Kasih Sayang Ibu Boleh Kurangkan Risiko Obesiti?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Percaya tak kasih sayang ibu boleh membantu dalam mengurangkan risiko obesiti? Haaa…awesome, right? Tapi takkanlah dengan kasih sayang aje? 

Hubungan ibu dan bayi

Betapa hebatnya kasih sayang ibu sampai boleh membantu mengurangkan risiko untuk mengalami obesiti, bukan? Jadi bolehlah selepas ini pakat beramai-ramai pergi peluk ibu anda semua.

Tetapi nanti dulu, berdasarkan kajian dilakukan, ia sebenarnya melibatkan hubungan interaksi antara ibu dan bayi lebih baik adalah penting berbanding interaksi yang hanya berlaku ketika memberi bayi makan. Interaksi yang terjalin ini akan memberikan kesan dalam kesihatan bayi khususnya masalah berkaitan perkembangan obesiti.

Terdapat pelbagai faktor yang membolehkan bayi berdepan dengan isu berat badan berlebihan, seperti persekitaran dengan tekanan, genetik serta masalah kemiskinan. Oleh sebab itu, penyelidik daripada University of Buffalo cuba mengkaji sama ada tingkah laku ibu boleh mengimbangi risiko obesiti kepada bayi.

Analisis kajian

Untuk mengetahui sama ada perbezaan perilaku boleh memberikan kesan kepada bayi, mereka telah melakukan analisis kajian terhadap 172 keluarga dengan pelbagai bentuk kesukaran kehidupan yang berbeza. 

Dalam kajian ini, mereka mengkaji bayi daripada wanita mengambil kokain ketika mengandung. Dengan hampir kesemua wanita tersebut adalah wanita berkulit hitam, pengkaji melihat kesan kesihatan serta kesejahteraan bayi dalam kandungan tersebut.

Tekanan kehidupan kepada bayi berterusan selepas kelahiran. Ini kerana lebih 80 peratus wanita yang dianalisis menerima bantuan kerajaan dan 85 peratus adalah ibu tunggal. Keadaan ini sekali gus meningkatkan kecenderungan obesiti serta risiko tambahan berkaitan kesihatan secara umumnya. 

Namun berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, perbezaan tingkah laku yang ditunjukkan sesetengah ibu, membawa perbezaan dalam risiko obesiti yang lebih ketara berbanding pola penyusuan.

Menurut penulis utama kajian, Dr Kai Ling Kong, apabila ibu bercakap secara positif menggunakan nada yang lembut sambil bermain, pola berat badan bayi menunjukkan bahawa mereka tidak akan mudah mengalami obesiti. 

Manakala bayi dengan ibu yang bercakap dengan kasar dan tingkah laku yang negatif, menunjukkan petanda bahawa mereka berkemungkinan akan cenderung untuk mengalami berat badan yang tidak sihat. 

Kuasa kasih sayang ibu bapa

“Tempoh pranatal adalah tempoh sensitif untuk kesihatan dan perkembangan penyakit. Masalah yang berlaku ketika bayi masih dalam kandungan mungkin akan memberikan kesan sepanjang hayat.

Walau bagaimanapun, gangguan yang wujud ketika perkembangan janin dapat dikurangkan apabila bayi diberi dan didedahkan dalam persekitaran dengan kasih sayang, tindak balas responsif serta aspek keibubapaan yang positif,” jelas Dr Kai.

Kesimpulan 

Berdasarkan kajian di atas, boleh kita simpulkan bahawa interaksi antara ibu dan anak adalah penting dalam mempengaruhi perkembangan dan kesihatan anak-anak, terutamanya dalam isu berkaitan obesiti. Jadi ibu-ibu sekalian, layanilah si comel dengan penuh kasih sayang, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut