiti berbanding bayi atau kanak-kanak. Tetapi mana-mana individu dewasa boleh menjadi pembawa serangga ini dan sekali gus meningkatkan risiko jangkitan kepada bayi anda.

Jangkitan ini boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira sama ada anda atau seseorang individu itu mempunyai kebersihan rambut yang baik atau tidak langsung menjaga tahap kebersihan rambutnya. Apabila kutu ini berjaya dikeluarkan atau disingkirkan daripada rambut dan kulit kepala, ia biasanya mati dalam tempoh satu atau dua hari. Ia tidak akan membiak pada pakaian, katil, tuala atau topi. Jadi bukanlah satu kemestian untuk anda mencuci atau mensteril barang-barang kepunyaan anak anda.

Seperti yang dikatakan tadi, jangkitan ini boleh terjadi apabila berlaku hubungan antara kepala dengan kepala. Sebagai contoh, apabila kepada seseorang individu yang mempunyai kutu kepala bersentuhan atau berlaga dengan kepala individu yang tidak mempunyai kutu, berkongsi topi, atau menggunakan sikat daripada individu yang dijangkiti kutu.

Kutu Pada Rambut Bagaimana ia Berlaku - dijangkiti kutu

Serangga sebesar biji bijan ini tidak mempunyai keupayaan untuk melompat, terbang mahupun berenang. Jadi hanya satu cara sahaja untuk ia menjangkiti bayi atau mana-mana individu, iaitu dengan hubungan daripada satu kepala kepala kepala yang lain. Kutu kepala ini hanya hidup pada rambut manusia, jadi jika anda mempunyai binatang peliharaan, seperti kucing ataupun anjing kesayangan, ia tidak mungkin akan menjadi punca kepada jangkitan kutu kepala ini.

Bagaimana untuk menyedari bahawa anak anda dijangkiti kutu?

Kutu kepala merupakan sejenis serangga yang sangat hebat dalam aspek penyamaran. Ia dapat menyamar dan bersembunyi dengan baik di sebalik rambut anak anda dan sukar untuk dikesan dan disedar. Antara tanda yang paling mudah untuk mengetahuinya adalah apabila anak anda kerap menggaru kepalanya.

Anda juga akan menyedari bahawa anak anda mungkin lebih banyak mengalami kerengsaan berbanding hari-hari biasa dan berkemungkinan besar untuk berdepan dengan masalah untuk tidur apabila rasa gatal cenderung membuatkannya terjaga pada waktu malam. Tetapi bukan semua individu yang dijangkiti kutu kepala akan mengalami simptom kegatalan.

Cara terbaik untuk mengesan atau mengenal pasti sama ada anak anda mempunyai kutu atau tidak adalah dengan menyikat rambutnya semasa masih basah dengan dengan menggunakan sikat halus, iaitu sikat yang dikhususkan untuk kutu kepala.

Antara simptom yang boleh dikenal pasti jika anak anda mendapat jangkitan ini, adalah seperti yang berikut:

  • Anak anda berdepan dengan masalah gatal dan akan kerap untuk menggaru, terutamanya pada bahagian belakang leher dan di belakang telinganya. Walaupun begitu, tidak ramai kanak-kanak atau bayi yang mengalami jangkitan kutu akan berdepan sebarang simptom.
  • Jika anda melihat pada rambut anak anda, berdekatan kulit kepala, anda akan mendapati telur berbentuk bujur kecil melekat pada akar rambut. Ia adalah nits. Dan terdapat dua jenis telur, iaitu: telur berwarna putih, yang merupakan telur yang telah menetas, atau telur coklat-hitam, merupakan telur yang masih mengandungi anak kutu yang akan menetas dalam tempoh masa seminggu.

Jika anda hanya melihat telur putih, ia sebenarnya boleh membuatkan anda berada dalam kekeliruan, kerana ia tidak boleh menjadi sebarang bukti petunjuk sama ada anak atau bayi anda masih dijangkiti atau tidak. Anda perlu mencari jika masih terdapat kutu yang hidup, bersama dengan telur. Jika masih wujud kutu yang hidup, maka akan terdapat risiko bahawa masih wujud telur yang masih belum menetas. Kitaran pembiakan kutu ini tidak akan dapat anda hentikan selagi anda tidak dapat menyingkirkan semua kutu yang masih hidup. Jadi, teruskan mencari ya!

Kutu kepala bergerak dengan pantas, dan untuk mengesannya, anda perlu menyelak rambut anak anda dengan cepat atau anda boleh menggunakan sikat khusus seperti yang telah dinyatakan di atas tadi.

Merawat jangkitan 

Kutu Pada Rambut Bagaimana ia Berlaku - merawat kutu kepala

Jika anak anda dijangkiti kutu, maka anda perlu melakukan proses rawatan kepada semua ahli keluarga anda yang lain kerana mereka juga berisiko untuk dijangkiti. Terdapat dua kaedah untuk merawat kutu kepala, iaitu produk penjagaan rambut antikutu atau menggunakan sikat khusus.

  1. Losen, cecair dan krim antikutu

Antara rawatan utama yang disarankan adalah dengan menggunakan pediculide topikal, antaranya adalah termasuk Pyrethroids (pyrethrins, permethrin), Malathion, Benzyl alcohol, Spinosad, Topical ivermectin. Anda perlu bertanyakan kepada ahli farmasi anda jika anda memerlukan kepastian mengenai produk yang ingin anda cuba.

