Nak Travel Dengan Anak? Jom Ketahui Tip Terbang Bersama Si Kecil

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Siapa dekat sini suka travel? Tapi macam susah je nak terbang dengan anak. Haaa…jangan risau, Hello Doktor ada tip terbang bersama si kecil untuk anda. Jom ketahuinya!

Pengalaman terbang dengan anak kecil

Seronok sebenarnya pergi bercuti ini, tapi apabila memikirkan ada anak kecil, kebanyakan dari ibu bapa berasa ia adalah satu perkara yang susah. Apatah lagi kalau ia adalah satu perjalanan jauh dan perlu menaiki kapal terbang.

Penulis ada juga pengalaman bawa si kecil menaiki kapal terbang ketika berusia dalam lingkungan 2 tahun. Itu merupakan pengalaman pertama si kecil dan juga penulis sebagai ibu, travel melibatkan penerbangan. 

Berdebar tu jangan ceritalah. Tapi oleh kerana anak masih kecil ketika itu, jadi sebelum penerbangan, penulis biarkan dia aktif bermain dulu before boarding. Sejurus masuk kapal terbang, dengan suhu yang selesa, si kecil jadi mengantuk. Apalagi, penulis terus menyusukan dia dan tidurlah si comel tu sepanjang penerbangan. Lega! 

Tip terbang bersama si kecil

Tapi tak semua si manja akan tidur sepanjang penerbangan, bukan? Jangan risau, berikut ada beberapa tip terbang bersama anak kecil yang boleh dicuba. Semoga berjaya!

  1. Libatkan anak 

Apabila anda sudah merancang untuk bercuti, cuba libatkan si manja dalam proses persiapan. Jelaskan kepadanya tempat yang akan anda pergi, menaiki apa, atau apa yang perlu dibawa. Ia sekurang-kurangnya akan membuatkan si kecil berwaspada dengan apa yang bakal dilaluinya. 

Jadi tidaklah mereka terkejut dan sudah tentu perkara ini dapat membantu mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini, seperti anak buat perangai secara tiba-tiba. Pastinya ia akan membuatkan perjalanan lebih lancar, bukan? Hati ibu pun pasti tenang.

  1. Tempat duduk

Jangan ambil mudah soal pemilihan tempat duduk, okay? Bukan semua penumpang akan selesa dengan kehadiran anak kecil, apatah lagi kalau mereka menangis. Takut nanti jelingan tajam yang akan anda dapat atas ‘kemerduan’ suara tangisan si manja anda.

Jadi sebaiknya, pilihlah seat di hadapan agar tidak timbul masalah kerusi kena tendang oleh si kecil. Marah penumpang hadapan nanti. Anda juga boleh memilih tempat duduk tepi, berhampiran tingkap. Bolehlah si kecil meninjau pemandangan di luar kalau bosan.

  1. Penjagaan telinga

Sebenarnya ia adalah satu perkara normal untuk telinga berasa berdengung apabila melibatkan perubahan altitud, sama ada ketika kapal terbang berlepas atau mendarat. Jadi cara yang terbaik adalah anda boleh memberikan si kecil sesuatu untuk diminum, dikunyah atau dihisap, bagi membantu mengurangkan risiko telinga anak berasa sakit atau berdengung.

Kalau anak masih kecil, mungkin anda boleh memberikannya puting. Jika terpaksa mungkin anda boleh menyusukan si kecil bagi memberikan rasa ketenangan kepadanya.

  1. Pakaian lebih

Tip terbang yang seterusnya adalah untuk menyediakan pakaian lebih untuk anak dan juga anda. Ini kerana kita tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku. Sebaiknya, untuk pakaian anak, letakkan di dalam beg ziploc dan secara berasing bagi setiap salinan pakaian seperti lampin pakai buang, pakaian dan stoking. 

Jadi apabila berlaku perkara yang tidak diingini dan anda perlu menukar pakaian anak, anda cuma perlu meletakkan pakaian kotor di dalam beg ziploc tersebut. Ia merupakan satu perkara yang memudahkan anda, lebih-lebih lagi sewaktu penerbangan dengan keluasan yang terhad.

  1. Mainan

Perkara paling penting untuk mengelakkan kebosanan si kecil ketika dalam penerbangan adalah untuk membawa mainan atau buku. Kalau ingin anak lebih teruja mungkin anda boleh sediakan mainan mahupun buku yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Apa salahnya keluarkan sedikit duit untuk belikan mainan atau buku baru buat anak. 

Tidak salah mencuba

Jika anda tidak pernah membawa si kecil melancong menaiki kapal terbang, rasanya tidak salah untuk anda mencuba. Sekurang-kurangnya ia boleh memberikan pengalaman baru dan menyeronokkan untuk si kecil dan juga anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 4, 2019