Anda juga boleh mencuba produk penjagaan rambut antikutu yang boleh dibeli dari farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Losen, cecair dan krim adalah produk yang lebih berkesan berbanding syampu. Produk ini mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan kepada anak anda kerana baunya yang agak kuat dan ada masanya ia mungkin menyebabkan kerengsaan kepada kulit kepala. Pastikan anda mengikut arahan yang tersedia dengan sebaiknya.

Terdapat kemungkinan bahawa bahan kimia dalam produk yang anda gunakan tidak dapat membunuh kutu, jadi adalah amat penting untuk anda memastikan keberkesanannya apabila menggunakan sebarang produk penjagaan rambut antikutu. Sekiranya ia masih tidak mati, mungkin anda perlu menggunakan produk lain dengan bahan aktif yang berbeza. 

Anda dinasihatkan untuk merawat anak anda sekali lagi selepas tempoh seminggu rawatan kutu pertama dilakukan. Ia adalah untuk membunuh telur yang mungkin menetas dan menjadi kutu matang selepas rawatan tersebut.

  1. Cara menggunakan sikat kutu

Rawatan penyingkiran kutu dengan kaedah ini adalah rawatan alternatif bagi bayi atau individu yang muda yang tidak sesuai untuk menerima rawatan pediculide topikal atau untuk individu yang tidak mahu menggunakan terapi pediculide.

  • Pertama sekali, anda perlu membasuh rambut bayi anda dengan menggunakan syampu yang biasa digunakan untuk anak anda. Kemudian, bilas dan letakkan banyak perapi. Dengan membiarkan perapi tersebut sekurang-kurangnya untuk selama 15 minit, anda boleh menggunakan sikat untuk menyikat dan meluruskan rambut anak anda jika perlu.
  • Dengan menggunakan sikat khusus untuk kutu kepala, pastikan setiap gigi sikat itu memasuki setiap helaian rambut hingga ke akar dan sapukan dari bahagian atas kepala hingga ke hujung rambut. Kutu kepala yang masih hidup, melekit dan bersalut dengan perapi ini akan dapat dikeluarkan melalui sikat gigi sikit. Setiap kali selepas menyapu bahagian rambut dan kepala anak anda, pastikan anda mengelapnya pada tisu dapur atau dibilas sikat tersebut menggunakan air paip untuk menyingkirkan kutu dan telur.
  • Teruskan menyapu sekeliling kepala anak atau bayi anda. Setelah selesai, pastikan anda membilas rambutnya dengan bersih dan sikatnya sekali lagi menggunakan sikat khusus untuk memastikan tiada sebarang kutu atau telur yang terlepas.

Kerap melakukan perkara ini adalah antara cara terbaik untuk merawat jangkitan serangga ini. Sebaiknya, cuba untuk menyikat setiap dua hingga tiga hari sekali dalam tempoh dua minggu, sehinggalah tiada lagi telur atau kutu yang dapat anda lihat setiap kali anda menyikat rambut anak anda.

Proses rawatan menggunakan sikat ini kerap kali mengambil masa yang lama, kebiasaannya melebihi 30 minit. Untuk mengelakkan anak anda dari berdepan kebosanan, anda boleh mengalihkan tumpuan anak anda dengan berborak mengenai apa yang berlaku pada hari ini, atau memberikan anda anda membaca buku, bermain permainan video atau menonton televisyen atau filem ketika anda melakukan proses menyikat. Anda tidak perlu mengambil keputusan drastik untuk memotong rambut anak anda kerana keadah ini tidak akan membantu mencegah atau merawat masalah kutu kepala.

Seandainya anak atau bayi anda mempunyai jangkitan ini, anda mungkin dapat melihat perkara seperti berikut:

  • Telur berwarna kuning, kelihatan seperti kelemumur yang melekat pada rambut berdekatan akar rambutnya
  • Kantung telur berwarna putih kosong yang melekat pada rambut dan agak jauh dari bahagian akar rambut
  • Kutu kepala yang berwarna seakan hitam-kelabu, yang hidup pada bahagian kulit kepala dan rambut
  • Serangga kecil pada barangan bayi anda. Anda mungkin terlihat serangga kecil berwarna hitam pada tempat tidur atau pakaiannya
  • Walaupun agak kurang untuk berlaku, tetapi anak anda mungkin mengalami kemerahan atau ruam pada bahagian belakang lehernya yang disebabkan kerengsaan kutu kepala

Rawatan untuk jangkitan  berulang

Sememangnya agak sukar untuk menghilangkan masalah ini sekali gus. Rawatan menggunakan sikat adakalanya tidak dapat membantu dan mungkin tidak dapat berfungsi sepenuhnya, terutamanya jika anda pertama kali melakukannya. Sesetengah kanak-kanak boleh mendapat jangkitan ini lebih daripada sekali dalam tempoh masa setahun. Ia boleh menjadi satu perkara yang mendatangkan kesan kepada anak dan juga anda. Jika anak anda telah dirawat untuk masalah jangkitan ini melebihi tiga kali dalam setahun, anda dinasihati untuk berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan lain bagi merawat jangkitan ini. Terdapat ubat kutu kepala yang boleh diberikan kepada kanak-kanak yang dipanggil ivermectin, yang merupakan ubat yang sangat berkesan untuk menyingkirkan dan membunuh kutu kepala.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan